sumber
http://bm.harakahdaily.net/
Antara syiar terpenting yang dapat membezakan seorang wanita Islam
dengan wanita bukan Islam ialah dari segi disiplin pakaian yang menepati
kehendak dan piawaian syariat. Disiplin berpakaian ini lebih kerap
disebut sebagai kewajipan menutup aurat kerana secara asasnya Islam
tidak menetapkan jenis pakaian yang perlu dipakai, tetapi menetapkan
bahagian mana yang wajib ditutup bersama beberapa kriteria asas. Hal ini
bersesuaian dengan ciri-ciri syariat Islam itu sendiri yang bersifat
thabat dan murunah, tetap dalam menjaga prinsip-prinsip asas dan anjal
jika melibatkan permasalahan cabang dan kaedah pendekatan. Ia tegas dari
segi prinsip wajib memakai tudung kepala dan menutup aurat mengikut
batas yang telah ditentukan. Namun dari segi jenis pakaiannya masih
fleksibel dan boleh disesuaikan selama mana ia memenuhi garis panduan
atau ciri-ciri menutup aurat.
Justeru, kita melihat agama Islam
boleh tersebar ke segenap pelosok dunia dan para wanita Islam daripada
pelbagai bangsa dapat menyesuaikan pakaian mereka yang sedia ada dengan
identiti seorang wanita Islam yang bertudung dan menutup aurat.
Sebagaimana
yang sedia maklum, perintah agar menutup aurat dan menyembunyikan
perhiasan tubuh badan wanita daripada pandangan lelaki yang bukan mahram
merupakan satu perintah Allah yang disebutkan secara jelas dalam
al-Quran al-Karim, yang bermaksud:
“.. Dan janganlah mereka
(golongan mukminah) memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang
zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya
dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan
perhiasan tubuh mereka kecuali kepada suami mereka, atau bapa mereka,
atau bapa mentua mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera
suami mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka, atau putera-putera
saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau
wanita-wanita Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang-orang gaji
lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau
kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan
janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang
tersembunyi dari perhiasan mereka...” (Surah al-Nur : Ayat 31)
Perbahasan
tentang perhiasan yang disebutkan di dalam ayat ini begitu panjang
dibincangkan oleh para ulama. Dr Yusof al-Qardhawi menyebut bahawa para
muslimah dilarang keras membuka atau menampakkan perhiasannya yang
seharusnya disembunyikan seperti perhiasan telinga (anting-anting),
perhiasan kepala (rambut dan sanggul), perhiasan leher (rantai),
perhiasan dada (belahan dadanya) dan perhiasan kaki (betis dan gelang
kaki). Semuanya ini tidak boleh diperlihatkan kepada lelaki melainkan
suami dan mahram sahaja. Golongan muslimah hanya boleh membuka muka dan
kedua telapak tangan yang memang diberikan kelonggaran oleh syarak untuk
didedahkan.
Pemahaman ini telah diperkuatkan lagi oleh hadis
Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Aisyah RA bahawa kakaknya Asma’ binti
Abu Bakar RA pernah masuk ke rumah Nabi SAW dengan berpakaian jarang
sehingga nampak kulitnya, lalu Rasulullah SAW memalingkan wajahnya lalu
menyebut, “Wahai Asma’, sesungguhnya seorang perempuan apabila sudah
didatangi haid (mencapai usia baligh), tidak patut diperlihatkan
tubuhnya itu melainkan ini dan ini” – sambil menunjukkan muka dan dua
tapak tangannya. (H.R. Abu Daud)
Justeru itu, para ulama telah
menetapkan beberapa garis panduan untuk memastikan bahawa ciri-ciri
pakaian muslimah itu bukan sahaja menutup kulit di bahagian badan yang
menjadi auratnya, tetapi juga menepati konsep menutup aurat bagi
mencapai objektif yang dikehendaki oleh syariat.
Tujuh Garis Panduan Pakaian Muslimah di Hadapan Bukan Mahram
Pertama:
Pakaian yang menutupi keseluruhan tubuh badan melainkan muka dan tapak
tangan. Ini adalah berdasarkan kepada dalil-dalil yang telah disebutkan.
