Thursday 20 July 2023

Keajaiban pepohon kurma Jabir yang didoakan Rasullulah




Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani

Peringatan buat diriku yang lupa


Gambar hiasan

Jabir meriwayatkan, "Beliau pergi kepada Rasulullah s.a.w dan berkata, "Engkau mengetahui bahawa ayahku syahid pada hari Uhud, dan dia banyak berhutang, dan aku ingin agar dapat membayar orang yang ayahku berhutang." Nabi pun berkata, "Pergilah dan esok pagi aku akan ke rumah mu."  Esok paginya Rasulullah pergi ke rumah Jabir dan bertanya tentang pepohon kurma yang Jabir ada. Rasulullah s.a.w mengelilingi pepohon kurma dan mendoakan nya .. Alhamdulillah, apabila Rasulullah pergi, pepohon kurma telah mengeluarkan buah2 kurma dengan banyaknya. Jabir menjual buah kurma dan dapat membayar hutang ayahnya tapi masih ada banyak lagi buah kurma di atas pokok. Ini adalah salah satu mukjizat Rasulullah s.a.w.

Para sahabat berkata kepada Nabi Muhammad, benarlah engkau adalah Rasulullah...


Selepas Rasulullah wafat, berlaku banyak peperangan antara orang-orang Islam. Beliau terlibat dalam perang siffin, tetapi merasa sangat sedih kerana melihat ramai nya orang-orang Islam yang meninggal dunia. Lalu beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan peperangan. Beliau hanya mahu mengajar di masjid Nabawi...

(Dipetik dari ceramah ustaz Shamsuri tentang kisah Jabir bin Abdullah)


Wallahu a'lam

Wednesday 19 July 2023

Pernikahan Jabir, seorang sahabat Rasulullah


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani

Peringatan buat diriku yang lupa

Pasti anda telah mendengar kisah Rasulullah saw bertanya seorang sahabat bernama Jabir yang baru berkahwin, “Jandakah atau anak dara?” 

Jabir memberitahu dia mengahwini janda, maka baginda bersabda, “Kenapa tidak kahwini anak dara? Kamu boleh bergurau senda dengannya, dia juga boleh bergurau senda denganmu.” 

Sebenarnya ada sesuatu yang menyebabkan sahabat ini mengahwini janda. Ceritanya begini..

Rasulullah saw seorang pemimpin yang sentiasa mengambil berat keadaan para sahabat. Sakit pening, susah senang, suka duka dan sebagainya sentiasa diambil tahu oleh baginda. Ada kalanya baginda menyiasat sendiri keadaan mereka. 

Al Bukhari meriwayatkan bahawa Jabir bin Abdullah pernah menceritakan kisah bagaimana baginda cuba menyelidiki keadaan hidupnya. 

Dalam perjalanan pulang ke Madinah selepas peristiwa pembukaan Makkah, Rasulullah saw memerhatikan Jabir sedang menunggang unta yang biasa digunakan untuk mengangkut air. Unta itu kelihatan sangat lesu, letih dan lemah untuk melangkah. 

Baginda bertanya, “Apa kena dengan unta ini?” 

Jabir menjawab, “Unta ini memang sudah semakin uzur.” 


Gambar hiasan

Baginda kemudiannya memperlahankan langkah untanya. Apabila sudah berada betul-betul di belakang unta Jabir, baginda cuba menolak dan mendorong unta itu. Unta itu pun mula berjalan laju. Ia memintas unta-unta yang lain. 

Selepas beberapa ketika baginda bertemu lagi dengan Jabir lalu bertanya, “Bagaimana untamu sekarang?” 

Jabir menjawab, “Ia semakin baik. Sebelum ini ia ada masalah pada kakinya.” 

Rasulullah saw mengesyaki Jabir dalam kesusahan. Jika tidak masakan dia masih menggunakan khidmat untanya yang uzur itu. Namun baginda masih cuba menduga. 

“Mahukah kamu menjualnya kepadaku?” tanya Rasulullah. 

