Friday 30 August 2013

Muhasabah: 4 jenis lelaki yang ditarik perempuan ke neraka


 sumber
http://bm.harakahdaily.net/

Di akhirat, wanita akan menarik empat jenis lelaki bersamanya ke dalam neraka. Artikel ini bukan untuk memperkecilkan wanita tetapi sebaliknya supaya kaum lelaki memainkan peranannya dengan hak & saksama berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah serta berwaspada akan tanggungjawab yang dipikul..

1. Ayahnya

Apabila seseorang yg bergelar ayah tidak memperdulikan anak-anak perempuannya di dunia. Dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat, mengaji & sebagainya. Dia membiarkan anak-anak perempuannya tidak menutup aurat…..tidak cukup kalau dengan hanya memberi kemewahan dunia sahaja maka dia akan ditarik ke neraka oleh anaknya.

2. Suaminya

Apabila si suami tidak memperdulikan tindak tanduk isterinya. Bergaul bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan untuk suami tapi untuk pandangan kaum lelaki yang bukan muhrim apabila suami mendiam diri walaupun dia seorang alim seperti solat tidak bertangguh, puasa tidak tinggal maka dia akan turut ditarik oleh isterinya ke neraka.


3. Abang-abangnya

Apabila ayahnya sudah tiada, tanggungjawab menjaga maruah wanita jatuh ke bahu abang-abangnya…..jikalau mereka hanya mementing keluarganya sahaja dan adik perempuannya dibiar melencong dari ajaran ISLAM …tunggulah tarikan adiknya ke neraka kelak.

4. Anak Lelakinya

Apabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal kelakuan yang haram dari Islam, bila ibu membuat kemungkaran pengumpat, mengata & sebagainya, maka anak itu akan disoal dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Nantikan tarikan ibunya ke neraka.

Maka kita lihat betapa hebatnya tarikan wanita bukan sahaja di dunia malah di akhirat pun tarikannya begitu hebat, maka kaum lelaki yang bergelar ayah/suami/abang atau anak harus memainkan peranan masing-masing.

Firman Allah SWT:-

“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (At Tahrim : 6)

Harga seseorang muslim adalah sangat berharga. ALLAH SWT nilaikan seseorang muslim dengan SYURGA, semua kaum muslimin yakni yang mengucap kalimah tauhid dijamin masuk syurga dengan itu janganlah kita membuang atau tidak mengendah janji dan peluang yg ALLAH SWT berikan pada kita…wallahua’lam

Muhasabah: Menangislah kerana takut Allah


 sumber
http://bm.harakahdaily.net/

Mengapa kadang-kadang kita menangis, dan siapa yang menetapkan fitrah (naluri) ini kepada kita yakni fitrah menangis? Seorang bayi sejak lahir ke dunia ini kita melihatnya menangis dan seseorang yang rapat dengan kita juga menangis. Maka menangis adalah fitrah Allah ciptakan pada diri manusia, dan kebanyakan orang-orang jahil meyakini bahawa menangis tidak ada manfaatnya. Akan tetapi terdapat beberapa kajian untuk membuktikan kebalikan dari keyakinan orang-orang jahil tersebut.

Dalam al-Quran menyebutkan bahawa menangis adalah sifat yang baik namun dengan syarat bahawa menangis itu kerana rasa takut kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Beberapa pakar psikologi melontarkan satu idea "Perubatan Dengan Menangis"

Seperti dilaporkan dari laman Al-Sofwa, satu penyelidikan dilakukan oleh para penyelidik AS dan Belanda menemui kebaikan di sebalik menangis bahawa kebanyakan orang merasakan bertambah baiknya perasaan mereka setelah menangis dan pada saat yang sama, hanya satu orang dari 10 yang keadaanya adalah buruk selepas itu (selepas menangis ).

Ahli psikologi dari University of South Florida, AS dan Universiti Tilburg, Belanda mendapati bahawa orang yang menangis dan mengeluarkan air matanya merasakan bertambah baiknya perasaan mereka.

Sebaliknya, tercatat bahawa sekitar satu pertiga daripada 3,000 orang yang mengikuti kajian tersebut, perasaan mereka tidak baik selepas menangis. Hasil kajian ini diterbitkan dalam American Journal of Psychology - mengaitkan antara manfaat menangis dengan tempat dan waktu menangis tersebut. Kajian ini melihat bahawa menangis memberikan kesan menenangkan, seperti pernafasan yang menjadi lambat dan hal ini dapat mengurangkan kadar denyutan jantung. Para penyelidik menganggarkan bahawa hal inilah menyebabkan mengapa manusia mengingat perkara yang positif selepas menangis dan menghidari perasaan tegang.

Para penyelidik melakukan penyelidikan mengenai tangisan di makmal dan mereka mendapati bahawa kebanyakan hasilnya adalah perasaan yang buruk. Mereka merumuskan bahawa sebabnya adalah keadaan tegang, imaginasi dan pemantauan. Hal-hal demikian akan menimbulkan perasaan-perasaan negatif yang menghalang kebaikan yang positif berkaitan dengan menangis.

Kajian ilmiah ini menguatkan apa yang ada dalam kajian sebelum ini, tentang manfaat menangis yang dirasakan oleh para penyelidik di bidang psikologi. Namun para penyelidik tersebut tidak mengetahui cara menangis yang betul dan berkesan!