Kedua:
Pakaian tersebut bukanlah perhiasan yang melampau, atau bertabarruj
sehingga menarik perhatian. Bertabarruj boleh difahami secara umum
sebagai memperlihatkan kecantikan wanita sama ada di bahagian muka atau
lain-lain perhiasan pada pakaian dan bahagian tubuh badan. Ini termasuk
solekan yang tebal selain bedak, celak dan inai yang biasa dipakai oleh
wanita.
Ketiga: Pakaian tersebut tidak terlalu nipis atau jarang sehingga menampakkan warna kulit atau membayangkan anggota tubuh.
Keempat:
Pakaian tersebut hendaklah longgar, tidak ketat sehingga menggambarkan
bentuk tubuh dan tidak menampakkan tempat-tempat fitnah yang mengundang
syahwat. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah
SAW bersabda:
“Ada dua golongan daripada ahli neraka yang
belum pernah saya lihat keduanya, (salah satunya ialah) perempuan yang
berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan
mencederungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar
bonggol unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak akan
dapat mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh
perjalanan demikian dan demikian.” (H.R Muslim)
Kelima:
Tidak memakai wangian yang harumnya boleh dihidu oleh lelaki ajnabi.
Nabi SAW telah mengingatkan kaum wanita dalam sebuah hadis yang
bermaksud:
“Mana-mana wanita yang berwangi-wangian dan
kemudiannya lalu di khalayak lelaki yang menghidu harumannya, maka ia
adalah seperti wanita penzina, dan setiap mata (lelaki) yang tertarik
lalu memandangnya adalah mata yang berzina.” (H.R Abu Daud, At-Tirmizi:
Hasan Sahih)
Keenam- Tidak menyerupai pakaian lelaki. Allah
SWT melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan juga wanita yang
menyerupai lelaki. Rasulullah SAW telah bersabda:
“Bukan
dari golongan kami siapa saja wanita yang menyerupai lelaki dan siapa
saja lelaki yang menyerupai wanita.” (Musnad Ahmad, no: 6875).
Ketujuh:
Tidak dipakai untuk tujuan kemasyhuran, glamor atau menunjuk-nunjuk.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang memakai pakaian
demi kemasyhuran, maka Allah akan memakaikannya pada hari Qiamat yang
sepertinya, kemudian membakarnya dengan api neraka.” (H.R Abu Daud:
4029)
Pakaian kemasyhuran tidak hanya tertumpu kepada pakaian
yang cantik bergemerlapan sahaja, tetapi juga pakaian yang sengaja
diburuk-burukkan dengan tujuan supaya orang ramai mengatakannya seorang
yang zuhud.
Tujuan Wanita Diperintah Memelihara Aurat
Sudah
tentu tujuan utama menunaikan perintah menutup aurat adalah sebagai
satu manifestasi pengabdian kita kepada Allah yang mesti ditaati
perintah-Nya. Seandainya di tempat-tempat kerja mempunyai etika pakaian
yang tersendiri yang mesti dipatuhi oleh pekerja, maka di dunia ini yang
merupakan tempat kita beramal juga mempunyai etika pemakaiannya yang
tersendiri. Sekiranya perbuatan melanggar etika berpakaian di tempat
kerja atau tempat belajar dianggap sebagai satu kesalahan yang boleh
dikenakan tindakan tata tertib, maka begitulah juga perbuatan melanggar
etika berpakaian sebagai seorang muslim atau muslimah di dunia ini
adalah berdosa dan akan dikenakan tindakan dan hukuman di akhirat nanti.
Allah SWT menyebut di dalam al-Quran, yang bermaksud:
“Dan
tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan –
apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu
perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan
sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum
Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan
yang jelas nyata.” (Surah al-Ahzab : ayat 36)
Namun,
kerapkali kedengaran suara wanita Islam yang tidak berpuas hati dengan
kewajipan menutup aurat yang kelihatan jauh lebih berat berbanding
lelaki. Harus difahami bahawa keadilan Islam dalam meletakkan batasan
aurat yang berbeza antara lelaki dan perempuan sudah tentu ada hikmah
tersendiri yang diatur oleh Allah, Pencipta Yang Maha Bijaksana. Ada
kalangan masyarakat Islam yang turut menganggap batasan ini sebagai satu
pantang larang yang menyekat kebebasan wanita. Mereka terpengaruh
dengan agenda musuh Islam yang sentiasa menganjurkan wanita mendedahkan
aurat kononnya untuk memberi kebebasan kepada wanita, namun sebenarnya
ia adalah untuk memberi kebebasan kepada mereka untuk mudah mendekati
lantas merosakkan wanita.
