Sumber:
http://bm.harakahdaily.net
Banyak kisah ditampilkan dalam al-Quran memiliki pengajaran yang relevan
sepanjang zaman dengan kehidupan sosial kita. Al-Quran telah
menampilkan sejumlah tokoh teladan dan tokoh pengajaran agar dijadikan
renungan tentang akibatnya kepada masyarakat. Ada kisah pembela
kebenaran yang terdiri dari Para Nabi, Rasul dan orang-orang yang soleh,
ada juga tokoh pelopor kezaliman seperti Firaun, Tsamud, 'Ad, dan
Abrahah.
Selain dari tokoh daripada bangsa manusia, ada juga
kisah yang menampilkan pelajaran daripada bangsa haiwan. Kisah Nabi
Sulaiman dan burung Hud-Hud merupakan salah satu contoh kisah pengajaran
yang terkandung di dalam al-Quran. Kisah ini dirakamkan di dalam surah
an-Naml ayat 20 hingga 28 supaya ia menjadi pengajaran kepada manusia,
kisah mengenai sebuah kerajaan yang tidak akan dimiliki oleh
seseorangpun setelah kewafatan Nabi Allah Sulaiman AS.
"Wahai
Tuhanku! Ampuni kesilapanku, dan kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan
(yang tiada taranya dan) yang tidak akan ada pada sesiapapun kemudian
daripadaku; sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa Melimpah kurnia-Nya." (Surah as-Sadd : ayat 35)
Pada
satu ketika, Nabi Sulaiman AS mengumpulkan seluruh pengikutnya dan
memeriksa mereka sama ada daripada kalangan manusia, jin dan haiwan.
Sesudah diteliti, ternyata burung Hud-Hud didapati tidak hadir sehingga
menyebabkan Nabi Sulaiman AS murka kepada Hud-Hud dan bertekad akan
menyembelihnya sebagai hukuman. Tidak lama kemudian, Hud-Hud datang
menghadap Nabi Sulaiman dengan penuh pengaduan, menjelaskan
sebab-musabab keterlewatannya di dalam majlis perhimpunan yang
diwajibkan oleh Baginda Sulaiman.
Hud-Hud menjelaskan kepada
Baginda bahawa ia terserempak dengan seorang wanita bernama Balqis,
seorang ratu kerajaan Saba' yang memiliki singgahsana yang besar, tetapi
malangnya ratu tersebut tidak beriman dan tunduk kepada Allah Taala.
Pengaduan Hud-Hud diterima oleh Nabi Sulaiman, lantas Baginda
mengarahkan Hud-Hud untuk menyiasat perkara itu dan membawa surat
perutusan dari Baginda. Diringkaskan di sini bahawa Hud-Hud adalah
seekor makhluk kecil yang memiliki kepekaan dan prihatin terhadap
peristiwa yang berlaku di sekelilingnya.
Keistimewaan yang
dimiliki oleh Hud-Hud adalah taat kepada pemimpin dan dahagakan
maklumat. Walaupun Hud-Hud menyedari kelewatannya bertemu Nabi Sulaiman,
Hud-Hud tetap hadir dengan membawa amanah untuk dihadapkan kepada
pemimpinnya. Keterlewatan Hud-Hud bukan alasan untuknya tidak hadir
bertemu Nabi Sulaiman. Ini menunjukkan Hud-Hud memiliki sifat berani
biarpun kemungkinan yang bakal berlaku ialah Hud-Hud akan dihukum oleh
Nabi Sulaiman.
"Demi sesungguhnya! Aku akan menyeksanya
dengan seksa yang seberat-beratnya, atau aku akan menyembelihnya,
kecuali ia membawa kepadaku alasan yang terang nyata (yang membuktikan
sebab-sebab ia tidak hadir)." (Surah an-Naml : ayat 21)
Sekali
imbas ancaman yang dituturkan oleh Nabi Sulaiman A.S kepada Hud-Hud
tersebut adalah amat menggerunkan, apalagi jika ucapan tersebut
ditujukan kepada manusia yang melalaikan perintahnya. Seolah-olahnya
Nabi Sulaiman mengeluarkan ‘pekeliling surat berhenti kerja 24 jam’
kepada Hud-Hud, tetapi sambungan ayat selanjutnya menyerlahkan sisi lain
yang walaupun disampaikan dalam keadaan murka, namun rasional masih
menguasai diri Nabi Sulaiman, "...Kecuali jika dia datang kepadaku
dengan alasan yang jelas".