Jabir menjadi serba salah untuk menolak permintaan baginda. Apa tidaknya. Itulah satu-satunya unta yang dimilikinya. Dengan unta itulah dia mencari rezeki. Namun untuk menolak permintaan Rasulullah saw adalah suatu yang amat mustahil baginya. 

Lalu dia menjawab, “Boleh saja wahai Rasulullah.” 

Setelah dipersetujui harganya, maka berlakulah jual beli itu dengan penyerahan tangguh setelah sampai di Madinah kelak. 

Dalam perjalanan itu juga Jabir memberitahu Baginda saw bahawa dia baru sahaja berkahwin. Inilah salah satu sifat mulia Jabir. Walaupun baru sahaja berkahwin, namun dia tetap menyahut seruan jihad. 

Tujuannya memberitahu baru berkahwin adalah kerana hendak meminta izin daripada baginda saw untuk meninggalkan rombongan dan bergerak cepat menuju Madinah. Lalu Rasulullah saw mengizinkan. 

Namun baginda sempat bertanya: “Kamu kahwini anak dara atau janda?” 

Jabir menjawab, “Saya mengahwini janda.” 

Baginda lantas bersabda dengan hadis yang masyhur:

 هَلَّا تَزَوَّجْتَ بكْرًا تُلَاعِبُهَا وتُلَاعِبُكَ 

“Mengapa tidak kahwini anak dara. Kamu boleh bergurau senda dengannya. Dan dia juga boleh bergurau senda denganmu.” 

Cadangan baginda itu ialah kerana ini adalah perkahwinan pertama bagi Jabir. Janda biasanya tidak semesra anak dara. Hatinya mungkin masih ada rasa kasih kepada suami pertama. Sedangkan anak dara, tiada pengalaman mempunyai suami. Inilah suaminya yang pertama yang akan diletakkan kasihnya sepenuh hati. 

Ini hanya lah galakan bagi orang yang kali pertama berkahwin. 

Jabir menjelaskan, “Ayah saya telah meninggal dunia (syahid dalam peperangan Uhud). Oleh itu saya perlu memelihara adik-adik perempuan yang masih kecil. Sekiranya saya kahwini anak dara, saya risau jika adik-adik saya tidak akan hormatinya kerana faktor usia yang tidak jauh daripada usia mereka. Isteri saya juga tidak akan mampu berperanan sebagai pendidik kepada mereka.” 

“Oleh itu saya mengahwini janda yang sudah berpengalaman mengurus rumah tangga dan mampu menjaga serta mendidik adik-adik saya.”

 Jabir sangat tinggi pemikirannya. 

Daripada cerita ini, Rasulullah saw mendapat maklumat tambahan berkaitan kehidupan Jabir. Fahamlah baginda bahawa sememangnya Jabir seorang yang susah tetapi sangat bertanggung jawab terhadap adik-adik yang dipeliharanya setelah kematian bapanya. 

Jabir pun memecut untanya menuju ke Madinah, meninggalkan rombongan Rasulullah saw dan para sahabat yang lain. 

Selepas beberapa hari di Madinah, Jabir mendapat khabar ketibaan Rasulullah saw. Beliau pergi ke rumah Rasulullah saw pada awal pagi untuk menyerahkan untanya. 

Baginda gembira melihat Jabir menunaikan janjinya lantas menyerahkan bayaran harga unta seperti yang dipersetujui dalam perjalanan beberapa hari sebelum itu. 

Jabir merasa sgt terkejut, apabila baginda memberi unta yang sudah menjadi milik baginda dan menyerahkan kembali kepada Jabir sebagai hadiah. Duit harga unta sudah diperoleh, kini unta pula dikembalikan oleh baginda. 

Tidak cukup dengan itu, Rasulullah saw turut menyerahkan sejumlah harta rampasan perang yang sememangnya Jabir berhak kerana turut serta dalam peperangan tersebut. 

Wallahu a'lam.