Sesungguhnya bagi kaum muslimah, tujuan
penutupan aurat yang agak ketat adalah untuk menjaga kehormatan diri
wanita yang tinggi nilainya di sisi Islam. Bagaimana mungkin sesuatu
yang berharga dan tinggi nilainya dibiarkan terdedah sehingga boleh
dilihat dan dicapai oleh golongan yang tidak berhak?
Wanita juga
diwajibkan memenuhi kriteria menutup aurat untuk menjaga ketenteraman
awam agar tidak terganggu secara emosi dengan aurat yang terdedah
sehingga menjadi punca berlakunya kerosakan dan maksiat. Bahagian tubuh
yang didedahkan dan menggoda kerap kali mengganggu ketenteraman jiwa
lelaki dan mungkin juga wanita yang melihat sehingga turut mengganggu
kerukunan rumahtangga dan masyarakat.
Justeru, dengan menutup
aurat secara sempurna akan menyelamatkan wanita, lelaki dan seluruh
masyarakat daripada begitu banyak kerosakan yang mungkin berlaku. Di
dalam al-Quran Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Wahai
Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan
wanita-wanita mukmin, hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh
tubuh mereka. Yang demikian itu lebih baik, supaya mereka lebih mudah
untuk dikenali, kerana itu mereka tidak diganggu.” (Surah al-Ahzab :
ayat 59)
Seorang muslimah yang solehah akan berusaha untuk
menutup aurat dengan sempurna, melabuhkan tudungnya agar mereka tidak
diganggu kerana dikenali sebagai perempuan yang baik. Lebih penting
daripada itu ialah seorang muslimah juga hendaklah sentiasa menjaga
maruah diri, memelihara sifat malu, tidak sewenang-wenangnya menonjolkan
diri untuk tatapan ramai, menjaga pergaulan, tutur bicara dan pandangan
mata daripada apa yang diharamkan oleh Allah. Sudah tentu tanpa
keperibadian muslimah dan akhlak yang baik secara menyeluruh, pakaian
yang dilihat menutup aurat sahaja belum mampu menjamin tercapainya
tujuan di sebalik penutupan aurat kaum muslimah.
Adakah Berbeza Aurat Wanita di Dalam dan di Luar Solat?
Menjadi
fenomena yang biasa berlaku dalam kalangan wanita Islam ialah walaupun
ada kalangan mereka yang tidak sempurna penutupan auratnya dalam
kehidupan seharian, namun mereka masih lagi menitik beratkan kewajipan
menutup aurat dalam mengerjakan solat. Masing-masing faham betapa
besarnya implikasi jika mengerjakan solat tanpa menutup aurat dengan
sempurna kerana menutup aurat itu termasuk di dalam syarat sah solat.
Lantaran itulah kebanyakan masyarakat Islam, lebih-lebih lagi masyarakat
Melayu menyediakan telekung solat yang khusus bagi wanita bukan hanya
untuk memastikan kebersihan pakaiannya ketika mengerjakan solat, tetapi
juga untuk memastikan auratnya terjaga dengan lebih sempurna dan sah
solatnya.
Timbul persoalan, adakah aurat wanita ketika berada di
luar solat dan ketika mengerjakan solat mempunyai sempadan dan hukum
yang berbeza? Secara ringkas, ketika berada di luar solat, aurat wanita
yang wajib ditutup daripada pandangan sesama wanita dan sesama mahram
terdekatnya adalah di antara pusat dengan lutut. Seandainya menimbulkan
fitnah, maka wajib ditutup apa yang dikhuatiri menimbulkan fitnah
tersebut walaupun di antara sesama mahram.
Manakala aurat wanita
di hadapan lelaki ajnabi pula mengikut pandangan yang muktamad ialah
seluruh tubuh badannya melainkan muka dan dua tapak tangan sebagaimana
yang telah dibincangkan di atas.
Dalam hal mengerjakan solat
pula, sempadan aurat wanita yang wajib ditutup sebagai syarat sah solat
ialah yang sama seperti sempadan aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi.