Yang pasti, Hud-Hud tidak terbang ke
negeri Saba' untuk bersiar-siar, makan angin ataupun melanggar
prinsip-prinsip umum seperti mengabaikan perintah pemimpin dan
sebagainya, sebaliknya Hud-Hud terbang dan kembali ke perbarisan Nabi
Sulaiman. Kelewatan Hud-Hud adalah kerana ingin mendapatkan maklumat
berkaitan keadaan politik di negeri Saba'. Misi yang dibawanya juga
adalah misi yang besar, iaitu misi mentauhidkan umat manusia, bukannya
misi berbentuk sekunder seperti masalah khilafiyyah, permusuhan peribadi
dan tuduh-menuduh, tetapi misi menyelamatkan manusia daripada menjadi
'parasit' kekufuran.
Namun, tindakan Hud-Hud pula janganlah
dijadikan alasan untuk bersikap tidak wala' kepada pimpinan, iaitu wabak
'hilang kawalan' dan 'emosional', atau watak mengutamakan pendapat
sendiri berbanding keputusan pimpinan dalam melakukan gerak kerja jamaah
sehingga tidak selari dengan dasar dan matlamat gerakan Islam. Kisah
ini tidak seharusnya dijadikan sandaran dalil kepada aktivis gerakan
Islam untuk buat 'kepala sendiri' atau ingin berperanan sebagai Hud-Hud
sahaja, iaitu mahu meninjau 'kawasan' sahaja tanpa melakukan kerja lain.
Hal ini kerana yang terbang ke sana sini barangkali bukannya Hud-Hud
milik Nabi Sulaiman, tetapi mungkin seekor gagak hitam yang
merayau-rayau meninjau timbunan sampah.
Hud-Hud tetap meletakkan
ketaatan kepada Nabi Sulaiman kerana ketaatan kepada pemimpin adalah
perkara dasar (thawabit) dalam berjamaah, bukan mengabaikannya. Sikap
yang ditunjukkan Hud-Hud juga memperlihatkan bahawa seorang perajurit
Islam mestilah memiliki kepekaan terhadap amanah, sikap mengkaji dan
teliti, bersemangat untuk menyedarkan kaum walaupun dengan kemampuan dan
peranan yang kecil. Begitulah juga dalam ilmu dakwah, kategori
penyampaian boleh dilakukan dengan pelbagai dari setinggi-tinggi kaedah
penyampaian sehingga serendah-rendah daya kemampuan, bermula dari kuasa
dan arahan, kemudiannya percakapan, penulisan dan seterusnya akhlak yang
baik.
Baginda Nabi Muhammad SAW sendiri sebelum dikenal sebagai
pemidato di pentas dakwah dan politik, Baginda SAW pada awalnya dikenal
melalui akhlak yang mulia sehingga digelar oleh sahabat dan musuh
sebagai "Al Amin".
Manakala dari sisi pengajaran yang dapat kita
amati dari sikap Nabi Allah Sulaiman pula, seorang pemimpin mestilah
memiliki sifat tegas dan sentiasa mencari jalan penyelesaian yang
terbaik, bukannya bertindak semberono dan menuduh tanpa pemeriksaan yang
nyata. Ketelitian Nabi Sulaiman dapat dilihat melalui katanya:
"Nabi
Sulaiman berkata; Kami akan fikirkan dengan sehalus-halusnya, adakah
benar apa yang engkau katakan itu, ataupun engkau dari golongan yang
berdusta." (Surah an-Naml : ayat 27)
Ketegasan ini
menunjukkan kepada setiap pemimpin agar jangan segera percaya dengan
setiap alasan yang diberikan tanpa penelitian. Dalam lapangan politik,
seorang pemimpin memang wajar bersikap buruk sangka kepada barisan yang
dipimpinnya, tetapi bukanlah dengan hanya bersikap buruk sangka sahaja
tanpa mencari jalan penyelesaiannya. Periksa betul-betul setiap laporan
yang dikemukakan, kerana khuatir maklumatnya ditokok-tambah, sedangkan
realitinya 'jauh panggang dari api'.