Menangis kadang-kadang boleh menjadi ubat untuk banyak penyakit, tetapi dengan syarat bahawa tangisan tersebut disebabkan rasa takut kepada Allah. Dan itulah yang dikhabarkan al-Quran, dengan firman-Nya ketika menceritakan tentang orang-orang beriman yang khusyuk 'yang hati mereka merasakan pengaruh dari firman Allah, apa reaksi mereka? Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman tentang mereka:

"Dan mereka menyungkur atas muka mereka sambil menangis dan mereka bertambah khusyuk." (Surah al-Israa' :  ayat 109)

Lihatlah bagaimana penjelasan Ilahi ini mengaitkan antara menangis dengan khusyuk. Maka kedua-duanya adalah cara yang terbaik untuk mengubati penyakit mental.

Menangis disebabkan rasa takut kepada Allah menambah kekhusyukan dan ketakutan kepada Allah pada diri seorang yang beriman, dan membuatnya lupa kepada kesedihan, dan kebimbangan-kebimbangan lain.Mengapa hal ini terjadi? Orang yang dipengaruhi oleh firman Allah dan membayangkan kegerian hari kiamat serta mengingat kebesaran Sang Pencipta, nescaya akan dapat menghindari masalah dan kesedihan yang dihadapinya sehingga dia lupa akan masalahnya.

Ini adalah langkah pertama dalam proses menyelesaikan masalah apapun yang dihadapi iaitu dengan melihat masalah ini sebagai sesuatu yang remeh dan boleh diselesaikan sehingga dengan demikian dia akan mudah menyelesaikan masalah tersebut. Perkara ini telah ditegaskan oleh pakar psikologi dan program neuro-linguistic tentang penyelesaian masalah dan kesukarannya.

Oleh itu, Allah menyebutkan berkaitan "menangis" pada beberapa ayat di dalam al-Quran. Dia menjadikannya sebagai tempat untuk mendekatkan diri kepada Allah dan sebagai indikasi kejujuran seorang mukmin takutnya kepada Sang Pencipta, Yang Maha Berkuasa. Allah berfirman:

“Maka patutkah kamu merasa hairan terhadap keterangan-keterangan Al-Quran ini (sehingga kamu mengingkarinya)? Serta kamu tertawa (mengejek-ejeknya) dan kamu tidak mahu menangis (menyesali kesalahan kamu serta takutkan balasan buruk yang akan menimpa kamu)? Sedang kamu adalah orang-orang yang sombong angkuh, lagi yang melalaikan kewajipan? Oleh hal yang demikian, hendaklah kamu sujud kepada Allah (yang telah menurunkan Al-Quran itu) dan beribadatlah kamu kepada-Nya (dengan sepenuh-penuh tauhid).”(Surah An-Najm: ayat 59-62)

Maka dalam nas al-Quran ini, Allah memerintahkan kita untuk menangis kerana takut kepada-Nya dan agar kita menjauhi perkara sia-sia serta menjauhi banyak ketawa. Hal itu tidak menghalang kita daripada tersenyum yang juga tergolong sebagai ubat (untuk mengubati kesedihan dan masalah).

Sesungguhnya menangis,, khusyuk, dan doa adalah resipi yang bagus untuk mengubati ketegangan jiwa. Kita memohon kepada Allah agar menjadikan kita termasuk antara golongan yang Allah berfirman tentang mereka:

"... Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas. Dan mereka adalah orang-orang yang khusyuk kepada Kami. " (Surah al-Anbiyaa : ayat 90)


Oleh itu, perlunya kita pada zaman ini berdoa, khusyuk, dan tangisan yang disebabkan kerana rasa takut kepada Allah.

Semoga Allah melepaskan kesedihan kita dan memberikan kesabaran kepada kita kerana tidak ada pemberian daripada Allah yang lebih luas berbanding kesabaran sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.

http://detikislam.blogspot.com


Celik Islam: Kenapa pohon Gharqad lindungi Yahudi?


 sumber
http://bm.harakahdaily.net/


Jawapannya sudah dijawab dalam hadis tentang pohon itu, iaitu pohon Gharqad itu adalah pohon orang Yahudi. Sehingga pokok itu akan melindungi mereka daripada dikejar umat Islam.

“Dari Abi Hurairah ra. bahawa Nabi SAW bersabda; Tidak akan terjadi hari kiamat hingga kalian (muslimin) memerangi Yahudi, kemudian batu berkata di belakang Yahudi," Wahai muslim, inilah Yahudi di belakangku, bunuhlah! "(HR Bukhari dan Muslim dalam Shahih Jami 'As-Shaghir no. 7414)

“Tidak akan terjadi hari kiamat, sehingga muslimin memerangi Yahudi. Orang-orang Islam membunuh Yahudi sampai Yahudi bersembunyi di balik batu dan pohon. Namun batu atau pohon berkata, "Wahai muslim, wahai hamba Allah, inilah Yahudi di belakangku, kemarilah dan bunuh saja. Kecuali pohon Gharqad (yang tidak demikian), kerana termasuk pohon Yahudi." (HR Muslim dalam Shahih Jami 'As-shaghir no. 7427)

Hadis di atas dari segi kekuatan sanadnya termasuk hadits shaih tanpa perbezaan pendapat. Dan termasuk dari tanda-tanda kenabian Rasulullah SAW yang berkaitan dengan mukjizat berkenaan peristiwa yang akan terjadi pada masa yang akan datang.

