Friday, 14 November 2014

Memilih kerjaya sebagai pendidik (guru @ pensyarah): Topik 7-b (orientasi pendidik hebat)


                     Memilih kerjaya sebagai pendidik (guru @ pensyarah): Topik 2-c  



TOPIK 7- PERSEDIAAN PERSARAAN


Satu isu yang harus dipandang serius mengenai persediaan ini, apabila golongan muda termasuk pendidik dikenalpasti antara yang diisytiharkan muflis akibat daripada keborosan dalam perbelanjaan.
Jenama terkenal melengkapi penampilan diri, ia boleh dikatakan menjejaskan reputasi individu itu.

Kepelbagaian gajet terkini pula menjadi pendamping setia, kereta idaman ramai ataupun buatan luar negara menjadi pilihan, biarpun terpaksa mengikat perut kerana perlu membayar pelbagai ansuran pinjaman.

Bagi golongan ini, kehidupan berkonsepkan 'biar papa asal bergaya' menjadi corak hidup segelintir anak muda hari ini sehingga sanggup berhutang semata-mata menginginkan kehidupan mewah, walaupun hakikatnya gaji di luar kemampuan.

Gaya hidup tidak sihat ini bukan sahaja membimbangkan malah menyebabkan mereka tidak mengambil berat akan kepentingan menabung sebagai persediaan dana hari persaraan.


Satu kajian oleh Fellow Penyelidik, Institut Gerontologi, Universiti Putra Malaysia Dr Jariah Masud, mendapati segelintir generasi muda hari ini lebih tertumpu kepada perbelanjaan semasa tanpa mengambil peduli perancangan masa hadapan.

Bagi mereka, perihal persaraan mungkin tidak menjadi aspek keutamaan kerana yang penting adalah tumpuan peningkatan kerjaya, komitmen selepas kahwin, membeli rumah dan seumpamanya.


Keadaan ini membimbangkan, kerana tanpa mereka sedari dunia persaraan semakin hampir dan kegagalan menabung saat awal menyebabkan kedudukan kewangan menjadi tidak stabil dan mengundang pelbagai masalah kepada pesara.

Bertambah parah, sekiranya tidak menerima pencen, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) habis digunakan, sehingga memaksa mereka untuk bekerja balik.
      
Pengaruh gaya hidup tidak sihat ini ada kemungkinan besar berpunca daripada persepsi pekerja mengenai simpanan persaraan KWSP.

Mereka berpendapat wang simpanan di KWSP sudah mencukupi untuk menampung keperluan diri dan keluarga selepas bersara tanpa adanya keperluan mempelbagaikan sumber tabungan lain.

Daripada 13 juta pencarum KWSP, kajian mendapati hanya 7.37 peratus mempunyai baki simpanan lebih RM150,000 pada umur persaraan 55 tahun manakala 70.89 peratus dengan kurang RM50,000.
    
Mengambil kira faktor kos hidup yang semakin meningkat, jangka hayat rakyat Malaysia yang panjang, gaji rendah dan bersara awal pada umur 55 tahun,  simpanan KWSP tidak mencukupi dan habis dalam tempoh singkat.

Dan didapati, 50 peratus pesara menghabiskan simpanan KWSP dalam tempoh lima tahun sehingga menyebabkan mereka terpaksa bekerja balik.

Justeru, mereka seharusnya mempelbagaikan simpanan serta berhemah ketika membuat pengeluaran awal sebelum persaraan yang disediakan KWSP seperti pengeluaran rumah, pendidikan dan kesihatan sekiranya ingin bersara selesa. 

Kerajaan juga menubuhkan Skim Persaraan 1Malaysia (SP1M) bagi yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap untuk mencarum sukarela di KWSP serta menggalakkan golongan muda membuat pelaburan jangka panjang melalui Skim Persaraan Swasta (PRS).

