Monday, 4 March 2013

Muhasabah Diri (1) -Ustaz Raihan Abdul Aziz

layari juga peraturan-menonton-tv-untuk-anak-anak
                  bagaimana-untuk-sembuh-dari-perkataan yang menyakitkan
                  bagaimana-menunjukkan-rasa-cinta-kepada-keluarga
  



Apa maksud Muhasabah? Muhasabah berasal daripada perkataan hisab – iaitu hitung. Muhasabah diri bermaksud menghitung diri kita supaya hisab di depan Allah nanti lebih mudah. Inilah yang pernah diucapkan oleh Sayyidina Umar, “Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab”. Untuk muhasabah diri, kita perlu melihat ke dalam jiwa kita – apakah peranan dan tanggungjawab yang telah dilakukan.
Senarai soalan dan jawapan:
S: Apakah kelebihan selalu memuhasabah diri?

J: Pertama kerana kita hidup di dunia untuk sementara sahaja dan kita akan menuju alam akhirat yang kekal. Sebab itulah ketika di dunia, kita diminta untuk menyemak diri kita. Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Kamu akan diberitahu apa yang telah kamu kerjakan'. Kedua, kerana manusia merupakan seorang yang pelupa. Orang yang lupa perlu selalu diingatkan. Ketiga, muhasabah diri akan dapat mengimbas semula ibadah dan melihat keperluan untuk memperbaikinya. Keempat, muhasabah adalah sebagai cara hidup Islam. Ajaran dalam Islam adalah sempurna dan meliputi semua perkara.



S: Adakah kaedah tertentu untuk muhasabah diri?

J: Ada banyak cara sebenarnya. Beberapa cara yang ditunjukkan Nabi SAW ialah dengan bertafakkur, bukan berdengkur. Rasul SAW pernah bersabda yang bermaksud, “Fikirkanlah ciptaan Allah Taala”. Pertama, kita kena fikir dari mana asal-usul kita. Allah menyatakan bahawa manusia dicipta daripada air mani iaitu sesuatu yang hina dan hanyir. Jadi mengapa kita sombong dan tidak mahu sujud pada Allah Taala. Cara lain untuk muhasabah adalah dengan membaca dan menghayati Al-Quran, menghadiri majlis ilmu dan banyakkan bertanya untuk membetulkan diri.



S: Adakah dengan cara bertanya kita dapat muhasabah diri?

J: Betul. Dalam Al-Quran, Allah SWT bertanya apa sebab anak (bayi) dibunuh. Apakah dosa mereka? Jadi pertanyaan boleh membuatkan kita berfikir. Ada berbagai kaedah bertanya. Antaranya:


  1. Orang bertanya kenapa mereka betul-betul tak tahu. Contohnya soalan dari anak-anak kecil seperti mengapa ibu perempuan, ayah lelaki?
  2. Orang bertanya kerana dia dah tahu, tetapi dia ingin memberitahu orang lain juga. Seperti kisah Jibril yang menyerupai seorang lelaki tampan dan datang bertemu Nabi SAW lalu bertanya “Beritahu saya tentang Islam”. Bila Nabi jawab, dia berkata betul. Jadi sahabat pun pelik dia bertanya tetapi dia sendiri berkata betul.
  3. Pertanyaan yang membuatkan kita berfikir, seperti pertanyaan Allah dalam ayat-ayat Al-Quran. Contohnya dalam surah Yasin, ada banyak soalan yang Allah beri untuk kita berfikir.
  4. Bertanya untuk menguji kefahaman, contohnya bertanya apa yang anak sudah belajar.
  5. Bertanya untuk menjatuhkan orang lain. Contoh: Rakan saya pernah ditanya kemanakah arah kiblat jika di bulan. Orang macam ini kita kena jawab dengan menyoalnya semula. Lalu rakan saya tanya balik – bila Tuan nak ke bulan? ;)

S: Sekarang ada banyak musibah menimpa manusia. Ada yang kata musibah ini sebagai ujian, ada yang kata sebagai bala, dan ada yang kata ada hikmah di sebalik musibah. Jadi, apakah beza antara musibah dan bala?

J: Dalam ayat 155, surah Al-Baqarah yang saya bacakan tadi Allah menyatakan bahawa bencana itu musibah. Musibah pula terbahagi kepada tiga:


  1. Musibatulbalak - Jadi ada kalanya musibah diturunkan sebagai ujian. Balak ertinya ujian, bukan sesuatu yang buruk.
  2. Musibatuljazak – Sebagai balasan atas kemungkaran yang dilakukan.
  3. Musibatultarbiyyah – Musibah untuk mendidik kita. Biasanya bila susah, barulah manusia akan dekat dan balik kepada Allah SWT.

S: Apakah hikmah kepada orang yang bersabar menerima musibah?

