sumber
http://bm.harakahdaily.net/
Soalan: Apakah Islam mengiktiraf sifat kedekut? Apakah akibat
bagi manusia kedekut, di dunia dan akhirat? Harap dapat penjelasan
daripada ustaz.
Jawapan: Terima kasih
kerana mengajukan persoalan dan semoga Allah SWT memberikan saya
kemampuan untuk menjawab persoalan ini. Sememangnya tidak dapat
dinafikan, sentiasa wujud di celah hati manusia itu satu penyakit yang
bernama kedekut ini. Hakikatnya juga, kedekut adalah salah satu perangai
manusia yang berkaitan dengan harta yang telah menghingapi manusia
sejak dari zaman dahulu kala.
Allah SWT berfirman yang
maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad kepada orang-orang kafir): Jika
kamu memiliki perbendaharaan rahmat Tuhanku pada ketika itu (segala
macam nikmat kehidupan) tentulah kamu akan berlaku bakhil kedekut kerana
takut kehabisan; dan sememangnya manusia itu bertabiat bakhil kedekut.”
(al-Isra’ : 100)
Lalu, apabila diuji dengan banyaknya
harta, maka ada manusia yang tipis imannya akan menjadi manusia yang
kedekut. Allah SWT menjelaskan lagi perihal ini di dalam al-Quran yang
maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah harta kamu dan
anak-anak kamu menyebabkan kamu lalai daripada mengingati Alah, dan
sesiapa yang berbuat seperti itu, maka mereka itulah orang-orang yang
rugi.” (al-Maidah : 9)
Oleh itu, Islam memang mengakui
bahawa sifat kedekut ini ada dalam diri manusia. Maka, awal-awal lagi
Allah SWT telah memberikan pesanan, agar manusia tidak menjadi kedekut
dalam kehidupannya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan jangan
sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah
dikurniakan Allah kepada mereka daripada kemurahan-Nya menyangka, bahawa
keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka; bahkan ia adalah buruk bagi
mereka. (Kelak) Mereka akan dikalungkan (diseksa) dengan apa yang mereka
bakhilkan itu pada hari kiamat.” (Ali Imran : 180)
Walau
bagaimanapun, perangai kedekut ataupun bakhil ini masih mendominasi
dalam diri kebanyakan manusia, sehingga menyebabkan mereka merasa begitu
sayang untuk menafkahkan harta kekayaan mereka ke jalan-jalan kebajikan
yang diredai Allah SWT. Misalnya, apabila mahu memberikan sedekah maka
mereka memilih wang yang kecil sahaja jumlahnya. Mereka merasa tidak
malu kepada Allah SWT, kerana diberikan rezeki yang banyak, mampu
membayar saluran tv berbayar, bil telefon dan pelbagai lagi sehingga
ratusan ringgit sebulan misalnya; namun untuk memberi sedekah RM10
sebulan pun terlalu berkira-kira.
Rasulullah SAW ada mengingatkan
kita di dalam sabda-Nya: “Jauhkanlah diri kamu daripada kebakhilan,
kerana sifat bakhil itulah yang membinasakan orang-orang terdahulu.
Sifat bakhil telah menyuruh mereka berbuat zalim, maka mereka melakukan
perbuatan zalim. Sifat bakhil (juga) telah menyuruh mereka memutuskan
tali kekeluargaan, maka mereka memutuskan tali kekeluargaan.” (Riwayat
Abu Daud)
Apakah tidak zalim namanya, kerana sanggup
membelanjakan wang dan harta ke jalan yang sia-sia, berhibur siang dan
malam, makan dan minum secara berlebihan, membeli pakaian mahal tanpa
keperluan dan sebagainya lagi; sedangkan pada masa yang sama masih ada
saudara-maranya, jiran tetangga malah kaum kerabatnya yang mungkin
memerlukan bantuan.
Bukankah semua ini, menzalimi dirinya kerana
akan diheret ke neraka kerana melakukan pembaziran dan pada masa yang
sama, menzalimi orang lain yang memerlukan? Apakah tidak mungkin, akan
tercetusnya perasaan marah, benci dan sakit hati golongan ini andai
mengetahui, wang si kaya dihamburkan tanpa sedikit pun diagihkan kepada
mereka yang sering kelaparan dan kesusahan?
Maka, apakah akibat
daripada sifat buruk kedekut dan bakhil ini? Sudah pasti kita perlu
merujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah dalam menjustifikasikannya.
Pertama,
orang yang kedekut dan bakhil ini boleh dianggap berdosa kepada Allah
SWT. Ini selaras dengan apa yang disebutkan di dalam dalil di atas tadi
(Ali Imran : 180) dan di akhirat, mereka bakal masuk ke dalam neraka,
sesuai dengan hadis Rasulullah SAW: “Bentengilah diri kalian dari seksa
api neraka meskipun dengan separuh buah kurma.” (Muttafaqun ‘alaih).