Namun ada yang perkara yang kurang kita sedari selama ini. Iaitu bahawa hadis ini baru terasa relevan pada zaman sekarang ini saja. Sepanjang 14 abad lamanya, setiap orang yang membaca hadis ini pada zamanya, akan sedikit berkerut kening. Mengapa?

Sebab pada masa mereka hidup, sejarah Yahudi tidak seperti sekarang. Mereka belum lagi menjadi sebuah "negara" super power. Keangkuhan Yahudi dengan negara Israelnya belum pernah berlaku sepanjang 14 abad lalu. Keberadaannya baru muncul di abad 20 ini atau abad 14 hijrah.

Orang Yahudi sepanjang sejarah Islam, selalu berada di bawah perlindungan negeri-negeri Islam. Komuniti Yahudi selalu dimusuhi oleh semua bangsa dan negara sepanjang sejarah. Orang Yahudi pernah diseksa oleh Nazi Jerman di zaman Hitler. Hampir tidak ada tempat untuk Yahudi kecuali di dalam negara Islam. Mereka hidup aman semasa tinggal di wilayah khilafah Islam, kerana undang-undang Islam melarang memerangi ahlu zimmah (kafir zimmi).

Salah satu penguasa yang anti Yahudi adalah Sepanyol Kristian. Ketika Sepanyol dikuasai rejim Katolik, bukan hanya umat Islam yang diusir, tetapi juga kalangan Yahudi. Tidak ada satu pun tanah di dunia ini yang mahu menampung bangsa ini, kecuali penguasa muslim Turki Uthmaniyah.

Maka selama 14 abad lalu, hadis ini cukup menghairankan umat Islam. Bagaimana mungkin umat Islam yang selama ini melindungi bangsa Yahudi serta mengharamkan darah mereka, lantaran mereka termasuk ahlu zimmah, tiba-tiba akan memerangi Yahudi sampai mati. Bahkan batu dan pohon akan memerintahkan umat Islam untuk membunuh mereka juga.

Teka-teki hadis ini baru terjawab pada tahun 1948, ketika masyarakat Yahudi dunia melakukan pencerobohan dan menjajah sebuah negera Islam merdeka, Palestin. Pada tahun 1967 semakin jelas lagi hadis ini, kerana ternyata komuniti Yahudi yang selama 14 abad hidup di bawah perlindungan, asuhan dan kerahiman umat Islam, tiba-tiba berubah menjadi serigala liar yang mengakibatkan perang Arab-Israel.

Barulah di masa sekarang ini hadis ini menjadi lebih bererti, setelah terbongkarnya misteri. Ternyata Yahudi yang selama ini hidup di bawah asuhan dan kasih sayang umat Islam, tiba-tiba menjadi makhluk buas pembunuh nyawa.

Dan menarik untuk diperhatikan, bahawa Yahudi sudah mempersiapkan apa yang mereka dapat di masa sekarang ini sejak sekian lama. Bahkan ada yang mengatakan sejak beribu-ribu tahun yang lalu. Konon terbentuknya negara-negara super power, penjajahan barat atas dunia timur, naiknya para pegawai masing-masing di negara kuasa besar, semua tidak terlepas daripada senario mereka. British pada masa lalu dan Amerika di masa sekarang, tidak lain hanyalah alat yang disiapkan untuk mewujudkan cita-cita pembentukan Israel.

Oleh itu, mustahil meminta Amerika untuk menekan Israel agar menghentikan serangan mereka ke negeri Islam. Adanya hak veto di PBB semakin membuktikan bahawa PBB pun termasuk sebahagian daripada alat yang dicipta oleh mereka.

Kepastian Kekalahan Yahudi
Selain misteri hadis ini di abad 14 hijrah, hadis ini sangat tegas menyebutkan kepastian kehancuran bangsa pengingkar Allah dan nabi ini. Bahkan pohon dan batu pun akan ikut membantu umat Islam dalam menumpaskan mereka.

Oleh itu, hadis ini juga menjadi penghibur derita, pelipur lara dan penjanaan harapan buat umat Islam yang sempat merasakan kebengisan Yahudi secara lebih nyata. Bahawasanya Israel yang bukan manusia itu pasti akan dikalahkan, mati kutu dan mati. Hal ini adalah sebuah kepastian, kerana yang berkata bukan sebarang orang. Yang berkata adalah seorang yang paling dekat kepada Allah SWT, iaitu Nabi Muhammad SAW.

Yang menarik juga, di dalam hadis ini Rasulullah SAW menyebutkan sebuah nama pohon, iaitu Gharqad. Pohon ini milik Yahudi, sehingga kalau ada Yahudi sembunyi di sebaliknya daripada kejaran umat Islam, pokok ini tidak akan berbicara. Sebaliknya, pokok ini akan melindungi Yahudi, kerana pokok ini milik mereka.

Dan mengapa pohon gharqad itu melindungi Yahudi?

Benar bahawa semua benda itu ciptaan Allah. Seharusnya semuanya tunduk dan patuh kepada kehendak-Nya. Bukan hanya pohon, bahkan tanah, langit, bumi, dan semua kandungannya, tunduk kepada Allah, baik secara terpaksa mahupun secara sukarela.