J: Saya ingin bawakan kisah ketika zaman Nabi SAW. Telah berkata Abdullah bin Abbas r.a kepada Atta', “Mahukah kamu jika aku tunjukkan seorang perempuan yang ahli syurga?” Lalu Atta' pun menjawab, “Ya”. Tiba-tiba Ibnu Abbas tunjukkan kepada seorang wanita yang berkulit hitam. Wanita tersebut pernah datang mengadu kepada Nabi SAW, “Ya Rasululah, saya kena penyakit sawan. Apabila terkena sawan, akan habis terbuka pakaianku. Tolong doakan saya”. Lalu Nabi SAW menjawab, “Jika kamu sabar kamu akan beroleh syurga. Kalau kamu mahu saya boleh doa bagi kamu sihat.” Kemudian wanita itu menjawab, “Jika begitu, saya memilih untuk sabar, tetapi Tuan doakan supaya aurat saya tidak terbuka ketika saya sakit”. Lalu didoakan oleh Nabi SAW. Daripada cerita ini dapat difahamkan bahawa orang yang sakit akan diberi ganjaran yang besar dan Allah sentiasa bersama orang-orang yang sabar.

S: Ada orang yang sedih sehingga meraung-raung apabila orang yang dikasihi meninggal dunia. Bolehkah kita buat begitu?

J: Baginda Rasulullah SAW sendiri mengalami mengalami kewafatan anaknya, Ibrahim. Baginda pernah menangis lalu ditegur oleh Abdul Rahman bin Auf. Lalu jawab Nabi bahawa anak ini adalah rahmat Allah. Jadi, menangis itu tidak salah, yang salah adalah meraung-raung, menarik-narik baju dan menampar-nampar muka.

S: Sejauh mana kita dapat fahami – 'Siapa kenal dirinya akan kenal Allah SWT'. Bagaimana kaitannya dengan muhasabah diri?

J: Dalam muhasabah diri, kita perlu ingat asal-usul kita, mengapa kita diciptakan dan kemana arah tuju kita. Dalam ilmu tauhid, kita belajar yang Allah tak serupa dengan segala sesuatu. Oleh sebab itu kita perlu mengenali diri sendiri. Kita ini manusia yang ada anggota tubuh kiri dan kanan. Kita tahu apa kekurangan kita sebagai hamba dan tahu bahawa Allah tak serupa dengan kita. Tetapi orang yang tak tahu tetap menyembah patung yang menyerupai sifat-sifat manusia. Allah SWT suruh kita lihat pada diri kita dan berfikir. Kita ada jantung yang asyik berjalan. Kita berjalan, jantung berjalan. Kita berhenti, jantung berjalan. Tetapi, sekali jantung berhenti, kita pun 'jalan'. Renung-renungkanlah. Bolehkah manusia buat sesuatu seperti jantung ini? Tak boleh. Jadi, terbukti tak Allah itu Maha Hebat? Lihat perut kita pula – macam-macam makanan yang kita makan tetapi perut tetap dapat proses. Adakah mesin serupa ini di dunia? Oleh itu apabila kita semakin mengenal diri kita, akan semakin jelas kehebatan Allah dalam mencipta kita.
S: Jika seseorang melakukan dosa di dunia, yang akan diseksa di akhirat adakah roh atau jasad?

J: Kita ada roh dan jasad. Bila roh sudah keluar, semua orang pun lari daripada kita :). Saya bawakan satu cerita. Ada dua orang, si buta dan si kudung yang dalam perjalanan dan kelaparan. Maka kata si kudung kepada si buta, “ Aku lihat ada buah di pokok tapi aku tak ada tangan”. Kata si buta pula, “Aku ada tangan tapi aku tak nampak”. Mereka pun bekerjasama dan si buta pun berjaya mengambil buah dengan arahan si kudung. Tiba-tiba datang tuan punya kebun. Jadi siapa yang salah – si buta atau si kudung? Pastinya masing-masing saling menyalahkan pihak yang lain. Oleh itu siapa yang akan dihisab di akhirat nanti? Kedua-duanya. Sebab itulah, selain makanan jasad, kita perlu juga jaga makanan roh.
S: Boleh ustaz berikan tips untuk selamat di alam kubur?

J: Buatlah persiapan kerana Nabi SAW bersabda bahawa orang yang cerdik adalah orang yang selalu muhasabah dirinya. Antaranya yang Nabi SAW mengajar kita adalah:


  1. Setiap malam sebelum tidur, Nabi SAW akan membaca surah Al-Mulk dan As-Sajadah. Surah-surah ini akan menjadi perisai dan pelindung di dalam kubur.
  2. Membanyakkan doa perlindungan selepas bacaan tahiyyat akhir iaitu: "Allahumma 'auzubika min 'azaabi jahannam, wa 'auzubika min 'azaabil qabri, wa 'auzubika min fitnatil mahyaa wal mamaat, wa min syarri fitnatil masiihid dajjal", maksudnya: "Ya Allah ya tuhanku, aku berlindung dengan-Mu dari seksa Jahanam, dan aku berlindung denganMu dari seksa kubur, dan aku berlindung dengan-Mu dari fitnah orang yang hidup atau mati, dan aku berlindung denganMu dari fitnah al-Masih Dajjal".
  3. Baca juga doa “Allahumma barikli fil maut wa fima ba'dal maut” yang bermaksud “Ya Allah berkatilah aku semasa mati dan selepas mati” sebanyak 25 kali sehari semalam.
     layari juga:  kerjaya-sebagai-pendidik
                         9-ciri-ciri-pendidik-yang-hebat
                         ciri2-yang-baik-sebagai-pendidik
                          kisah-pemimpin-islam-zainab-al-ghazali

2 comments: