Thursday 7 March 2013

Kisah Pemimpin Islam: Hassan Al-Banna

12 Februari 2013 baru saja meninggalkan kita. 
Ingin saya kongsikan di sini, sedikit kisah tentang latar belakang seorang tokoh yang telah menyusun Al-Mathurat dan pengasas Ikhwanul Muslimin. 
Nampak simple,tapi, cukuplah jika sekadar untuk kita mengenali sedikit siapakah beliau. 
#kawan post kat fb 

As-Syahid Imam Hassan Al-Banna
Tanggal 12 Februari 1949, syahidnya seorang pendakwah terulung dan reformis Islam, Hassan Ahmad Abdul Rahman Muhammed al-Banna atau dikenali Imam Hassan Al-Banna. Pemergiannya yang dipenuhi dengan konspirasi yang dirancang musuh Islam yang tidak senang dengan gerakan dakwahnya.

Beliau ditembak di hadapan Pejabat Ikhwanul Muslimin bersama adik iparnya, Abdul Karim Mansur. Dua orang yang tidak dikenali menerpa dan menembak beliau dan adik iparnya. Sebanyak tujuh das tembakan terkena Imam Hassan Al-Banna. Beliau dibawa ke hospital dan dikawal rapi oleh Jeneral Muhammad al-Jazzar. 

Tiada sebarang rawatan diberikan kepadanya dan akhirnya Hassan Al-Banna meninggal dunia pada tengah malamnya. Kemudian, jenazahnya dihantar ke rumahnya.

Pihak tentera memberi amaran bahawa tiada yang boleh bersuara, tidak boleh ada takziah dan hanya ahli keluarga sahaja yang menguruskan jenazahnya serta pengebumiannya mesti diselesaikan jam sembilan pagi keesokan harinya. Jenazah Imam Hassan Al-Banna diuruskan oleh bapa yang melewati usia 90-an ketika itu. Jenazah hanya disolatkan oleh bapanya serta ahli keluarganya sahaja. 
Apa yang lebih mendukacitakan, Raja Farouk I telah menangguhkan hari jadinya daripada 11 Februari ke 12 Februari untuk sama berpesta meraikan dengan mereka yang meraikan kematian insan terulung ini. 
Imam Hassan Al-Banna hanyalah berumur 43 tahun sewaktu beliau dibunuh. Selama 43 tahun beliau hidup, masa beliau banyak dihabiskan dengan mencurah keringat, bakti kejayaan-kejayaan yang agung dan pendirian yang besar, yang kesannya sentiasa disebut-sebut sepanjang zaman. Sesungguhnya 43 thun merupakan angka yang singkat, tetapi ia diisi dengan ketekunan dan amalan yang berterusan, usaha yang dicurahkan tidak dapat dibandingkan dengan umurnya yang singkat. 
Imam Hassan Al-Banna telah mencetuskan banyak fenomena kepada perkembangan Islam dan menjadikan rujukan kepada para gerakan Islam di seluruh dunia. 



IMAM SYAHID HASSAN AL-BANNA 

Pencetus Kebangkitan Umat Abad 20

" Ustaz Hassan Al-Banna hidup di dunia ini selama 40 tahun. Beliau tidak tidur di atas tilamnya yang empuk kecuali beberapa malam tertentu. Beliau tidak bertemu sanak-saudaranya kecuali pada saat-saat tertentu sahaja. Umur setelah itu berkelana untuk mengukuhkan tiang-tiang Rabbani dan memantapkan rukun-rukun ISLAM di saat kaum muslimin sedang terpedaya , pada saat penjajah terjaga, sementara dibelakangnya fanatisme salibiah sedang siap siaga, begitu juga dengan golongan komunis. Hassan Al-Banna adalah seperti raksasa yang memerangi semua itu, sehingga membuat musuh tidak dapat tidur dan menjadikan musuh tidak akan aman."
 (Sheikh Muhammad al-Ghazali)

