Sumber:
http://bm.harakahdaily.net
Pada zaman dunia di hujung jari ini, sangat jarang kita menjumpai para
pendakwah Islam dan tokoh ulama masa kini yang benar-benar memahami adab
ikhtilaf seperti kefahaman yang dilumati oleh As Syahid Imam Hasan
al-Banna. Beliau mentarbiyah para pengikutnya dengan fahaman jernih. Ini
kerana keinginannya yang sangat kuat melihat kesatuan umat Islam, dan
usahanya yang bersungguh-sungguh, diiringi kesedarannya menyatukan
gerakan Islam.
Biarpun usaha beliau tidak sepenuhnya terlestari
pada zaman ini, sekurang-kurangnya beliau dapat menyatukan usul dan
fahaman Islamiyyah dalam gerakan dakwah. Dalam hubungan ini beliau telah
membina – Usul 20 – yang terkenal menjadi rujukan seluruh gerakan Islam
di seluruh dunia.
Hasan
al-Banna mengakui bahawa perbezaan pendapat dalam perkara-perkara furu'
dan hukum-hukum amaliah tidak mungkin dapat dihindarkan. Oleh itu,
beliau telah mengutarakan masalah ini pada beberapa risalah dakwahnya.
Sungguh indah dan banyak memberi faedah. Pada risalahnya yang bertajuk –
Dakwatuna (Dakwah Kita) – beliau berbicara tentang ciri-ciri dakwah
adalah bersifat umum, tidak hanya disalurkan secara selektif, tidak
memihak kepada pendapat yang mahsyur di kalangan manusia dengan corak
yang tertentu sahaja, tetapi tepat menuju kepada inti agama dan jiwanya,
bercita-cita untuk menyatukan matlamat sehingga amal yang dilakukan
menjadi lebih positif dan hasilnya menyeluruh.
Imam Hasan
al-Banna bersama kebenaran di mana-mana sahaja, beliau gemar melakukan
permuafakatan dan benci kepada anasir pertikaian melampau dalam
masyarakat Islam. Baginya, cubaan yang paling berat kepada umat Islam
ialah perpecahan dan pertikaian, sedangkan asas kemenangan itu ialah
kesatuan. Natijah tidak akan berakhir dengan baik kepada gerakan Islam
yang berpecah, melainkan jika mereka memulakan langkah awal dengan
perpaduan dan ukhuwwah.
Sesungguhnya Imam Malik RA telah berkata
kepada Abu Ja'afar, “Para Sahabat Rasulullah SAW telah bertebaran di
beberapa buah kota. Di setiap perkampungan masing-masing mempunyai ilmu
(hujjah) tersendiri, maka apabila engkau hanya mengagungkan satu
pendapat sahaja nescaya akan berlaku fitnah.”
Lihatlah Imam As
Syafi'e RA membentuk mazhab qadim di Iraq, kemudiannya membentuk mazhab
jadid di Mesir. Kedua-dua aliran pandangan itu diambilnya dengan apa
yang terang dan nyata, beliau berusaha dengan sesungguhnya (berijtihad)
supaya umat Islam berada dalam kebenaran. Ijma’ atas perkara furu'
adalah tuntutan yang mustahil, bahkan tidak mungkin berlaku dengan
tabiat agama ini.
Manakala Syeikh Muhammad al-Ghazali menyebut
mafhumnya, “Allah menghendaki bagi fikah agama ini sejalan dengan
perkembangan semasa. Dengan itu para pemuda hendaklah bersifat lembut,
tidak jumud, tidak terlalu rigid (melampau) terhadap satu-satu
pandangan.”
Para Sahabat juga berbeza pendapat sekalipun mereka
orang yang paling dekat dengan Rasulullah, dan paling tahu mengenai
qarinah-qarinah hukum. Lalu mengapa pula halnya kita bertegang urat,
bersumpah seranah dalam perkara yang remeh temeh yang tidak ada
kepentingannya?
Para imam mazhab, manusia kurniaan Allah yang
paling alim tentang Kitab-Nya dan Sunnah Rasul-Nya, turut berbeza
pendapat antara satu sama lain, lalu kenapa kita tidak berlapang dada
seperti mereka?
Inilah pendapat Imam Hasan Al Banna tentang
perbezaan pendapat dalam masalah fikah dan inilah pendiriannya yang
menunjukkan kefakihannya dalam hal agama, sejarah dan realiti yang
berlaku kepada umat Islam. Di antara pendirian bersifat amaliyah yang
diceritakan mengenainya (Imam Hasan), bahawa beliau pergi menziarahi
salah sebuah kampung untuk menyampaikan ceramah. Kebetulan hari itu
bulan Ramadan. Penduduk kampung di situ telah berpecah kepada dua
golongan yang saling berselisih-faham tentang jumlah rakaat solat
Tarawih.