Pendek kata, persediaan perancangan awal terletak di tangan anda sendiri sama ada memilih bersara selesa ataupun sebaliknya.– Bernama
……………………….
RANCANG PELAN PERSARAAN SEKARANG SUPAYA HIDUP SENANG APABILA BERSARA

Pada umur berapakah anda patut fikir tentang persaraan? Adakah anda berasa persaraan itu untuk warga emas sahaja dan tidak ada kena mengena dengan anda? Sebenarnya tanggapan seperti itu adalah dangkal sama sekali.
Sebaik sahaja anda mulai bekerja, anda perlu memikirkan tentang persaraan, walaupun usia persaraan anda masih kelihatan jauh lagi. Pelan persaraan memerlukan perancangan yang teliti dan berpanjangan untuk memastikan anda tidak perlu bimbang tentang masalah kewangan setelah bersara.

Mungkin anda berfikir simpanan dalam KWSP adalah pelan persaraan anda. Adakah simpanan KWSP itu cukup untuk  menampung perbelanjaan anda selepas bersara? Menurut statistik daripada KWSP, terdapat sebahagian pesara menghabiskan simpanan KWSP mereka dalam masa 3 hingga 5 tahun. Usia untuk bersara ialah 55 tahun, jangka hidup rakyat Malaysia ialah 75 tahun.
Ini bermaksudnya masih ada tempoh selama 20 tahun untuk menjalani kehidupan tanpa bergaji. Jika seseorang itu menghabiskan simpanan KWSP dalam masa 3 tahun, maka baki 17 tahun hidupnya dihabiskan tanpa pendapatan. Lebih-lebih lagi untuk mereka yang tidak mengamalkan gaya hidup sihat. Pada usia yang semakin meningkat, mereka lebih cenderung untuk menghadapi pelbagai penyakit, terutama yang berkaitan dengan gaya hidup atau cara pemakanan seperti diabetes, penyakit darah tinggi atau sakit jantung. Kos perubatan yang semakin meningkat pastinya akan menambahkan beban apabila bersara.

Menurut satu kajian yang dijalankan oleh Citibank, terdapat 66% rakyat Malaysia tidak yakin dengan pelan persaraan mereka. Hanya 22% sahaja rakyat Malaysia yang mempunyai pelan persaraan. Menurut kepada satu kajian internet yang dijalankan oleh Nielsen baru-baru ini, didapati bahawa hanya 21% rakyat Malaysia percaya mereka bersedia dari segi kewangan untuk persaraan, 44% rakyat Malaysia tidak pasti dan lebih daripada 1/3 daripada rakyat Malaysia berkata mereka tidak bersedia dari segi kewangan untuk bersara. Data-data ini menunjukkan kebanyakan rakyat Malaysia tidak yakin dengan pelan persaraan dirinya.

Andainya RM500 diperlukan setiap bulan untuk menampung kehidupan harian, ini bermakna sekurang-kurangnya RM 120,000 diperlukan untuk persaraan selepas mencapai usia 55 tanpa mengambil kira kadar inflasi, dan juga kos perubatan yang mungkin diperlukan.

Pada usia yang tua, kesihatan amat penting. Kos perubatan merupakan perbelanjaan utama yang boleh mengikis wang persaraan anda. Menurut  Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), salah satu sebab utama orang gagal dalam menguruskan kredit mereka ialah kerana kos perubatan yang tinggi. Walaupun mungkin anda mempunyai insurans perubatan dan hayat yang boleh melindungi sebarang penyakit kritikal dan kecacatan, namun ia tidak meliputi sebarang proses dan preskripsi yang anda perlukan seperti penyakit kurang serius seperti selesema atau demam, dan juga penyakit masyarakat moden seperti darah tinggi dan kencing manis.

Kadangkala insurans hanya melindungi sesetengah penyakit sahaja. Dengan kos perubatan yang semakin meningkat dan gaya hidup yang kurang sihat, persiapan yang mencukupi amat perlu bagi memastikan seseorang dapat hidup dengan sejahtera.

Selain KWSP, anggota perkhidmatan awam mempunyai pelan pencen. Pencen dapat menambung keperluan harian, tetapi mungkin tidak mencukupi untuk memenuhi kemahuan setelah bersara, seperti melancong atau membeli sesuatu yang diingini.

Yu Kin Len
Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna
……………………..

 layari juga:  kerjaya-sebagai-pendidik
                     9-ciri-ciri-pendidik-yang-hebat
                     ciri2-yang-baik-sebagai-pendidik
                      kisah-pemimpin-islam-zainab-al-ghazali

No comments:

Post a Comment