Orang yang kedekut, maka tiada banteng api neraka pada dirinya.
Kedua, orang kedekut akan mendapat kesusahan dalam kehidupan dunia dan akhirat. Firman Allah SWT bermaksud:
“Sebaliknya: orang yang bakhil (daripada berbuat kebajikan) dan merasa
cukup dengan kekayaan dan kemewahannya, serta dia mendustakan perkara
yang baik; maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk
mendapat kesusahan dan kesengsaraan.” (al-Lail : 8-10)
Ketiga,
sifat kedekut boleh membinasakan diri dan manusia lainnya atau ummah
keseluruhannya. Kerana ia mencetuskan sifat tamak haloba, hingga
akhirnya mengambil harta yang bukan miliknya dan menidakkan hak orang
lain. Hal ini boleh disandarkan kepada al-hadis di atas.
Keempat,
manusia membencinya. Nabi Muhammad SAW menukaskan: “Orang yang pemurah
itu dekat dengan Allah, dekat dengan manusia dan jauh daripada api
neraka. Orang yang kedekut itu jauh daripada Allah, jauh daripada
manusia dan dekat dengan neraka. Sesungguhnya orang yang bodoh tetapi
pemurah itu lebih disayangi Allah daripada seorang abid yang bakhil.”
(Hadis Riwayat Tirmizi)
Kelima, orang kedekut menjadi lalai hingga terus leka dalam mengumpulkan harta kekayaannya. Allah mengingatkan:
“Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan
berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda,
anak-pinak pangkat dan pengaruh), hingga kamu masuk ke liang kubur.”
(at-Takaathur : 1-2)
Keenam, orang kedekut
tidak mendapat keberkatan dalam hidupnya kerana kemungkinan besar
hartanya bercampur baur dengan hak milik orang lain. Maka, dia tidak
akan merasa bahagia, harta banyak rumahnya luas tetapi terasa tidak
cukup dan sempit sekali hidupnya, justeru dia sudah di ambang
kebinasaan. Allah SWT menyatakan: “Belanjakanlah (hartamu) pada
jalan Allah dan janganlah kamu jatuhkan dirimu ke dalam kebinasaan
(dengan mengingkari perintah Allah) dan berbuat baiklah. Sesungguhnya
Allah mengasihi orang-orang yang berbuat baik.” (al-Baqarah : ayat 195)
Ketujuh,
kedekut mengundang kebinasaan sama ada di dunia (binasa hartanya) mahu
pun akhirat (harta menyeretnya ke neraka), seperti diperingatkan oleh
Nabi SAW, bahawa ada tujuh kebinasaan yang boleh menimpa manusia dan
salah satu daripadanya adalah sifat kedekut (mafhum hadis riwayat
an-Nasai).
Kelapan, orang bakhil dan kikir tidak
mendapat pertolongan di dunia dan akhirat kerana mereka mengabaikan
perintah Allah SWT, samalah seperti Qarun: “Lalu Kami (Allah)
benamkan dia (Qarun) bersama-sama dengan rumahnya ke dalam tanah, maka
tidaklah dia mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya daripada
azab Allah; dan dia pula tidak dapat menolong dirinya sendiri.”
(al-Qasas: 81)
Kesimpulannya, perangai
kedekut ini adalah penyakit hati yang amat merosakkan manusia, sama ada
di dunia mahu pun akhirat. Malah, jika dikaji dengan lebih mendalam,
masih banyak lagi kesan dan akibat buruk sifat kedekut ini ke atas diri
manusia. Namun, untuk ruangan ini, rasanya apa yang dipaparkan di atas
sudah memadai. Yang lebih utama, sudahkah kita bersedia untuk mengikis
sifat kedekut dan belajar menjadi lebih pemurah dari sehari ke sehari.
Wallahua’lam.
Nota: Disediakan oleh Ustaz Hamizul Abdul
Hamid, Eksekutif Komunikasi Korporat, Lembaga Zakat Selangor (MAIS) dan
sebarang persoalan zakat sila emailkan kepada
hamizul@e-zakat.com.my atau untuk info lanjut boleh layari www.e-zakat.com.my atau http://blog.e-zakat.com.my.
politeknik tuanku sultanah bahiyah ptsb kulim motivasi kesihatan dekorasi kerja dan puisi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
-
Sebenarnya, mereka boleh ja berlanggar. NASA dan organisasi antarabangsa yang lain mengesan satelit di angkasa lepas. Perlanggaran jarang t...
-
Mulakan langkah mu dengan fikiran terbuka Setiap insan punyai kelebihan sendiri Asah kemahiran di peringkat lebih tinggi Usaha dan harapan ...
-
Satelit dapat mengorbit mengelilingi planet bumi kerana ianya terkunci pada kelajuan yang sangat tinggi untuk mengatasi daya tarikan graviti...
No comments:
Post a Comment