Adakah 20 rakaat sebagaimana yang dilakukan semasa
pemerintahan Umar dan terus diikuti oleh manusia berabad-abad
selepasnya, ataupun 8 rakaat sahaja sebagaimana telah warid dari
perbuatan Baginda Nabi SAW?
Pendapat yang bertentangan dianut
dengan fanatik oleh tiap-tiap golongan sehingga menyebabkan mereka
berkelahi kerana masing-masing mendakwa bahawa kebenaran berada di
pihaknya. Akan tetapi Hassan Al Banna menghadapkan kepada mereka
beberapa persoalan.
“Apakah hukum solat tarawih?”
“Sunat, diberi pahala orang yang memperbuatnya dan tidak diseksa orang yang meninggalkannya”, jawab mereka.
Beliau bertanya lagi, “Apakah hukum memelihara ukhuwwah sesama Islam?”
“Wajib (menjaga ukhuwwah) kerana ia merupakan urat dari sendi-sendi iman”, jawab mereka.
Lalu
Imam Hasan al-Banna meneruskan penerangannya daripada hasil jawaban
mereka, “Adakah wajar dalam syariat Allah yang suci ini, kita abaikan
yang wajib kerana hendak memelihara yang sunat? Seandainya kamu tetap
memelihara ukhuwwah dan perpaduan kamu, dan kamu balik ke rumah kamu
agar tiap-tiap orang daripada kamu mengerjakan solat tarawih mengikut
bilangan yang dianggapnya lebih kuat dalilnya, 8 rakaat ataupun 20
rakaat, itu adalah lebih baik daripada kamu berbantah-bantah pada
perkara yang tidak ada mustahaknya.”
Dengan kalimah yang lain
Imam Hasan al-Banna menegur kaum Muslimin ketika itu, “Mengapa kalian
terlalu fanatik mempertahankan kaedah-kaedah fikah sementara akhlak dan
adab dilupakan?”
Kisah ini turut dinaqalkan oleh Dr Yusuf
al-Qaradawi dalam salah satu tulisannya “Sohwatul Islamiyah Bayna Juhud
wa Tatorruf”. Beliau menceritakan bahawa pernah diceritakan peristiwa
ini kepada seseorang, tetapi persoalan lain pula ditujukan kepadanya,
“Kenyataan (Imam Hasan al-Banna) adalah petanda melarikan diri dari
kebenaran, sedangkan menjelaskan sunnah yang sebenar ialah menjauhkan
diri dari bid'ah sebagai urusan yang wajib dipertahankan.”
Lalu
Dr Yusuf Al Qaradawi menjawab, “Perkara ini adalah luas terlalu banyak
sendi-sendi yang perlu diperbahaskan, dan saya walaupun mengerjakan
solat tarawih hanya 8 rakaat, tetapi saya tidak mengatakan bid'ah kepada
orang yang mengerjakan solat tarawih sebanyak 20 rakaat.”
Kemudian
itu pemuda itu berkata lagi, “Tetapi memastikan kesahihan sesuatu hukum
itu adalah wajib dan tidak sepatutnya kita lari menyatakan kebenaran.”
Dr
Yusuf Al Qaradawi menjawab, “Benar anak muda, apabila perkara itu
berkisar di antara yang halal dan yang haram, di antara yang hak dengan
yang batil. Adapun perkara-perkara yang menjadi perselisihan pendapat
dalam aliran-aliran fikah, di mana masing-masing mempunyai hujah yang
pelbagai, dan perkara itu biasanya berkisar di antara yang harus dan
yang lebih afdhal, maka tidak ada sebabnya kita bersikap keras dan
menyusahkan orang untuk berpegang dengan satu pendapat sahaja.”
http://www.tarbawi.my
politeknik tuanku sultanah bahiyah ptsb kulim motivasi kesihatan dekorasi kerja dan puisi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
-
Sebenarnya, mereka boleh ja berlanggar. NASA dan organisasi antarabangsa yang lain mengesan satelit di angkasa lepas. Perlanggaran jarang t...
-
Mulakan langkah mu dengan fikiran terbuka Setiap insan punyai kelebihan sendiri Asah kemahiran di peringkat lebih tinggi Usaha dan harapan ...
-
Satelit dapat mengorbit mengelilingi planet bumi kerana ianya terkunci pada kelajuan yang sangat tinggi untuk mengatasi daya tarikan graviti...
No comments:
Post a Comment