Imam al-Syafi’e di dalam kitab al-Umm (Jilid 1, hlm. 109) menyebut
bahawa seorang perempuan wajib menutup seluruh badannya di dalam solat
melainkan muka dan kedua tapak tangannya.
Pakaian Wanita Ketika Mengerjakan Solat
Imam al-Tirmizi (No. hadith 277) meriwayatkan daripada Aisyah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
“Tidak diterima solat perempuan yang telah baligh melainkan dengan memakai kain yang menutup kepalanya.”
Di
dalam sebuah hadis yang lain pula, Ummul Mu’minin Ummu Salamah RA telah
meriwayatkan bahawa beliau telah bertanya kepada Nabi SAW:
“Adakah
seseorang perempuan itu boleh bersolat dalam keadaan memakai baju dan
tudung kepala sahaja, tetapi tidak memakai kain sarung? Rasulullah s.a.w
menjawab: Boleh, jika bajunya itu labuh sehingga menutup zahir
(bahagian atas) kedua kakinya.” (H.R Abu Daud, no. 640 dan al-Baihaqi,
jilid 2, no. 232)
Terdapat tiga istilah yang telah
disebutkan di dalam hadis di atas berkenaan dengan pakaian wanita di
dalam solat iaitu dir’ (baju yang menutupi bahagian tengah tubuh),
khimar (tudung yang menutupi kepala) dan juga izar (kain sarung yang
menutupi bahagian bawah badan).
Berdasarkan hadis berkenaan
dengan khimar di atas, maka tidak ada khilaf dalam kalangan fuqaha
bahawa hukum menutup kepala iaitu seluruh rambut, telinga dan juga leher
adalah wajib bagi wanita yang telah baligh di dalam solatnya.
Adapun
pakaian yang boleh digunakan untuk mengerjakan solat pula ialah apa jua
pakaian yang menutup keseluruhan tubuh badan wanita sehingga ke
kakinya, kecuali bahagian muka dan dua tapak tangan sama ada dengan
sehelai pakaian atau lebih. Hal ini jelas disebut oleh Ibn al-Munzir
berdasarkan kepada hadis Ummu Salamah yang telah disebutkan tadi, di
mana baju labuh yang sudah menutupi zahir kedua kaki boleh dipakai untuk
bersolat, dan tidak perlu lagi memakai kain sarung yang khusus.
(Al-Mufassal fi Ahkam a-Mar’ah wa al-Bait al-Muslim, jilid 1, hlm 193)
Imam
Ahmad pula berkata, “Disepakati oleh para ulama bahawa yang wajib
dipakai ialah baju yang labuh (dir’ atau jubah) dan tudung kepala
(khimar). Namun jika ditambah (kainnya) adalah lebih afdhal jika ia
lebih menutupi aurat. Adalah dikira memadai dengan dua helai pakaian itu
kerana ia sudah menutup apa yang wajib ke atasnya untuk ditutup.”
(Al-Mughni, jilid 2, hlm. 330-331)
Adapun pakaian solat wanita
yang lebih digalakkan menurut para ulama ialah sebanyak tiga helai
pakaian iaitu dir’ (baju yang longgar menutupi badan hingga ke kaki),
khimar (yang menutup kepala dan leher) dan jilbab iaitu telekung yang
besar diletakkan di atas khimar yang melitupi sebahagian besar tubuh
supaya tidak menampakkan bentuk tubuh wanita. (Al-Mufassal fi Ahkam
al-Mar’ah wa al-Bait al-Muslim, jilid 1, hlm. 193)
Beberapa Isu Berkenaan Pakaian Solat Wanita
Pertama:
Jika dilihat sekilas pandang, maka asas sempadan aurat wanita di dalam
solat adalah sama dengan sempadan auratnya di luar solat apabila
terdedah kepada pandangan lelaki ajnabi. Namun bagi para ulama yang
berpandangan bahawa terdapat perbezaan bagi sempadan aurat di dalam dan
di luar solat, maka kebanyakan mereka menjadikan aurat di luar solat
iaitu di hadapan lelaki ajnabi itu lebih ketat daripada aurat wanita
ketika mengerjakan solat di tempat yang tidak dapat dilihat oleh lelaki
ajnabi. Ini adalah kerana bagi kebanyakan ulama, fitnah di dalam solat
adalah lebih ringan berbanding fitnah di luar solat. Justeru itu, tiada
khilaf tentang perlunya membuka muka untuk mengerjakan solat, tetapi
terdapat khilaf tentang wajibnya menutup muka di hadapan lelaki ajnabi
di luar solat.