Sebenarnya jin kafir atau Iblis sekalipun, juga makhluk ciptaan Allah. Kalau Allah kehendaki, boleh saja Iblis tidak kafir. Kalau Allah kehendaki, boleh saja tidak ada senario Iblis ingkar atas perintah Allah SWT untuk sujud kepada Adam alaihissalam.

Tapi yang kita tahu, semua itu adalah kehendak Allah SWT. Sehingga kita dapati Iblis melakukan tindakan kemungkaran yang dilarang, bahkan membangkang terhadap perintah Allah SWT. Kalau pakai logik anda, seharusnya Iblis tidak boleh membangkang, bukankah dia itu makhluk Allah?

Tetapi sekali lagi, kita beriman kepada Allah SWT dan juga kepada sifat-sifat-Nya. Dan salah satu sifat Allah SWT adalah berkehendak. Antara kehendak Allah itu, Allah SWT ternyata menghendaki Iblis membangkang. Akan tetapi bukan pada tempatnya untuk mempersoalkan Allah SWT atas setiap kehendaknya.

Dan itulah bezanya tuhan dan bukan tuhan. Tuhan itu berkehendak dan tidak perlu ditanya-tanyai latar belakang semua yang dikehendaki-Nya. Sebaliknya, hanya yang bukan tuhan saja yang boleh ditanya-tanyai kalau bertindak. Kalau kita melakukan dosa dan maksiat atau hal-hal lain yang tidak senonoh, maka kita akan disoal dan harus bertanggung-jawab, paling tidak nanti di akhirat.

Sedangkan tuhan, tidak perlu dan bukan dalam kedudukan untuk disoal siasat, mengapa melakukan ini dan mengapa melakukan itu. Sebab hakikat tuhan adalah mutlak, mutlak, tidak perlu menjelaskan apa yang dikehendaki-Nya.

Kembali ke pohon Gharqad, tentu saja bukan kafir. Sebab istilah kafir itu hanya berlaku untuk dua jenis makhluk saja, iaitu jin dan manusia. Selebihnya semua tunduk kepada apa yang Allah kehendaki.

Maka pohon Gharqad itu kalau kita lihat daripada kacamata hakikat, sangat tunduk kepada Allah. Tunduk kepada senario daripada Allah untuk menjadi pohon yang melindungi Yahudi pada akhir zaman. Tetapi tidak perlu kita anggapkan sebagai pohon kafir.

Yang kafir itu hanyalah Yahudi, iaitu mereka ingkar dan membangkang daripada ketentuan Allah SWT yang bersifat formal. Akhirnya nanti Yahudi akan masuk neraka semuanya dan tidak keluar lagi dari sana selamanya. Kecuali Yahudi yang bertaubat dan sempat masuk Islam, maka mereka adalah saudara kita.

http://detikislam.blogspot.com

Muhasabah: Memelihara aurat : lambang peribadi muslimah

sumber
http://bm.harakahdaily.net/

Antara syiar terpenting yang dapat membezakan seorang wanita Islam dengan wanita bukan Islam ialah dari segi disiplin pakaian yang menepati kehendak dan piawaian syariat. Disiplin berpakaian ini lebih kerap disebut sebagai kewajipan menutup aurat kerana secara asasnya Islam tidak menetapkan jenis pakaian yang perlu dipakai, tetapi menetapkan bahagian mana yang wajib ditutup bersama beberapa kriteria asas. Hal ini bersesuaian dengan ciri-ciri syariat Islam itu sendiri yang bersifat thabat dan murunah, tetap dalam menjaga prinsip-prinsip asas dan anjal jika melibatkan permasalahan cabang dan kaedah pendekatan. Ia tegas dari segi prinsip wajib memakai tudung kepala dan menutup aurat mengikut batas yang telah ditentukan. Namun dari segi jenis pakaiannya masih fleksibel dan boleh disesuaikan selama mana ia memenuhi garis panduan atau ciri-ciri menutup aurat.

Justeru, kita melihat agama Islam boleh tersebar ke segenap pelosok dunia dan para wanita Islam daripada pelbagai bangsa dapat menyesuaikan pakaian mereka yang sedia ada dengan identiti seorang wanita Islam yang bertudung dan menutup aurat.

Sebagaimana yang sedia maklum, perintah agar menutup aurat dan menyembunyikan perhiasan tubuh badan wanita daripada pandangan lelaki yang bukan mahram merupakan satu perintah Allah yang disebutkan secara jelas dalam al-Quran al-Karim, yang bermaksud:

“.. Dan janganlah mereka (golongan mukminah) memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mentua mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang-orang gaji lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka...” (Surah al-Nur : Ayat 31)

Perbahasan tentang perhiasan yang disebutkan di dalam ayat ini begitu panjang dibincangkan oleh para ulama. Dr Yusof al-Qardhawi menyebut bahawa para muslimah dilarang keras membuka atau menampakkan perhiasannya yang seharusnya disembunyikan seperti perhiasan telinga (anting-anting), perhiasan kepala (rambut dan sanggul), perhiasan leher (rantai), perhiasan dada (belahan dadanya) dan perhiasan kaki (betis dan gelang kaki). Semuanya ini tidak boleh diperlihatkan kepada lelaki melainkan suami dan mahram sahaja. Golongan muslimah hanya boleh membuka muka dan kedua telapak tangan yang memang diberikan kelonggaran oleh syarak untuk didedahkan.

