Seramai 13 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dilaporkan terputus hubungan dengan Pusat Komunikasi dan Koordinasi Selat (SNCC) selepas lima buah kapal yang dinaiki mereka dipercayai telah dipintas oleh tentera laut Israel di perairan antarabangsa.
Setakat jam 6 pagi waktu Malaysia, lapan daripada mereka, termasuk penyanyi dan aktivis Zizi Kirana, telah disahkan ditahan oleh pihak berkuasa Israel.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, pagi tadi yang mendesak kerajaan membatalkan jemputan negara ke atas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, jika semua aktivis dan sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditawan Israel tidak dibebaskan segera.
Menurut Akmal, Pemuda UMNO juga sedia menganjurkan himpunan besar-besaran untuk membantah kehadiran Trump ketika lawatan pemimpin itu ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur, hujung bulan ini.
"Jika semua aktivis dan sukarelawan GSF terutama rakyat Malaysia tidak dibebaskan, kami mendesak kerajaan membatalkan jemputan Trump ke Malaysia atau kami Pemuda UMNO seluruh negara akan turun membantah di hadapan Trump secara besar-besaran ketika lawatannya ke Kuala Lumpur," kata Dr Akmal.
Sementara itu, Kedutaan Besar Malaysia di Amman, Jordan telah mengadakan pertemuan dengan pasukan peguam Malaysia di Amman, Jordan bagi memastikan tahanan Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF), mendapat perlindungan undang-undang yang adil dan telus.
Kedutaan itu berkata ia sedang memantau rapat perkembangan pergerakan rakyat Malaysia dalam misi GSF, khususnya mereka yang telah ditahan oleh pihak berkuasa Israel.