Saturday, 23 February 2013

Ubat hati 2: definisi ibadah

Dipetik dari: http://haqqulyaqiin.blogspot.com
Ada orang menyangka ibadah itu sekadar rukuk dan sujud di tikar sembahyang. 
Atau mengalunkan ayat-ayat Al Quran dengan penuh khusyuk dan tawadhuk. 
Atau menggentel biji tasbih dengan berzikir dan bertahmid. Atau sekadar membahagi-bahagikan harta kepada fakir miskin.

Ibadah itu luas pengertiannya. 
Seluas lautan yang tak bertepi. 
Ibadah tidak terbatas pada sembahyang sunat berpuluh-puluh rakaat. 
Ia tidak terbatas pada puasa sunat seperti puasa Nabi Daud; 
sehari berpuasa sehari berbuka. 
Pun tidak dikhususkan kepada membayar zakat,
menunaikan haji dan sebagainya.

Ibadah adalah pengabdian diri kepada Allah. 
Dan antara bentuk pengabdian diri yang tidak ketara dan tidak perlu mengeluarkan tenaga ialah ingatan hati dan rintihan hati kepada Allah
Ia merupakan ibadah yang besar nilainya di sisi Allah. Mudah tetapi tidak ramai yang mampu melakukannya.

Mengingati Allah dikira ibadah kerana ia menandakan seorang hamba itu benar-benar berhati hamba. Hamba yang tak punya apa-apa. 

Yang sewaktu datang ke dunia, tak membawa walau seurat benang di tubuh. Justeru hati sentiasa ingat kepada Yang Maha Pencipta, sentiasa
mengharap bantuan-Nya dan sentiasa bergantung kepadaNya. MengingatiNya menimbulkan rasa syukur atas segala nikmat kurniaanNya.



Namun berapa kerat di antara kita yang ingat akan Allah. Ramai yang lalai dan lupa. Dalam sembahyang, fikiran menerawang entah ke mana. Apatah lagi di luar sembahyang. 

Renungilah sabda kekasihNya dalam sebuah hadis Qudsi yang bermaksud:

“Wahai anak Adam! Jika engkau ingat kepadaKu, Aku juga tetap ingat kepadamu. 
Dan jika engkau lupa kepadaKu, Aku masih ingat terus kepadamu. 
Apabila engkau taat kepadaKu, maka pergilah ke mana saja yang engkau suka, di tempat engkau mematuhiKu 
dan Aku mematuhimu, dan engkau mengikhlaskan kecintaanKu kepadamu, kemudian engkau memalingkan diri daripadaKu, sedang Aku tetap mengambil berat terhadapmu. 

Siapakah yang memberimu makan sewaktu engkau masih janin di dalam perut ibumu. 
Aku tetap menguruskan segala keperluanmu dengan baik, sehingga terlaksana semua takdirKu terhadapmu. 
Apabila Aku lahirkan engkau ke alam dunia, engkau lalu membuat maksiat. 
Bukan begini sewajarnya balasanmu terhadap siapa yang berbuat baik kepadamu”

No comments:

Post a Comment