Monday, 25 March 2013

Puisi 26: Hipokritkah aku?

Hipokritkah Aku?
Apabila solat ku dirikan
Takbir ku laungkan
Allahuakbar!
Jiwaku tidak pun bergetar
Bukan kerdil yang ku rasa...
Suatu kalimah pengharaman dunia
Namun itu jua yang berputar-putar di minda

Hipokritkah aku?

Munafikkah aku?


Tatkala janji ku lafazkan
Solat, ibadat hanya keranaMu
Hidup dan mati hanya untukMu
Lancar kututur di mulut
Lama sudah ia terpahat di kepala
Akan tetapi hatiku sedikit pun tidak terkesan
Tingkah laku lantang membuktikan pertentangan

Hipokritkah aku?

Munafikkah aku?


Apabila Al-Fatihah ku bacakan
Hanya kepadaMu tempat ku sembah
Tiada selainMu tempat ku berharap
Kalimah-kalimah pengabdian
Sebagai  hamba yang diciptakan Tuhan
Namun kadang-kadang, artis dan jaguh sukan menjadi pujaan
Pergantungan ku letak pada manusia dan jawatan

Hipokritkah aku?

Munafikkah aku?


Tatkala sujud ku persembahkan
Maha Suci Allah
Yang Maha Agung dengan sifat-sifatNya
Suatu simbolik akan kehinaan diri di hadapanNya
Atas segala nikmat yang ku perolehi hanya dariNya
Namun diri masih terasa mulia
Riak, ujub, bangga diri, dan takabbur berkulat menutupi jiwa

Hipokritkah aku?

Munafikkah aku?


Apabila kalimah tauhid ku ikrarkan
Ashhadualailahaillah
Waashhaduannamuhammadarrasulullah
Dua kalimah persaksian
Hanya Dia yang layak ku gelar Tuhan
Dan Nabi Muhammad itu sebagai rasul ikutan
Namun hati kadang-kadang hanyut
Dunia seringkali ku lebihkan
Nafsu dijadikan Tuhan
Kelompok syaitan ku ambil teman

Hipokritkah aku?

Munafikkah aku?
---
slave of Almighty
mahu berpijak pada realiti
dunia ini tidak kekal abadi
moga-moga ini bukan solatku yang terakhir


No comments:

Post a Comment