Friday, 8 March 2013

Amal Islami : Antara jiwa dan sistem

Amal Islami : Antara jiwa dan sistem

mesir
Diantara kunci, prinsip atau asas yang terpenting dalam memahami Amal Islami adalah Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw mencakupi kedua-dua jiwa dan sistem. Perjuangan kita adalah ke arah menyempurnakan kedua-dua aspek ini, dengan penumpuan di peringkat awal atau asas adalah penyempurnaan aspek jiwa terlebih dahulu. Tanpa penyempurnaan jiwa, segala aspek Sistem tidak akan mencapai apa yang di cita-citakan. Oleh kerana itu Imam Hasan Al-Banna menekankan kata-kata Hukamak yang masyhur, “Mereka mengatakan bahawa sesungguhnya Keadilan itu adalah sebenarnya pada jiwa seseorang hakim, dan bukannya pada lembaran undang-undang yang tertulis. Ini adalah kerana adakalanya undang-undang tertulis tidak sempurna, tetapi hukuman dijatuhkan oleh seorang hakim yang berkeperibadian adil, maka dia menjatuhkan hukuman dengan adil. Adakalanya undang-undang bertulis yang digubal itu sangat lengkap dan adil, tetapi seorang hakim yang rosak jiwanya menghukum dengan zalim dan aniaya”. Dari kata-kata Hukamak tersebut, jelas perjuangan Islam yang dikehendakki oleh Allah swt yang dibawa oleh Rasulullah swt dan jemaah Islam selepas Baginda saw adalah perjuangan yang menuju kearah kesempurnaan kedua-dua jiwa dan sistem, yang didahului dengan ketinggian jiwa terlebih dahulu.
SDC11622
Jalan Tarbiyah dan Dakwah … tiada jalan lain selainnya. Juga tiada jalan yang lebih pendek dari jalan rabbani ini.
Sepanjang kejatuhan Islam, umat Islam melalui zaman yang banyak terdapat pengasingan di antara sistem dan jiwa, maka secara tabie (natural) nya, mereka akan lebih terdedah dan mengambil perhatian terhadap yang nampak iaitu sistem dan peraturan semata-mata dan mengabaikan aspek jiwa yang sangat asasi. Ia bermula dalam ibadat-ibadat khusus dalam Islam, kemudian meresap ke dalam Amal Islami pada sesebuah organisasi Islam.
Dalam aspek ibadat-ibadat khusus, solat dikira sah sekiranya seseorang telah berwuduk, menutup aurat, bertakbiratul ihram, membaca al-Fatihah, rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud, salam dan tumakninah. Adapun aspek jiwa seperti kehadiran hati dan khusyuk, ia tidak termasuk didalam perkiraan sah atau tidak nya solat dengan makna si Ali yang telah melakukan perbuatan-perbuatan fizikal, lahiriah atau “sistem” seperti di atas (rukuk, sujud dll) walaupun sepanjang perbuatannya dia mengamati perlawanan bolasepak Mancester United melawan Real Madrid dalam hati nya, beliau tidak diminta untuk menqadak solatnya. Sedang Rasulullah saw berkata kepada seseorang yang tidak khusyuk dan tenang, “Solatlah (semula), kerana sesungguhnya engkau belum bersolat” (Hadis). Dari hadis tesebut, risalah dan perjuangan yang dibawa oleh Rasulullah saw adalah kearah kesempurnaan kedua-dua jiwa dan sistem, yang didahului dengan ketinggian jiwa terlebih dahulu.
Si Aminah yang telah berpuasa Ramadan, tidak makan minum, tidak memasukkan sesuatu didalam rongga yang terbuka, tidak berjimak dsb telah dianggap sah dan tidak perlu mengqadak puasanya walaupun beliau telah berkata dusta, membuat persaksian palsu ketika dia berpuasa. Sedang Rasulullah saw bersabda, “Sesiapa yang berpuasa sedang dia dia tidak meninggalkan kata-kata dusta dan bermaal dengannya, maka ALlah tidak berhajat dia meninggalkan makan dan minumnya” (Hadis). Sabdanya lagi, “Berapa ramai orang yang berpuasa, yang tidak mendapat apa-apa dari puasanya melainkan lapar dan dahaga” (Hadis). Dari hadis-hadis tesebut, risalah dan perjuangan yang dibawa oleh Rasulullah saw adalah kearah kesempurnaan kedua-dua jiwa dan sistem, yang didahului dengan ketinggian jiwa terlebih dahulu.
Si Kasim yang telah membayar Zakat ribuan Ringgit setelah cukup nasab dan haulnya tidak perlu membayarnya semula diaspek sistem, walaupun dia mengungkit-ungkit dan menyakitkan hati penerima Zakat tersebut sedang Allah swt berfirman, “Wahai orang-orang beriman, jangan kamu batalkan Sedeqah kamu dengan sebab Al-Mann (mengungkit-ungkit pemberian) dan Al-Aza (menyakitkan hati dll), seperti orang yang menginfakkan hartanya dengan riak …” (Al-Quran). Dari ayat tersebut, jelas perjuangan Islam yang dikehendakki oleh Allah swt yang dibawa oleh Rasulullah swt dan jemaah Islam selepas Baginda saw adalah perjuangan yang menuju kearah kesempurnaan kedua-dua jiwa dan sistem, yang didahului dengan ketinggian jiwa terlebih dahulu.
Lumrahnya manusia berbagai-bagai ragam dan peringkat. “Dari kalangan manusia ada yang  menzalimi diri mereka sendiri. Ada manusia yang pertengahan. Ada manusia yang berlumba-lumba untuk kebaikian … “ (Al-Quran). Ramai manusia yang disibukkan dengan dunia dan perhiasannya. Ramai yang mencari keredhaan Allah dan ganjaran kekal abadi di Syurga, bukan di dunia yang fana ini. Ramai para Ulamak yang memberikan penafsiran fenomena ibadah-ibadah khusus di atas dengan ungkapan bahawa ibadah-ibadah mereka sah, tidak perlu qadak tetapi hangus pahalanya atau kurang kesempurnaannya. Ungkapan ini memudahkan kefahaman masyarakat awam dan sesuai untuk Golongan Awwam dalam istilah Tasauf. Namun bagi para Duat Islam, sepatutnya ia adalah suatu ungkapan yang sangat besar kesannya didalam jiwa. Mengamalkan perbuatan-perbuatan yang tidak sempurna apatah lagi yang hangus pahalanya tanpa apa-apa balasan di Akhirat dalah suatu yang tidak layak bagi pencari-pencari keredhaan Allah, apatah lagi mereka yang hendak berjuang seperti perjuangan Rasulullah saw !! Perjuangan memimpin dan membimbing umat seluruh dunia tidak akan mampu ditanggung oleh Golongan Awwam dan cara pemikiran mereka. Ia hanya mampu dipikul oleh Golongan Khususul Khusus yang menuju kearah kesempurnaan kedua-dua aspek jiwa dan sistem. “Kamulah umat yang terbaik yang telah dikeluarkan untuk manusia. Kamu menyeru kepada Makruf. kamu mencegah Munkar. kamu beriman kepada Allah” (Al-Quran).

No comments:

Post a Comment