Pemahaman ini telah diperkuatkan lagi oleh hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Aisyah RA bahawa kakaknya Asma’ binti Abu Bakar RA pernah masuk ke rumah Nabi SAW dengan berpakaian jarang sehingga nampak kulitnya, lalu Rasulullah SAW memalingkan wajahnya lalu menyebut, “Wahai Asma’, sesungguhnya seorang perempuan apabila sudah didatangi haid (mencapai usia baligh), tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu melainkan ini dan ini” – sambil menunjukkan muka dan dua tapak tangannya. (H.R. Abu Daud)

Justeru itu, para ulama telah menetapkan beberapa garis panduan untuk memastikan bahawa ciri-ciri pakaian muslimah itu bukan sahaja menutup kulit di bahagian badan yang menjadi auratnya, tetapi juga menepati konsep menutup aurat bagi mencapai objektif yang dikehendaki oleh syariat.

Tujuh Garis Panduan Pakaian Muslimah di Hadapan Bukan Mahram

Pertama: Pakaian yang menutupi keseluruhan tubuh badan melainkan muka dan tapak tangan. Ini adalah berdasarkan kepada dalil-dalil yang telah disebutkan.

Kedua: Pakaian tersebut bukanlah perhiasan yang melampau, atau bertabarruj sehingga menarik perhatian. Bertabarruj boleh difahami secara umum sebagai memperlihatkan kecantikan wanita sama ada di bahagian muka atau lain-lain perhiasan pada pakaian dan bahagian tubuh badan. Ini termasuk solekan yang tebal selain bedak, celak dan inai yang biasa dipakai oleh wanita.

Ketiga: Pakaian tersebut tidak terlalu nipis atau jarang sehingga menampakkan warna kulit atau membayangkan anggota tubuh.

Keempat: Pakaian tersebut hendaklah longgar, tidak ketat sehingga menggambarkan bentuk tubuh dan tidak menampakkan tempat-tempat fitnah yang mengundang syahwat. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

“Ada dua golongan daripada ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya, (salah satunya ialah) perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencederungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar bonggol unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak akan dapat mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian.” (H.R Muslim)

Kelima: Tidak memakai wangian yang harumnya boleh dihidu oleh lelaki ajnabi. Nabi SAW telah mengingatkan kaum wanita dalam sebuah hadis yang bermaksud:

“Mana-mana wanita yang berwangi-wangian dan kemudiannya lalu di khalayak lelaki yang menghidu harumannya, maka ia adalah seperti wanita penzina, dan setiap mata (lelaki) yang tertarik lalu memandangnya adalah mata yang berzina.” (H.R Abu Daud, At-Tirmizi: Hasan Sahih)


Keenam- Tidak menyerupai pakaian lelaki. Allah SWT melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan juga wanita yang menyerupai lelaki. Rasulullah SAW telah bersabda:

“Bukan dari golongan kami siapa saja wanita yang menyerupai lelaki dan siapa saja lelaki yang menyerupai wanita.” (Musnad Ahmad, no: 6875).


Ketujuh: Tidak dipakai untuk tujuan kemasyhuran, glamor atau menunjuk-nunjuk. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang memakai pakaian demi kemasyhuran, maka Allah akan memakaikannya pada hari Qiamat yang sepertinya, kemudian membakarnya dengan api neraka.” (H.R Abu Daud: 4029)

Pakaian kemasyhuran tidak hanya tertumpu kepada pakaian yang cantik bergemerlapan sahaja, tetapi juga pakaian yang sengaja diburuk-burukkan dengan tujuan supaya orang ramai mengatakannya seorang yang zuhud.

Tujuan Wanita Diperintah Memelihara Aurat


Sudah tentu tujuan utama menunaikan perintah menutup aurat adalah sebagai satu manifestasi pengabdian kita kepada Allah yang mesti ditaati perintah-Nya. Seandainya di tempat-tempat kerja mempunyai etika pakaian yang tersendiri yang mesti dipatuhi oleh pekerja, maka di dunia ini yang merupakan tempat kita beramal juga mempunyai etika pemakaiannya yang tersendiri. Sekiranya perbuatan melanggar etika berpakaian di tempat kerja atau tempat belajar dianggap sebagai satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan tata tertib, maka begitulah juga perbuatan melanggar etika berpakaian sebagai seorang muslim atau muslimah di dunia ini adalah berdosa dan akan dikenakan tindakan dan hukuman di akhirat nanti.

Allah SWT menyebut di dalam al-Quran, yang bermaksud:

“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” (Surah al-Ahzab : ayat 36)


Namun, kerapkali kedengaran suara wanita Islam yang tidak berpuas hati dengan kewajipan menutup aurat yang kelihatan jauh lebih berat berbanding lelaki. Harus difahami bahawa keadilan Islam dalam meletakkan batasan aurat yang berbeza antara lelaki dan perempuan sudah tentu ada hikmah tersendiri yang diatur oleh Allah, Pencipta Yang Maha Bijaksana. Ada kalangan masyarakat Islam yang turut menganggap batasan ini sebagai satu pantang larang yang menyekat kebebasan wanita. Mereka terpengaruh dengan agenda musuh Islam yang sentiasa menganjurkan wanita mendedahkan aurat kononnya untuk memberi kebebasan kepada wanita, namun sebenarnya ia adalah untuk memberi kebebasan kepada mereka untuk mudah mendekati lantas merosakkan wanita.