Hal ini kerana, informasi
yang tepat dan boleh dipercayai sangat penting untuk meneruskan
kelancaran organisasi agar visinya mampu bergerak laju tanpa 'tempang'.
Itulah yang ditekankan oleh Nabi Sulaiman, Baginda tidak terus melulu
menerima setiap patah kata-kata Hud-Hud, sebaliknya memeriksa intipati
kebenarannya:
"Pergilah bawa suratku ini, serta campakkanlah
kepada mereka, kemudian berundurlah dari mereka; dalam pada itu
perhatikanlah apa tindak balas mereka." (Surah an-Naml : ayat 28)
Imam
Al Qurtubi di dalam tafsirnya mengatakan, "Ayat ini adalah dalil yang
menunjukkan perlunya pengiriman surat-surat kepada orang-orang musyrik
dan menyampaikan dakwah tauhid kepada mereka, dan mengajak mereka masuk
Islam. Rasulullah SAW juga telah menulis surat kepada kerajaan Caesar
Romawi dan Kisra Parsi dan kepada beberapa raja yang zalim" - Rujuk
Tafsir Qurtubi 13/189
Dalam Surah An Naml ayat 28, sikap yang
ditunjukkan oleh Nabi Sulaiman juga mengajarkan bahawa seseorang
pemimpin itu mestilah merasai kehilangan anggota pengikutnya sekiranya
tidak hadir. Seorang pemimpin harus memerhatikan siapa yang tidak hadir
dalam setiap pertemuan dan kegiatan kerana ia merupakan tanggungjawab
yang mesti dilakukannya sebagaimana seorang imam memerhatikan kehadiran
para makmumnya. Kata Umar Al Khattab R.A, "Selidiklah sahabatmu di waktu
solat. Jikalau mereka tidak hadir kerana sakit, engkau jenguklah. Dan
sekiranya dalam keadaan sihat-sihat sahaja maka patutlah untuk dicela."
Nabi
Sulaiman juga mengajarkan kepada bakal pemimpin negara supaya tidak
meremehkan perkara kecil, kerana seringkali sesuatu yang besar bermula
dari awalnya nampak kecil. Tugas yang dimainkan oleh Hud-Hud hanya kecil
jika dibandingkan dengan jin Ifrit yang menanggung beban berat
singgahsana Balqis, tetapi sumbangan jentera kecilnya bernama Hud-Hud
tetap direkodkan di dalam al-Quran kerana "kejujurannya”. Selain itu,
sebagai manusia kita perlu merasa malu dengan Hud-Hud, spesis burung
yang kecil tetapi hidupnya digunakan untuk misi besar iaitu mengajak
manusia mentauhidkan Allah, bahkan dia melakukan tugasan mulia tersebut
tanpa menunggu arahan khusus.
Jika kita telusuri dunia penciptaan
yang berjaya mewujudkan peradaban di dunia, kita dapat melihat banyak
karya penciptaan dan hasil penemuan awalnya dirintis oleh individu tidak
ternama seperti Ibnu Firnas (W.887) yang mencipta bingkai pesawat yang
hanya boleh dikendalikan oleh seorang manusia sahaja. Kemudian hasil uji
kaji tersebut didukung oleh Wright brothers iaitu Oliver Wright dan
Wilbur Wright pada tahun 1903 sehingga berjaya menghasilkan pesawat
secanggih kita saksikan pada hari ini.
Demikan juga dalam medan
dakwah, pada awalnya ia bermula daripada kekentalan seorang individu,
kemudian akhirnya nanti ia menjadi garapan organisasi sebagaimana
kejayaan dakwah Nabi Muhammad SAW yang bermula dari era pembinaan umat
di Madinah, tetapi impak mutakhirnya Baginda berjaya mencipta pelbagai
versi tamadun kerajaan dan ketokohan manusia yang berkiblatkan dakwah
Islam.