Begitu juga masih sah solat wanita yang bersolat
dengan pakaian yang ketat apabila telah menutup bahagian auratnya kerana
tidak ada dalil yang mengatakan sebaliknya. Namun begitu ada di
kalangan ulama yang meletakkan hukumnya sebagai makruh. Akan tetapi
sekiranya pakaian yang ketat itu dipakai di hadapan lelaki ajnabi, maka
hukumnya adalah haram dan berdosa.
Dukacitanya, hukum yang telah
dirumuskan oleh para fuqaha berpandukan al-Quran dan al-Sunnah di atas
tidak difahami dan tidak dipatuhi oleh sebilangan wanita Islam dewasa
ini. Amalan masyarakat yang mengetatkan penutupan aurat di dalam solat
kerana khuatir ibadah mereka tidak sah, tetapi pada masa yang sama tidak
begitu menitik beratkan penjagaan aurat di luar solat dalam kehidupan
seharian adalah jelas bertentangan dengan hukum berkenaan. Hal ini
berlaku mungkin kerana masih terpisahnya aspek ibadah daripada soal
kehidupan bagi kebanyakan anggota masyarakat kita. Padahal sebagaimana
menutup aurat di dalam solat itu adalah perintah Allah SWT, maka menutup
aurat di luar solat juga adalah perintah Allah SWT yang wajib dipatuhi
dengan sebaiknya.
Kedua: Yang dimaksudkan dengan
dua tapak tangan yang dibenarkan untuk dibuka ialah bermula dari hujung
jari jemari sehingga ke tulang yang timbul di pergelangan tangan
(al-ku’), termasuk belakang dua tapak tangannya, zahir dan batinnya
(Nihayatul Muhtaj, jilid 2, hlm. 6). Manakala pandangan yang mengatakan
bahawa hanya bahagian tapak tangan sahaja yang harus dibuka, sedangkan
belakang tapak tangan itu perlu ditutup dengan telekung solat yang labuh
atau lengan baju yang panjang adalah tidak mempunyai dalil atau hujah
yang kuat. Jumhur fuqaha menegaskan bahawa seluruh tapak tangan wanita
(zahir dan batinnya) adalah bukan aurat di dalam bersolat (Ahkam
al-‘Aurah wa al-Nazor, hlm. 234).
Ketiga:
Berkenaan dengan kaki wanita pula, maka menurut pandangan yang muktamad
daripada mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali, ia merupakan aurat wanita
yang wajib ditutup di dalam solat dan di luarnya ketika berhadapan
dengan lelaki ajnabi. Namun demikian masih lagi terdapat khilaf di dalam
mazhab-mazhab itu sendiri tentang keharusan membuka kaki di dalam
solat. Menurut mazhab Hanafi pula, kaki wanita bukanlah aurat dan tidak
perlu ditutup sama ada ketika solat mahupun di luarnya. Namun terdapat
satu riwayat yang lain di dalam mazhab tersebut yang menetapkan bahawa
kaki wanita juga adalah aurat di hadapan lelaki ajnabi, tetapi bukan
aurat yang perlu ditutup di dalam solat. (Ahkam al-‘Aurah wa al-Nazor,
hlm. 233)
Pandangan jumhur fuqaha dibuat berdasarkan kepada hadis
Ummu Salamah yang telah disebutkan di awal tadi. Hadis tersebut memberi
maksud bahawa baju labuh yang wajib dipakai oleh wanita untuk
mengerjakan solat ialah yang menutup kakinya. Ini adalah kerana apabila
pakaian solat wanita sudahpun menutup zahir kedua kakinya ketika berdiri
dan rukuk, ia pasti akan menutup tapak kakinya ketika duduk dan sujud
disebabkan berhimpunnya anggota-anggota tubuh yang lain ketika duduk dan
sujud.
Keempat: Berkenaan dagu wanita yang
seringkali ditutup dengan telekung solat di negara kita, adakah ianya
termasuk bahagian yang wajib ditutup ataupun ia adalah sebagai satu cara
untuk lebih berhati-hati (ihtiyath)?