Sesungguhnya bagi kaum muslimah, tujuan penutupan aurat yang agak ketat adalah untuk menjaga kehormatan diri wanita yang tinggi nilainya di sisi Islam. Bagaimana mungkin sesuatu yang berharga dan tinggi nilainya dibiarkan terdedah sehingga boleh dilihat dan dicapai oleh golongan yang tidak berhak?

Wanita juga diwajibkan memenuhi kriteria menutup aurat untuk menjaga ketenteraman awam agar tidak terganggu secara emosi dengan aurat yang terdedah sehingga menjadi punca berlakunya kerosakan dan maksiat. Bahagian tubuh yang didedahkan dan menggoda kerap kali mengganggu ketenteraman jiwa lelaki dan mungkin juga wanita yang melihat sehingga turut mengganggu kerukunan rumahtangga dan masyarakat.

Justeru, dengan menutup aurat secara sempurna akan menyelamatkan wanita, lelaki dan seluruh masyarakat daripada begitu banyak kerosakan yang mungkin berlaku. Di dalam al-Quran Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan wanita-wanita mukmin, hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu lebih baik, supaya mereka lebih mudah untuk dikenali, kerana itu mereka tidak diganggu.” (Surah al-Ahzab : ayat 59)


Seorang muslimah yang solehah akan berusaha untuk menutup aurat dengan sempurna, melabuhkan tudungnya agar mereka tidak diganggu kerana dikenali sebagai perempuan yang baik. Lebih penting daripada itu ialah seorang muslimah juga hendaklah sentiasa menjaga maruah diri, memelihara sifat malu, tidak sewenang-wenangnya menonjolkan diri untuk tatapan ramai, menjaga pergaulan, tutur bicara dan pandangan mata daripada apa yang diharamkan oleh Allah. Sudah tentu tanpa keperibadian muslimah dan akhlak yang baik secara menyeluruh, pakaian yang dilihat menutup aurat sahaja belum mampu menjamin tercapainya tujuan di sebalik penutupan aurat kaum muslimah.

Adakah Berbeza Aurat Wanita di Dalam dan di Luar Solat?

Menjadi fenomena yang biasa berlaku dalam kalangan wanita Islam ialah walaupun ada kalangan mereka yang tidak sempurna penutupan auratnya dalam kehidupan seharian, namun mereka masih lagi menitik beratkan kewajipan menutup aurat dalam mengerjakan solat. Masing-masing faham betapa besarnya implikasi jika mengerjakan solat tanpa menutup aurat dengan sempurna kerana menutup aurat itu termasuk di dalam syarat sah solat. Lantaran itulah kebanyakan masyarakat Islam, lebih-lebih lagi masyarakat Melayu menyediakan telekung solat yang khusus bagi wanita bukan hanya untuk memastikan kebersihan pakaiannya ketika mengerjakan solat, tetapi juga untuk memastikan auratnya terjaga dengan lebih sempurna dan sah solatnya.

Timbul persoalan, adakah aurat wanita ketika berada di luar solat dan ketika mengerjakan solat mempunyai sempadan dan hukum yang berbeza? Secara ringkas, ketika berada di luar solat, aurat wanita yang wajib ditutup daripada pandangan sesama wanita dan sesama mahram terdekatnya adalah di antara pusat dengan lutut. Seandainya menimbulkan fitnah, maka wajib ditutup apa yang dikhuatiri menimbulkan fitnah tersebut walaupun di antara sesama mahram.

Manakala aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi pula mengikut pandangan yang muktamad ialah seluruh tubuh badannya melainkan muka dan dua tapak tangan sebagaimana yang telah dibincangkan di atas.

Dalam hal mengerjakan solat pula, sempadan aurat wanita yang wajib ditutup sebagai syarat sah solat ialah yang sama seperti sempadan aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi. Imam al-Syafi’e di dalam kitab al-Umm (Jilid 1, hlm. 109) menyebut bahawa seorang perempuan wajib menutup seluruh badannya di dalam solat melainkan muka dan kedua tapak tangannya.

Pakaian Wanita Ketika Mengerjakan Solat
Imam al-Tirmizi (No. hadith 277) meriwayatkan daripada Aisyah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:

“Tidak diterima solat perempuan yang telah baligh melainkan dengan  memakai kain yang menutup kepalanya.”

Di dalam sebuah hadis yang lain pula, Ummul Mu’minin Ummu Salamah RA telah meriwayatkan bahawa beliau telah bertanya kepada Nabi SAW:

“Adakah seseorang perempuan itu boleh bersolat dalam keadaan memakai baju dan tudung kepala sahaja, tetapi tidak memakai kain sarung? Rasulullah s.a.w menjawab: Boleh, jika bajunya itu labuh sehingga menutup zahir (bahagian atas) kedua kakinya.” (H.R Abu Daud, no. 640 dan al-Baihaqi, jilid 2, no. 232)


Terdapat tiga istilah yang telah disebutkan di dalam hadis di atas berkenaan dengan pakaian wanita di dalam solat iaitu dir’ (baju yang menutupi bahagian tengah tubuh), khimar (tudung yang menutupi kepala) dan juga izar (kain sarung yang menutupi bahagian bawah badan).