Nama Imam Hassan al-Banna merupakan nama unggull yang sering disebut-sebut para gerakan dakwah islam pada hari ini. Ketokohan beliau dalam menjalankan gerak kerja dakwah dan kesungguhan beliau dalam menegakkan kembali Islam yang semakin dilupakan pada zaman beliau harus kita contohi. Kesedaran beliau dalam mengembalikan Islam, menyegarkan kembali kefahaman Islam yang kian meleset akibat kesan penjajahan Barat di negara-negara umat Islam adalah satu usaha yang begitu tinggi nilai dan kesannya kepada usaha dakwah pada hari ini.
        Bapanya, Syeikh Ahmad bin Abdul Rahman al-Banna merupakan seorang tokoh ulama', imam, guru dan seorang pengarang terkenal, lulusan Universiti Al-Azhar, yang menulis dan menyumbang kitab-kitab hadith dan Fiqh Perundangan Islam dan juga memiliki kedai menjual jam dan menjual gramophone.
Bapanya juga turut mengkaji, menyelidik dan mengajar Ilmu-ilmu agama seperti Tafsir al-Quran dan Hadith kepada penduduk sekitarnya dan beliau juga banyak dipengaruhi fikrah-fikrah perjuangan Islam seperti Syeikh Muhammad Abduh dan Sayyid Jamaluddin al-Afghani.
     Melalui bapanyalah Imam Hassan al-Banna mempelajari banyak maklumat khususnya berkaitan isu agama dan fikrah-fikrah yang segar mengenai perjuangan Islam dan menegakkan kebenaran yang diperolehi daripada Syeikh Muhammad Abduh dan Sayyid Jamaluddin al-Afghani.Semenjak kecil Hassan al-Banna telah dididik dengan fikrah perjuangan. Ketika beliau berusia 12 tahun, beliau telah menjadi pemimpin badan Latihan Akhlak dan Jemaah Al-Sulk wal-Akhlaqi yang dikendalikan oleh gurunya di sekolah. Kerika usia masih muda ini, beliau telah menghadiri majlis-majlis zikir yang ditubuhkan oleh oleh sebuah pertubuhan sufi, al-Ikhwan al-Hasafiyyah dan menjadi ahli penuh pada tahun 1922. Melalui pertubuhan inilah beliau berkenalan dengan Ahmad al-Sakri yang mana akhirnya memainkan peranan penting dalam penubuhan ikhwanul muslimin.
     Pada peringkat awalnya, beliau banyak menjalani aktiviti-aktiviti dakwah malahan terlibat secara aktif. Pada tahun 1927, beliau telah berjaya mendapat segulung ijazah dan meneruskan karier sebagai guru. Setelah berkhidmat selama 19 tahun dalam bidang perguruan, pada tahun 1946 Hassan al-Banna telah meletakkan jawatan untuk menyusun keg iatan dakwah dengan lebih berkesan dalam masyarakat di bandar tempat beliau tinggal. Pengalaman beliau dalam jemaah selama ini menjadikan beliau seorang pemimpin yang sangat berpengaruh dan bijak dalam mengatur organisasi beliau. Ikhwanul Muslimin telah mengalami 3 peringkat iaitu, peringkat memperkenalkan Ikhwan dan menyebarkan dakwah  asas melalui ceramah serta kegiatan kebajikan. Kemudian membentuk keperibadian anggota agar bersedia menjalani jihad seterusnya melaksanakan cita-cita perjuangan Islam dengan tegas.
   IKHWANUL MUSLIMIN berjaya menjadi sebuah gerakan yang menggegarkan Mesir terutama selepas perang dunia kedua.Antara ucapan berpengaruh Imam Hassan al-Banna ialah,
" Saya dan rakan-rakan seperjuangan menyeru kepada kalian untuk kembali kepada ISLAM; ajaran dan hidayah. ISLAM adalah sistem kehidupan yang komprehensif, mencakup segala aspek kehidupan, dia merupakan negara dan bangsa, atau pemerintahan dan umat, dia merupakan akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan, dia merupakan thaqafah dan undang-undang atau ilmu dan hukum, dia merupakan menteri dan harta atau usaha dan kekayaan, dan dia nerupakan jihad dan dakwah atau perajurit dan ideologi, sebagaimana dia merupakan akidah yang bersih dan ibadah yang benar satu sama lainnya"

  Pengaruh Ikhwan yang semakin kuat amat membimbangkan kerajaan Mesir pada ketika itu yang diketuai oleh al-Nukrasi Basya dari parti al-Sa'di yang bertindak mengharamkan Ikhwanul Muslimin pada 1948 atas tuduhan merancang satu pemberontakan untuk menjatuhkan kerajaan. Akan tetapi beliau tidak ditahan dan berusaha sedaya upaya menyelamatkan Ikhwanul Muslimin. Malangnya usaha beliau terhenti apabila beliau telah ditembak pada waktu Zohor 12 Februari 1949, ketika keluar daripada bangunan Ikwanul Muslimin.
 Beliau menghembuskan nafas terakhir di hospital dan pembunuhan ini di dakwa telah dilakukan oleh polis rahsia kerajaan berikutan kematian perdana menteri yang dibunuh oleh seorang pelajaR yang tidak berpuas hati dengan pembubaran Ikhwanul Muslimin.Dengan kawalan yang ketat oleh kereta-kereta perisai polis, jenazah beliau dikebumikan dengan hanya sanak saudara yang boleh menghadiri upacara tersebut. Lebih menyedihkan lagi, penyokong Ikhwanul Muslimin tidak dibenarkan bertandang ke rumah beliau hatta untuk mengucapkan takziah dan mereka yang ingkar akan ditangkap dan diseksa serta dikurung. Begitulah kejamnya mereka.

