Sunday, 3 March 2013

Ceramah Khas : Ustaz Haji Ayub Abdul Rahman Mantan Paderi Besar

Aku memang yakin tentang kisah Ustaz Haji Ayub Abdul Rahman...

sebab aku dengar sendiri ceramahnya di surau Taman Siswa, Jitra, kalau tak

salah... 2 tahun lepas.... tapi yang ini aku ciplak daripada :

http://www.masjidnurulyaqin.com/berita/ceramah-khas-ustaz-haji-ayub-abdul-rahman-mantan-paderi-besar dan disediakan Oleh
Hj Husin Othman, SU Masjid Nurul Yaqin

Pertemuan penulis dengan seorang lagi pendakwah baru-baru ini tidak syak lagi mampu membuka lembaran baru mengenai 'kemunculan' atau pengganti Ahmed Deedat walaupun mungkin tidak sehebat Allahyarham. Bahkan lebih menariknya, Ustaz Ayub Abdul Rahman 59, sendiri dahulunya seorang seorang pendita atau Paderi Besar Kristian yang lebih dikenali sebagai Reverend Anthony Samy Perumal Viagulam dan pernah berkhidmat di Gereja St. Augustine of Canterbury, Frankfurter Jerman selama hampir 10 tahun. Gereja tersebut atau lebih dikenali sebagai Englische Kirche (Gereja Inggeris) merupakan satu-satunya gereja di Jerman yang menggunakan medium Bahasa Inggeris yang beraliran Anglican Episcopal Church. Ia sering menjadi tumpuan penganut Kristian terutamanya dari Amerika Syarikat dan Britain serta lain-lain negara Eropah.
 
Bagaikan jauhari mengenal manikam. Ayub adalah tokoh yang selayaknya memperkatakan ajaran Kristian dan amat mengetahui semua isi dan selok belok kitab Injil itu. Namun sehebat itu juga pengetahuan dan amalannya kini terhadap Islam, tidak ada sesiapa dapat mempertikaikan sehinggakan orang ramai tidak ragu-ragu memanggilnya “Ustaz” mahupun “Tuan Haji Ayub”. Komitmen beliau yang begitu padu terhadap Islam terutama dalam gerakan dakwah dan kebajikan Islam mendapat penghargaan banyak pihak dan terbaru, beliau dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Sarawak (Saudara Baru) 2005. 


Beliau mempunyai fasa-fasa hidup yang cukup menarik bermula dari seorang yang begitu mengabadikan diri terhadap Kristian, akhirnya dilimpahkan dengan nur dan hidayah Allah untuk memeluk Islam pada 4 September 1978. “Saya telah mempunyai kehidupan yang begitu sempurna semasa menjadi paderi” katanya ketika ditemui di Yayasan Jenderami, Dengkil, Sepang di Selangor baru-baru ini. Kesempurnaan yang dinikmati dalam institusi gereja itu membolehkan Anthony mengecap kesenangan dalam hidup.


“Segala-galanya disediakan dan diberi percuma oleh pihak gereja. Daripada orang yang akan membasuhkan tandas kita sehinggalah pemandu dengan kenderaan mewah untuk membawa saya ke mana sahaja. “Ini tidak termasuk tiket-tiket penerbangan kelas pertama ke hampir seluruh pelusuk dunia. Jadi saya tidak ada masalah sepanjang berkhidmat untuk gereja kerana apa sahaja yang dihajati akan segera dipenuhi,” katanya yang telah menjejaki 22 negara bagi menjayakan misionari Kristiannya. 


Tugas sebagai Biecht-vader iaitu mengampunkan penganut Kristian yang berdosa turut memberikan kepuasan kepada jiwa Anthony ketika itu. Pernah kata Ayub, beliau diminta mengampunkan penghuni kubur atas permintaan keluarga si mati. Sehinggalah pada suatu hari berdasarkan pembacaan kitab Bible, perasaan beliau yang setenang air di kali selama ini mula terganggu. “Tanpa seseorang itu dibaptiskan, tidak memungkinkan seseorang itu menghuni syurga!”