Berdasarkan hadis berkenaan dengan khimar di atas, maka tidak ada khilaf dalam kalangan fuqaha bahawa hukum menutup kepala iaitu seluruh rambut, telinga dan juga leher adalah wajib bagi wanita yang telah baligh di dalam solatnya.

Adapun pakaian yang boleh digunakan untuk mengerjakan solat pula ialah apa jua pakaian yang menutup keseluruhan tubuh badan wanita sehingga ke kakinya, kecuali bahagian muka dan dua tapak tangan sama ada dengan sehelai pakaian atau lebih. Hal ini jelas disebut oleh Ibn al-Munzir berdasarkan kepada hadis Ummu Salamah yang telah disebutkan tadi, di mana baju labuh yang sudah menutupi zahir kedua kaki boleh dipakai untuk bersolat, dan tidak perlu lagi memakai kain sarung yang khusus. (Al-Mufassal fi Ahkam a-Mar’ah wa al-Bait al-Muslim, jilid 1, hlm 193)

Imam Ahmad pula berkata, “Disepakati oleh para ulama bahawa yang wajib dipakai ialah baju yang labuh (dir’ atau jubah) dan tudung kepala (khimar). Namun jika ditambah (kainnya) adalah lebih afdhal jika ia lebih menutupi aurat. Adalah dikira memadai dengan dua helai pakaian itu kerana ia sudah menutup apa yang wajib ke atasnya untuk ditutup.” (Al-Mughni, jilid 2, hlm. 330-331)

Adapun pakaian solat wanita yang lebih digalakkan menurut para ulama ialah sebanyak tiga helai pakaian iaitu dir’ (baju yang longgar menutupi badan hingga ke kaki), khimar (yang menutup kepala dan leher) dan jilbab iaitu telekung yang besar diletakkan di atas khimar yang melitupi sebahagian besar tubuh supaya tidak menampakkan bentuk tubuh wanita. (Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah wa al-Bait al-Muslim, jilid 1, hlm. 193)

Beberapa Isu Berkenaan Pakaian Solat Wanita

Pertama: Jika dilihat sekilas pandang, maka asas sempadan aurat wanita di dalam solat adalah sama dengan sempadan auratnya di luar solat apabila terdedah kepada pandangan lelaki ajnabi. Namun bagi para ulama yang berpandangan bahawa terdapat perbezaan bagi sempadan aurat di dalam dan di luar solat, maka kebanyakan mereka menjadikan aurat di luar solat iaitu di hadapan lelaki ajnabi itu lebih ketat daripada aurat wanita ketika mengerjakan solat di tempat yang tidak dapat dilihat oleh lelaki ajnabi. Ini adalah kerana bagi kebanyakan ulama, fitnah di dalam solat adalah lebih ringan berbanding fitnah di luar solat. Justeru itu, tiada khilaf tentang perlunya membuka muka untuk mengerjakan solat, tetapi terdapat khilaf tentang wajibnya menutup muka di hadapan lelaki ajnabi di luar solat.

Begitu juga masih sah solat wanita yang bersolat dengan pakaian yang ketat apabila telah menutup bahagian auratnya kerana tidak ada dalil yang mengatakan sebaliknya. Namun begitu ada di kalangan ulama yang meletakkan hukumnya sebagai makruh. Akan tetapi sekiranya pakaian yang ketat itu dipakai di hadapan lelaki ajnabi, maka hukumnya adalah haram dan berdosa.

Dukacitanya, hukum yang telah dirumuskan oleh para fuqaha berpandukan al-Quran dan al-Sunnah di atas tidak difahami dan tidak dipatuhi oleh sebilangan wanita Islam dewasa ini. Amalan masyarakat yang mengetatkan penutupan aurat di dalam solat kerana khuatir ibadah mereka tidak sah, tetapi pada masa yang sama tidak begitu menitik beratkan penjagaan aurat di luar solat dalam kehidupan seharian adalah jelas bertentangan dengan hukum berkenaan. Hal ini berlaku mungkin kerana masih terpisahnya aspek ibadah daripada soal kehidupan bagi kebanyakan anggota masyarakat kita. Padahal sebagaimana menutup aurat di dalam solat itu adalah perintah Allah SWT, maka menutup aurat di luar solat juga adalah perintah Allah SWT yang wajib dipatuhi dengan sebaiknya.

Kedua: Yang dimaksudkan dengan dua tapak tangan yang dibenarkan untuk dibuka ialah bermula dari hujung jari jemari sehingga ke tulang yang timbul di pergelangan tangan (al-ku’), termasuk belakang dua tapak tangannya, zahir dan batinnya (Nihayatul Muhtaj, jilid 2, hlm. 6). Manakala pandangan yang mengatakan bahawa hanya bahagian tapak tangan sahaja yang harus dibuka, sedangkan belakang tapak tangan itu perlu ditutup dengan telekung solat yang labuh atau lengan baju yang panjang adalah tidak mempunyai dalil atau hujah yang kuat. Jumhur fuqaha menegaskan bahawa seluruh tapak tangan wanita (zahir dan batinnya) adalah bukan aurat di dalam bersolat (Ahkam al-‘Aurah wa al-Nazor, hlm. 234).

Ketiga: Berkenaan dengan kaki wanita pula, maka menurut pandangan yang muktamad daripada mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali, ia merupakan aurat wanita yang wajib ditutup di dalam solat dan di luarnya ketika berhadapan dengan lelaki ajnabi. Namun demikian masih lagi terdapat khilaf di dalam mazhab-mazhab itu sendiri tentang keharusan membuka kaki di dalam solat. Menurut mazhab Hanafi pula, kaki wanita bukanlah aurat dan tidak perlu ditutup sama ada ketika solat mahupun di luarnya. Namun terdapat satu riwayat yang lain di dalam mazhab tersebut yang menetapkan bahawa kaki wanita juga adalah aurat di hadapan lelaki ajnabi, tetapi bukan aurat yang perlu ditutup di dalam solat. (Ahkam al-‘Aurah wa al-Nazor, hlm. 233)

Pandangan jumhur fuqaha dibuat berdasarkan kepada hadis Ummu Salamah yang telah disebutkan di awal tadi. Hadis tersebut memberi maksud bahawa baju labuh yang wajib dipakai oleh wanita untuk mengerjakan solat ialah yang menutup kakinya. Ini adalah kerana apabila pakaian solat wanita sudahpun menutup zahir kedua kakinya ketika berdiri dan rukuk, ia pasti akan menutup tapak kakinya ketika duduk dan sujud disebabkan berhimpunnya anggota-anggota tubuh yang lain ketika duduk dan sujud.

Keempat: Berkenaan dagu wanita yang seringkali ditutup dengan telekung solat di negara kita, adakah ianya termasuk bahagian yang wajib ditutup ataupun ia adalah sebagai satu cara untuk lebih berhati-hati (ihtiyath)?

Perbincangan mengenai sempadan muka boleh didapati di dalam bab bersuci iaitu dalam membincangkan tentang had muka yang wajib dibasuh sewaktu berwudhu. Secara ringkas, sempadan muka dari segi memanjang bermula dari tempat tumbuh rambut (bahagian atas) hingga ke bahagian paling bawah dagu, dan dari segi lebarnya bermula dari telinga hingga ke telinga. (Fiqh Minhaji, jilid 1, hlm. 60). Namun Dr Yusof al-Qaradhawi di dalam bukunya Fiqh al-Thaharah (hlm. 141) menyebut pandangan beliau bahawa adalah tidak perlu untuk mengehadkan sempadan muka dengan begitu detil kerana ia adalah sebagaimana yang telah diketahui umum merupakan wajah yang dapat dilihat dari arah hadapan.

Justeru, dagu yang wajib dibasuh tanpa khilaf ketika berwudhu masih termasuk dalam sempadan muka yang harus dibuka semasa wanita mengerjakan solat. Bagaimanapun pandangan yang menganjurkan agar bahagian bawah dagu itu sebaiknya ditutup bersama khimar adalah pandangan yang berdasarkan ihtiyath (lebih berhati-hati).

Kesimpulan

Islam tidak menentukan pakaian yang khusus untuk dipakai oleh wanita ketika bersolat. Yang ditentukan oleh syarak ialah apa yang perlu ditutup, dan bukannya apa yang perlu dipakai. Justeru itu, para muslimah tidak perlu terikat dengan pemakaian telekung solat sahaja untuk mengerjakan solat kerana solat wanita boleh dikerjakan dengan apa jua bentuk pakaian, asal sahaja menutupi bahagian auratnya serta tidak terlalu nipis sehingga menampakkan warna kulit. (Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, jilid 1, hlm. 580).

Mungkin apabila berada di rumah, memakai telekung solat yang khusus itu adalah lebih mudah kerana biasanya wanita memakai pakaian yang ringkas dan tidak memakai tudung kepala ketika berada di dalam rumah sesama mahramnya. Namun apabila keluar dari rumah, seorang muslimah sepatutnya telah memastikan bahawa auratnya ditutup dengan sempurna agar tidak dilihat oleh lelaki ajnabi. Justeru itu, solat wanita yang bertudung kepala bersama jubah, baju kurung atau baju labuh dengan seluar panjang yang longgar adalah sah di sisi syarak, setelah dapat dipastikan bahawa lengannya tidak tersingkap dan kakinya juga tertutup dengan sempurna sama ada dengan memakai stokin ataupun kain yang dilabuhkan.

Sekiranya disiplin menutup aurat ini dijaga oleh para muslimah setiap kali keluar dari rumah sebagai memenuhi tuntutan yang diwajibkan oleh Allah SWT, sudah tentu keadaan ini akan menyelesaikan masalah sebahagian wanita yang menjadikan ketiadaan telekung solat sebagai alasan untuk melewat-lewatkan solat ataupun terus meninggalkan solat apabila keluar dari rumah.

Semoga Allah memudahkan kita semua untuk melaksanakan perintah-Nya sebagaimana yang Dia redhai, dan semoga kita semua para muslimah akan terus diberikan pahala oleh Allah swt setiap saat kita berpakaian menutup aurat dan memelihara kehormatan diri sebagaimana yang ditetapkan oleh syariat.

http://www.abuanasmadani.com