   Imam Hassan al-Banna boleh dijadikan icon dakwah dan ahli gerakan Islam yang terulung disebabkan semangat juang dan pengorbanan yang tinggi. Sepanjang beliau hidup, bermacam-macam tawaran beliau terima  untuk memesongkan pemikiran beliau tetapi kesemunya beliau tolak dengan tegas.Akhirnya pihak British membuat kesimpulan bahwa Hassan al-Banna tidak dapat dipengaruhi oleh emas dan perak.

Antara rakaman tazkirah beliau sebelum beliau syahid ialah:

"Wahai Ikhwan ( saudara-saudaraku!) Berimanlah dengan ALLAH! Kuatkanlah dengan mengenal dan berpegang serta menyerah kepada Allah. Janganlah kamu takut selain dari Allah. Tunaikanlah suruhanNYA dan jauhilah laranganNYA. Bersikaplah dengan perangai yang baik. Jadikan kamu orang-orang  kuat dengan akhlak yang mulia, dengan sifat yang gagah sebagai orang-orang mukmin, dan  dari sifat mulia sebagai orang-orang bertaqwa dan yang Soleh. Kamu hendaklah betul-betul mempelajari Al-Quran dan betul-betul mengkaji serta mengulangi sirah nabawiyyah. Kamu harus menjadi orang yang banyak bekerja bukan banyak bercakap dan bertengkar kerana satu-satu kaum bila mendapat petunjuk dari Allah mereka diilhamkan untuk bekerja. Sebaliknya satu-satu kaum yang sesat setelah mendapat petunjuk adalah kerana  mereka banyak bertengkar dan berbalah. Kamu hendaklah saling menyayangi sesama kamu. Berilah sepenuh tumpuan kepada perpaduan kamu kerana perpaduan adalah nadi kekuatan kamu dan sebagai tiang kepada kejayaan kamu. Tetapkanlah pendirian kamu sehingga Allah membuka yang haq di antara kamu  dan kaum dan Allah adalah pembuka. Dengar dan ta'atilah pimpinan kamu sama ada dalam kesusahan atau dalam kesenangan, sama ada kamu sukai atau dipaksa kerana ia adalah panduan kepada pemikiran  kamu, dan ia juga sebagai penyambung kepada hubungan sesama kamu. Kemudian dengan sabar tunggulah pertolongan dan bantuan Allah. Peluang ini tetap menjelang datang, usah diragu-ragukan :
Pada hari ini bergembiralah mereka yang beriman dengan pertolongan Allah. Allah menolong siapa sahaja yang dikehendakinya dan Allah amat gagah dan amat penyayang.
(Ar-Rum: 4-5)

Semoga kita sama-sama ambil ihtimam daipada kisah sang syahid yang sanggup berkorban apa sahaja asalkan Islam terletak di tempat paling atas.Semoga kita dapat mencontohi beliau dan dimatikan dalam kesyahidan yang pasti. Hassan al-Banna adalah cerminan hidup seorsng pejuang yang telah mewakafkan hidupnya demi memartabatkan Islam di tempat selayaknya. Wallahualam. sekian untuk kali ini=)




Sebelum kematiannya, Hassan Al-Banna telah meninggalkan 10 wasiat yang begitu berharga untuk semua jemaah Islam. Sepuluh wasiatnya itu ialah: 
 1. Apabila mendengar azan maka bangunlah sembahyang serta-merta walaubagaimana keadaan sekalipun.
 2. Bacalah al-Quran, tatapilah buku-buku ilmu, pergilah ke majlis-majlis ilmu, dan amalkanlah zikrullah dan janganlah membuang masa dalam perkara yang tiada memberi faedah.
 3. Berusahalah untuk bertutur dalam bahasa Arab Fushah kerana bahasa Arab yang betul itu adalah syiar Islam.
 4. Janganlah bertengkar dalam apa-apa perkara sekalipun kerana pertengkaran yang kosong tiada memberi apa-apa jua kebaikan.
 5. Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.
 6. Janganlah banyak bergurau kerana umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara.
 7. Janganlah bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh pendengar kerana percakapan yang nyaring itu adalah suatu perbuatan yang sia-sia malah menyakiti hati orang.
 8. Jauhilah daripada mengumpat-umpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan, dan janganlah bercakap melainkan apa- apa yang memberi kebajikan.
 9. Berkenal-kenalanlah dengan setiap Muslim yang ditemui kerana asas gerakan dakwah ialah berkenal-kenalan dan berkasih-sayang.
 10. Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada pada kita, oleh itu gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskanlah perlaksanaannya.

No comments:

Post a Comment