“Apabila saya terbaca ayat itu, hati saya begitu terusik. Ini kerana secara tiba-tiba saya terkenangkan jiran-jiran saya di Kampung Pelanduk Jatuh, Bukit Mertajam Pulau Pinang. “Mereka merupakan jiran yang sangat baik. Sehinggakan saya masih ingat walaupun mereka menjalani ibadat puasa Ramadan, kami sekeluarga adalah orang pertama yang akan menerima juadah berbuka puasa mereka. “Mereka tidak akan berbuka selagi kami tidak menerima juadah tersebut walaupun kami bukannya beragama Islam. Ia memang satu situasi yang mengharukan. “Begitu juga apabila ada ahli keluarga saya sakit dan memerlukan rawatan segera ke hospital, jiran-jiran Melayu saya inilah yang akan bersusah payah menggunakan kenderaan mereka untuk membawa kami ke hospital dan mereka tidak pernah berkira. “Saya kira mereka merupakan jiran terbaik yang pernah saya jumpa” kata Ayub.

Apabila mengenangkan kebaikan jiran-jirannya itu dan ajaran Kristian, Anthony begitu terusik kerana kebaikan mereka itu akan berakhir dengan masuk ke neraka! “Saya benar-benar sedih kerana mereka ini tidak pernah dibaptiskan maka tentunya mereka tidak akan layak masuk ke syurga Allah. “Sehinggakan buat pertama kali saya memperkenalkan sembahyang malam yang sebelum ini tidak ada dalam cara orang Kristian beribadat. Ini kerana saya benar-benar memerlukan jawapan mengenai persoalan ini,” jelasnya. Oleh kerana memiliki kunci pintu gereja maka pada suatu malam, dihadapan altar beliau sembahyang dan ‘merayu’ kepada tuhan supaya jiran-jirannya itu dikecualikan daripada memasuki neraka.


Namun bagi Anthony sudah sampai tahap dan masa untuknya mengubah akidah umat Islam itu sendiri. Lantas beliau memohon kebenaran pihak gereja untuk mengkaji dan mendalami al-Quran yang bakal dijadikan senjata untuk melumpuh dan melemahkan umat Islam itu sendiri. Permintaan Anthony segera dipenuhi malah pada tahun 1973 beliau dihantar ke Millhill Missionary Institute di utara London bagi membolehkan paderi ini mempelajari Islam sebanyak mana yang beliau mahu.

“Pada mulanya untuk selama tiga bulan, tetapi saya lanjutkan sehingga enam bulan kerana telah direncanakan oleh tuhan, saya tidak menemui apa yang dicari kecuali jika terus mencari apa yang ditemui hanyalah keindahan Islam. “Tiada kecacatan langsung mengenai Islam malah kalau ada 10 kitab al-Quran yang didatangkan dari mana-mana negara di hadapan saya. Baik sama ada dari Afrika, Asia malah dari Eropah sendiri, yang saya jumpa hanyalah ayat-ayat yang sama. “Kata-kata Allah itu begitu terpelihara dan tidak berubah oleh sebarang tokok tambah dan pengurangan. Malah nama agama itu sendiri, memang ada tertulis di dalam al-Quran dan makna dari ayat 85 Surah al-Imraan benar-benar mengejutkan saya sehingga saya menjadi lebih ketakutan.

Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi. (Al- Imraan: 85)


“Jadi, siapa sebenarnya yang akan rugi di hari akhirat kelak?,” katanya. Menurut Ayub, adalah tidak mudah sebenarnya untuk beliau menerima Islam kerana dirinya sangat berpengetahuan dalam ajaran Injil itu sendiri sehinggakan banyak mengunjungi tempat suci orang Kristian di seluruh dunia. Peluang yang tidak diperolehi oleh penganut lain. “Ditambah dengan persekitaran hidup dalam biara dan sentiasa dipantau oleh pihak gereja sehinggalah oleh pihak Vatican di Itali,” katanya.