Hasil kejayaan itu semuanya terangkum kepada kata kunci
"Misi & Visi". Jika haiwan sekecil Hud-Hudpun memiliki visi dan
misi-nya iaitu "MENTAUHIDKAN ALLAH", maka apatah lagi manusia yang
diberikan kudrat menundukkan seluruh makhluk yang diciptakan Allah di
muka bumi ini. Dengan visi dan misi inilah Salahuddin al-Ayyubi dapat
menguasai kembali Baitul Maqdis, dengan visi dan misi ini Saifuddin
Qutuz berjaya menewaskan tentera Tatar yang dianggap umat Islam waktu
itu sebagai Ya'juj wa Ma'juj, dengan visi dan misi ini juga menyebabkan
Khalid al-Walid tidak berkecil hati dengan perlucutan jawatannya sebagai
panglima perang oleh Khalifah.
Penutup
Marilah
kita tanamkan visi dan misi kehidupan kita semata-mata mentauhidkan
Allah Taala. Elakkan cara berfikir "ia bukan kerja saya", sebaliknya
bertindaklah seperti Hud-Hud yang walaupun dia hadir dengan 'lewatnya’,
tetapi komitmennya, keikhlasannya, kejujurannya dan gerak kerjanya
dipertaruhkan semata-mata demi usaha mentauhidkan Allah Taala. Kita
belajar ilmu untuk mentauhidkan Allah. Kita bekerja untuk mentauhidkan
Allah Taala. Kita menceburkan diri dalam dunia politik dan kepartian
untuk mentauhidkan Allah Taala, hatta dalam sekecil-kecil perkara
sekalipun seperti menulis di "wall facebook" dan sebagainya juga demi
mentauhidkan Allah Taala.
Hal ini kerana, jika anda benar-benar
jujur, kesalahan bukanlah ukuran seseorang itu melakukan kederhakaan,
tetapi adalah kejayaan yang akan menjadi renungan pada hari 'esok'.
Kejujuran adalah sifat para pendokong kemenangan. Hal ini dapat kita
pelajari dari kekalahan umat Islam di perang Mu'tah, iaitu ketika
ketiga-tiga orang panglima perang yang dilantik Rasulullah SAW gugur
syahid bernama Zaid bin Harithah, Jaafar bin Abi Talib, dan Abdullah bin
Rawahah; Khalid al-Walid mengambil alih tempat ketua tentera, atas
permintaan beberapa individu di dalamnya.
Khalid Al Walid melihat
bilangan tentera Islam terlalu sedikit jika dibandingkan dengan tentera
Rom. Oleh itu, Khalid membuat keputusan membawa tentera pulang ke
Madinah. Apabila mereka hampir dengan Madinah, mereka telah disambut
taburan tanah daripada orang ramai sambil berkata, "Wahai orang-orang
yang melarikan diri. Kamu telah lari daripada medan jihad di jalan
Allah."
Lantas Rasulullah SAW membela Para Sahabatnya yang jujur,
"Mereka bukanlah orang yang melarikan diri tetapi mereka adalah orang
yang akan mengulangi peperangan, Insya Allah" - Rujuk Sirah Ibnu Hisyam
4/292.
http://www.tarbawi.my
politeknik tuanku sultanah bahiyah ptsb kulim motivasi kesihatan dekorasi kerja dan puisi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
-
Sebenarnya, mereka boleh ja berlanggar. NASA dan organisasi antarabangsa yang lain mengesan satelit di angkasa lepas. Perlanggaran jarang t...
-
Mulakan langkah mu dengan fikiran terbuka Setiap insan punyai kelebihan sendiri Asah kemahiran di peringkat lebih tinggi Usaha dan harapan ...
-
Satelit dapat mengorbit mengelilingi planet bumi kerana ianya terkunci pada kelajuan yang sangat tinggi untuk mengatasi daya tarikan graviti...
No comments:
Post a Comment