Sunday, 3 March 2013

WASIAT IMAM SYAFI'I - BERAKHLAK MULIA 2

11. Keutamaan Orang Pendiam
Aku menganggap diam sebagai perniagaan. Meskipun tak ada untungnya, paling tidak aku tak merugi. Diam ibarat barang niaga yang membawa banyak keuntungan bagi pemiliknya.

12. Sang Dermawan
Jika kamu tidak boleh bersikap dermawan, maka ingatlah bahawa hari-harimu yang telah berlaku tak akan kembali. Bukankah tanganmu boleh mengepal dan membuka ? Apa yang boleh kau harapkan ketika kau sendirian tatkala bumi mencengkam dirimu dengan kuku besinya ? Saat itulah tentu, engkau berharap untuk dapat kembali ke dunia, padahal hari-hari itu tak akan pernah kembali.

13. Ciri-ciri Orang Warak
Seorang yang memiliki sifat warak, tak akan mempedulikan kejelekan orang lain, kerana disibukkan oleh aibnya sendiri, ibarat orang sakit, ia tak mungkin menghiraukan penyakit orang lain, kerana sibuk memperhatikan penyakitnya sendiri.
14. Mengendalikan Nafsu
Yaqut Al-Hamawiy berkata bahawa pada suatu hari ada seorang yang datang kepada Imam Syafi'i seraya membawa lembaran bertulis : "tanyakanlah kepada mufti Mekah dari keturunan Hasyim, apakah yang dia lakukan ketika sedang sangat marah kepada seseorang." Imam Syafi'i lalu menuliskan sesuatu di bawah pertanyaan itu.
Tekanlah nafsunya, kendalikan amarahnya dan hendaklah bersabar dalam menghadapi setiap persoalan.
Pembawa lembaran itu kemudian datang kembali sambil membawa tulisan yang baru sebagai jawapan fatwa Imam Syafi'i.
Bagaimana mungkin dia dapat menekan nafsunya pada saat nafsu itu telah menjadi pembunuh dan setiap hari ada saja halangan yang merintanginya.
Imam Syafi'i menjawab lagi.
Jika dia tidak mahu bersabar atas derita yang menimpanya, maka tidak ada jalan lain baginya, kecuali hidup berhiaskan tanah.
15. Menyimpan Rahsia
Bila seseorang membuka rahsia peribadinya di depan orang banyak, kemudian dia mencela orang lain, maka orang tersebut dianggap tidak waras. Bila dia merasa dadanya sempit akibat rahsia peribadinya, maka ketahuilah bahawa dada tempat menyimpan rahsia tersebut lebih sempit lagi.
16. Hiasan Diri
Jagalah dirimu dan hiasilah dirimu dengan budi pekerti yang mulia ! Nescaya engkau akan hidup sejahtera, dan tutur kata orang-orang terhadapmu akan menjadi indah.
Janganlah memusuhi manusia, kecuali dengan sikap ramah. Nescaya akan ada yang menolongmu dan sahabat akan mengasihimu.
Tidak baik mencintai orang yang berwajah banyak (munafik) kerana ia akan mengikut arah angin ke manapun angin itu bertiup.
Apakah erti banyak kawan jika mereka tidak menolong di waktu kita susah.
17.  Sikap Lembut
Aku mengenali banyak orang, tetapi aku tidak pernah merasa dengki kepada mereka. Itulah sebabnya mereka sayang padaku. Bagaimana mungkin seseorang akan berlemah lembut kepada seorang pendengki, bila pendengki itu tidak menghendaki sesuatu apapun selain hilang nikmat dari orang tersebut.
18. Menjaga Diri
Jagalah dirimu baik-baik, nescaya isterimu akan menjaga dirinya dengan baik. Hindari perbuatan keji yang tidak pantas dilakukan oleh seorang muslim. Zina itu ibarat hutang, jika kau lakukan, maka isterimu dan anak-anakmu yang akan membayarnya. Renungkanlah.
19. Menjaga Lidah
Jagalah lidahmu kawan ! Agar ia tidak menyengatmu, kerana lidah tidak ubahnya ular berbisa. Banyak orang binasa akibat perbuatan lidah, padahal dulu mereka dihormati kawan-kawannya.
20. Rahsia Peribadi
Jika hidupmu ingin selamat dari nista, agama mulia, dan hartamu terjaga, jangan sekali-kali engkau buka rahsia peribadi seseorang. Kerana semua orang mempunyai rahsia peribadi, dan mereka juga mempunyai lidah.
Tetapi jika kedua matamu terbeliak mencari keaiban, biarkanlah. Katakan saja : "Hai mataku ketahuilah bahawa semua manusia punya mata." Pergaulilah manusia dengan baik, tampakkan keramahan kepada manusia, dan layanilah mereka denagn baik. "

No comments:

Post a Comment