Namun 4 September 1978 mencatatkan tarikh yang bersejarah apabila paderi ini akhirnya dengan seikhlas hati mengakui keesaan Allah s.w.t sebagai tuhan yang satu yang tidak disekutukan dengan mana-mana makhluk lain termasuk Nabi Isa a.s. Beliau diIslamkan di bumi Sarawak sebagai saksi dengan dibantu oleh Ketua Menteri Sarawak pada masa itu, Tun Patinggi Abdul Rahman Yaacob. “Jadi, tahulah anda dari mana saya mendapat nama Abdul Rahman selepas saya memilih Ayub sebagai nama Islam saya,” katanya.


Rupa-rupanya tindakan Ayub memeluk Islam itu bukan sahaja menimbulkan kejutan kepada banyak pihak namun yang lebih tidak sangka-sangka sehingga membahayakan nyawanya pada masa itu. “Tidak dapat dilupakan bagaimana takut dan ngerinya saya pada masa itu apabila rumah yang saya diami dibaling orang dengan ketulan-ketulan batu. “Tidak sangka tindakan saya memeluk Islam tidak disenangi oleh sesetengah pihak,” katanya.


Demi keselamatan dirinya, Ayub terpaksa menyembunyikan diri di Jeddah, Arab Saudi dan di Tanah Haram, Mekkah Al Mukarramah selama tiga tahun. “Tetapi begitu sekali kekuasaan Allah! Jika tidak kerana persembunyian ini tentulah saya tidak berpeluang untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Saya benar-benar bersyukur kerana diberikan peluang yang sebegini hebat. “Bagai tidak percaya, baru sehari dua mengucapkan kalimah syahadah di tanah air tetapi Rumah Allah, Kaabah itu kini berada di hadapan mata dan saya tidak mampu menahan air mata yang mengalir. Seumur hidup tidak pernah menangisi diri tetapi saya benar-benar merasakan diri ini begitu kerdil dan hina berbanding nikmat iman yang diberikan oleh-Nya kepada saya,” katanya.


Selama tiga tahun itu, Ayub mengambil kesempatan mendalami Islam dalam semua aspek terutama al-Quran bagi menambahkan keyakinan dan memberikan kekuatan sebagai seorang yang baru dalam Islam. Hanya kebelakangan ini sahaja, Ayub memberanikan diri berdakwah secara terbuka termasuk memasuki segenap pelusuk pedalaman Sarawak dan Semenanjung bagi menyebarkan Islam sambil melakukan pelbagai kerja kebajikan. Namun seperkara yang menarik mengenai Ayub ini apabila setiap hujung minggu, beliau ‘menukar’ statusnya sebagai pemandu pelancong.

“Hujung-hujung minggu saya pasti berada di perkarangan masjid-masjid di sekitar Kuching. Di situ saya berperanan sebagai pemandu pelancong kerana ramai menjadikan Masjid Bahagian Kuching sebagai destinasi kunjungan mereka setiap kali datang ke sini. “Daripada mereka terjengok-jengok dan tiada sesiapa membantu untuk menjelaskan fungsi dan peranan masjid, adalah lebih baik saya menemui rombongan pelancong yang rata-ratanya warga Barat itu dan mengajak mereka masuk dan melihat sendiri keadaan dan suasana masjid,” katanya yang telah tiga kali mengerjakan haji dan bercadang ke Tanah Suci sekali lagi tahun ini.
Kebanyakan mereka ini, kata Ayub, mempunyai salah tanggapan mengenai Islam dan masjid itu sendiri. Ini termasuklah percaya terdapat patung Nabi Muhammad dalam masjid kerana menganggap baginda merupakan tuhan yang memperkenalkan agama yang mereka panggil sebagai “Muhamaddan”, golongan wanita dinafikan.

No comments:

Post a Comment