Perbincangan mengenai
sempadan muka boleh didapati di dalam bab bersuci iaitu dalam
membincangkan tentang had muka yang wajib dibasuh sewaktu berwudhu.
Secara ringkas, sempadan muka dari segi memanjang bermula dari tempat
tumbuh rambut (bahagian atas) hingga ke bahagian paling bawah dagu, dan
dari segi lebarnya bermula dari telinga hingga ke telinga. (Fiqh
Minhaji, jilid 1, hlm. 60). Namun Dr Yusof al-Qaradhawi di dalam bukunya
Fiqh al-Thaharah (hlm. 141) menyebut pandangan beliau bahawa adalah
tidak perlu untuk mengehadkan sempadan muka dengan begitu detil kerana
ia adalah sebagaimana yang telah diketahui umum merupakan wajah yang
dapat dilihat dari arah hadapan.
Justeru, dagu yang wajib dibasuh
tanpa khilaf ketika berwudhu masih termasuk dalam sempadan muka yang
harus dibuka semasa wanita mengerjakan solat. Bagaimanapun pandangan
yang menganjurkan agar bahagian bawah dagu itu sebaiknya ditutup bersama
khimar adalah pandangan yang berdasarkan ihtiyath (lebih berhati-hati).
Kesimpulan
Islam
tidak menentukan pakaian yang khusus untuk dipakai oleh wanita ketika
bersolat. Yang ditentukan oleh syarak ialah apa yang perlu ditutup, dan
bukannya apa yang perlu dipakai. Justeru itu, para muslimah tidak perlu
terikat dengan pemakaian telekung solat sahaja untuk mengerjakan solat
kerana solat wanita boleh dikerjakan dengan apa jua bentuk pakaian, asal
sahaja menutupi bahagian auratnya serta tidak terlalu nipis sehingga
menampakkan warna kulit. (Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, jilid 1, hlm.
580).
Mungkin apabila berada di rumah, memakai telekung solat
yang khusus itu adalah lebih mudah kerana biasanya wanita memakai
pakaian yang ringkas dan tidak memakai tudung kepala ketika berada di
dalam rumah sesama mahramnya. Namun apabila keluar dari rumah, seorang
muslimah sepatutnya telah memastikan bahawa auratnya ditutup dengan
sempurna agar tidak dilihat oleh lelaki ajnabi. Justeru itu, solat
wanita yang bertudung kepala bersama jubah, baju kurung atau baju labuh
dengan seluar panjang yang longgar adalah sah di sisi syarak, setelah
dapat dipastikan bahawa lengannya tidak tersingkap dan kakinya juga
tertutup dengan sempurna sama ada dengan memakai stokin ataupun kain
yang dilabuhkan.
Sekiranya disiplin menutup aurat ini dijaga oleh
para muslimah setiap kali keluar dari rumah sebagai memenuhi tuntutan
yang diwajibkan oleh Allah SWT, sudah tentu keadaan ini akan
menyelesaikan masalah sebahagian wanita yang menjadikan ketiadaan
telekung solat sebagai alasan untuk melewat-lewatkan solat ataupun terus
meninggalkan solat apabila keluar dari rumah.
Semoga Allah
memudahkan kita semua untuk melaksanakan perintah-Nya sebagaimana yang
Dia redhai, dan semoga kita semua para muslimah akan terus diberikan
pahala oleh Allah swt setiap saat kita berpakaian menutup aurat dan
memelihara kehormatan diri sebagaimana yang ditetapkan oleh syariat.
http://www.abuanasmadani.com
politeknik tuanku sultanah bahiyah ptsb kulim motivasi kesihatan dekorasi kerja dan puisi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
-
Sebenarnya, mereka boleh ja berlanggar. NASA dan organisasi antarabangsa yang lain mengesan satelit di angkasa lepas. Perlanggaran jarang t...
-
Mulakan langkah mu dengan fikiran terbuka Setiap insan punyai kelebihan sendiri Asah kemahiran di peringkat lebih tinggi Usaha dan harapan ...
-
Satelit dapat mengorbit mengelilingi planet bumi kerana ianya terkunci pada kelajuan yang sangat tinggi untuk mengatasi daya tarikan graviti...
No comments:
Post a Comment