sumber
http://bm.harakahdaily.net/
Tidak ada manusia yang dilahirkan di dalam keadaan yang bebas daripada
cengkaman kejahilan. Manusia lahir dalam keadaan tidak mengerti apa-apa
sebagaimana firman Allah;
"Dan Allah mengeluarkan kamu dari
perut ibu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatu pun dan Dia
mengurniakan untuk kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal
fikiran) supaya kamu bersyukur." (Surah an-Nahl : ayat 78)
Mereka
bertatih untuk mengetahui segenap penjuru kehidupan. Kemudian, dalam
kekalutan dan kepenatan membina kehidupan itulah mereka mula tersentak
dan tergerak untuk mengenal dan mencari-cari matlamat sebenar kehidupan
ini. Tidak mudah untuk keluar dari kepompong jahiliah ini, kecuali bagi
mereka yang berusaha dan mencuba dengan segenap daya dan upaya untuk
menjadi manusia yang tahu nilai serta hakikat tujuan kehidupan ini.
Ar-Rasul
sallaLlahu alaihi wasallam diutus oleh Allah untuk mentarbiah manusia
ke arah jalan yang sebenar kehidupan ini. Baginda dikurniakan al-Quran
untuk dibacakan kepada manusia agar ia mampu memandu dan menunjuki ke
arah jalan kebenaran. Segala kasih sayang Allah dijelmakan melalui
pengutusan dan penurunan ini kepada manusia. Tanpa Rasul dan al-Quran,
sudah pasti manusia gagal mengenal erti kehidupan, apatah mengenal Allah
dan alam ghaib. Justeru ia adalah tanda kasih sayang Allah yang tiada
taranya kepada manusia.
Kita pun tahu bahawa proses kejadian
manusia yang diciptakan oleh Allah ini cukup unik, dicipta bukannya
seperti malaikat dan juga bukannya seperti syaitan. Di antara kedua
kejadian inilah diciptanya manusia, yang mempunyai sikap dan akhlak
sekiranya diasuh dengan al-Quran dan akal yang waras maka terbentuk
insan yang soleh. Sebaliknya jika dibiarkan kepada nafsu dan syahwat
maka terjerumuslah manusia kearah kehinaan dan kesesatan.
Sementelahan
pula pandangan Allah tidak tertumpu kepada jasad luaran manusia, bahkan
Allah memandang hati manusia dan amalan yang di kerjakan oleh manusia.
Walau bagaimana cantik rupa parasnya, mancung hidungnya, mengurai lembut
rambutnya, ia tidak memberi setitik kesan pun di sisi Allah untuk
menaikkan darjatnya. Hatinyalah menjadi keutamaan. Maka manusia yang
mengenal diri akan dapat memperakui apa yang diajar oleh agama bahawa
hatilah pusat dan benteng kekuatan manusia menghadapi ancaman kehidupan
yang ganas ujiannya.
Hati manusia sentiasa menjadi tumpuan para
Malaikat Allah dan juga syaitan yang sentiasa berusaha untuk
mengerumuninya agar mereka mampu menguasainya. Kita pula diberi oleh
Allah akal yang waras untuk memilih dan membuka ruang yang luas ini
samada untuk syaitan atau untuk para malaikat. Sebagaimana yang
dinyatakan oleh Allah di dalam firman-Nya;
"Maka Dia mengilhamkannya kepada kejahatan diri dan kepada ketakwaannya." (Surah as-Syams : ayat 8)
Justeru,
terpulanglah kepada manusia sendiri untuk memilihnya. Ini adalah
gambaran ujian dan cabaran yang besar. Berbahagialah mereka yang
memahami dan menyahut hikmat kejadian ini dengan sebenar-benarnya.
Sebaliknya, alangkah besarnya kecelakaan yang bakal menimpa diri di hari
pembalasan bagi mereka yang lalai dan melupakan tanggung jawab mereka
yang hakiki di dunia ini.
Bagi mereka yang hatinya hidup, sudah
tentu ia tidak akan membiarkan perjalanan yang panjang ini menjadi
sempit dan kusut dengan membiarkan hatinya di kuasai oleh syaitan yang
sentiasa berusaha untuk memperdayakan manusia. Inilah janji Iblis kepada
Allah dalam firman-Nya;
"Iblis berkata; Oleh sebab Engkau
(ya Allah) menyebabkan daku tersesat, demi sesungguhnya aku akan
menghalangi manusia dari menjalani jalan-Mu yang lurus."
"Kemudian
aku akan mendatangi mereka dari hadapan mereka serta dari belakang
mereka, dari kanan mereka dan kiri mereka dan Engkau tidak akan dapati
kebanyakan mereka menjadi orang yang bersyukur." (Surah al-A'raf : ayat
16-17)
Jelas, ujian kehidupan sungguh berat. Halangan dan
rintangan sengaja diciptakan Allah untuk memperteguhkan maksud ujian dan
penapisan orang-orang benar daripada orang-orang yang menolak dan
membohongi tujuan sebenar hidup ini. Setiap insan terlalu bergantung
kepada rahmat dan kasih sayang Tuhannya sendiri. Pertarungan dengan
Syaitan sahaja sudah cukup menggambarkan bagaimana manusia, dan
bila-bila masa sahaja mereka boleh tewas di tangan makhluk Tuhan yang
melihat mereka, sedang mereka tidak pula mampu melihatnya.
Justeru
tarbiyah diri, atau latihan yang berterusan sangat diperlukan untuk
menghadapi kesukaran ini. Manusia hidup bagai tentera sepanjang masa,
berlatih sebagai tentera dan bekerja dan bertugas sepanjang masa sebagai
tentera buat menghadapi serangan musuh.
Hatilah sasaran
tarbiyah. Ia mesti dibina sekukuhnya buat menjadi benteng iman dan
ubudiyah kepada Allah. Ia ibarat kota yang dipenuhi ciri-ciri
keselamatan dalam segenap segi. Bukankah musuh hanya akan berhenti
sesudah kota digempur dan ditawan?
Proses tarbiyyah ini bukan
bersifat sementara dan semasa sahaja bahkan ia bersifat keperluan yang
berterusan dalam kehidupan seorang hamba. Sebagaimana perlunya kita
terhadap makan dan minum, tidur dan bangun, air serta udara untuk
kehidupan, maka kita juga perlu untuk ditarbiyah dan dididik dalam
kehidupan ini. Betapa ramai dalam kalangan manusia yang sibuk menjaga
jasad luaran yang akan hancur tetapi sayangnya ia tidak sibuk menjaga
dalaman jiwanya yang akan dipertontonkan di hadapan Allah nanti. Marilah
kita memulakannya.
http://www.tarbawi.my/
politeknik tuanku sultanah bahiyah ptsb kulim motivasi kesihatan dekorasi kerja dan puisi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
-
Sebenarnya, mereka boleh ja berlanggar. NASA dan organisasi antarabangsa yang lain mengesan satelit di angkasa lepas. Perlanggaran jarang t...
-
Mulakan langkah mu dengan fikiran terbuka Setiap insan punyai kelebihan sendiri Asah kemahiran di peringkat lebih tinggi Usaha dan harapan ...
-
Satelit dapat mengorbit mengelilingi planet bumi kerana ianya terkunci pada kelajuan yang sangat tinggi untuk mengatasi daya tarikan graviti...
No comments:
Post a Comment