Monday 20 May 2013

Satelit Pipit


Perbandingan saiz CubeSAT(3U) dan 1U berbanding saiz Pipit (hadapan).
Di Malaysia, satu-satunya syarikat kerajaan yang bertanggungjawab membangunkan sendiri satelit untuk kegunaan komersial ialah Astronautic Technology (M) Sdn. Bhd. atau secara ringkasnya ATSB.
ATSB yang ditubuhkan pada 1997 mempunyai visi untuk meningkatkan minat pelajar dalam bidang sains dan teknologi serta memperkasakan sistem pendidikan di Malaysia.
Bidang-bidang teknologi maklumat, Internet, perisian, dan mikroelektronik merupakan teknologi satelit yang dapat memacu alaf akan datang kepada pertumbuhan industri angkasa negara.
Masyarakat yang mahir dalam bidang sains dan teknologi akan dapat menjana perdagangan antarabangsa dan ekonomi negara serta memupuk ilmu dan pengetahuan saintifik di peringkat yang lebih tinggi.
Peningkatan pengetahuan saintifik dan keupayaan dalam menterjemahkan pengetahuan yang ada kepada nilai komersial adalah kunci kepada pencapaian inovasi.
Malaysia perlu menerapkan wawasan ini kepada generasi kini dan yang akan datang jika ingin bersaing dengan negara-negara perindustrian yang lain.
ATSB telah terlibat di dalam industri sains angkasa lepas sejak tahun 1997 dalam pelbagai program satelit seperti TiungSAT-1 dan RazakSAT, serta program-program yang lebih berbentuk penyelidikan.
Ini termasuk CubeSAT dan InnoSAT yang membawa beberapa kajian saintifik dan eksperimen yang dibangunkan bersama beberapa universiti tempatan termasuklah Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan Universiti Malaysia Perlis (UniMaP).
Di dalam keluaran siri ke-3 Kuiz Teknologi Satelit Utusan-ATSB yang lalu, kita telah menghuraikan informasi berkenaan CubeSAT dan InnoSAT, iaitu antara satelit bersaiz antara satu dan 10kg yang dikategorikan sebagai satelit piko.
Pipit atau sebelum ini dikenali sebagai FemtoSAT ialah sebuah satelit kecil untuk mengendalikan misi angkasa lepas yang mudah dengan berat kurang daripada satu persepuluh kilogram.
Program skala yang kecil merangkumi pembinaan sebuah satelit yang kecil dalam bentuk miniature educational satellite" atau miniature satelit pendidikan yang mempunyai objektif misi yang lengkap bagi sesebuah satelit di samping matlamat pembelajaran yang diterapkan secara bersepadu.
Untuk itu, ATSB memperkenalkan satu pendekatan baru untuk sains dan teknologi di negara ini menerusi aspek pendekatan secara praktikal atau hands-on dari peringkat sekolah menengah lagi.
Menerusi kaedah pembangunan dan pembelajaran satelit Pipit , pelajar sekolah menengah atau pelajar ijazah sarjana muda akan dapat melihat dan mendalami ilmu kejuruteraan dan teknologi yang terlibat dalam pembangunan satelit.
Meskipun ia berskala kecil, asas pembangunan satelit adalah sama dan menjadi teras dalam memperkasakan teknologi angkasa lepas Malaysia menerusi proses pembelajaran yang menarik dan diterjemahkan secara interaktif.
Dengan pengalaman dan pengetahuan yang telah diperolehi semasa membangunkan satelit InnoSAT, ATSB secara inovatif membina satelit berskala yang lebih kecil dengan berat yang kurang daripada 150 gram serta saiz berukuran 1/8 daripada InnoSAT.
Idea asal Pipit adalah untuk menggunakan fungsi-fungsi utama untuk InnoSAT yang diubahsuaikan kepada sistem satelit yang berskala lebih kecil seperti On-Board Computer (OBC), Subsistem Kuasa Elektrik (EPS), Komunikasi Frekuensi Radio (RF Comm.), Sistem Pengesanan Attitude (ADS), serta kamera optikal CMOS.
Struktur badan satelit juga diperlukan untuk melindungi semua elektronik-elektronik semasa pelancaran dan operasi.
Kelebihan paling ketara untuk satelit bersaiz kecil ini adalah kos pembikinan serta pelancaran ke angkasa lepas.
Tidak seperti satelit konvensional lain yang memerlukan kenderaan pelancar sendiri, satelit-satelit kecil ini boleh menumpang pelbagai jenis roket pelancar untuk ke angkasa lepas.
Kemampuan unik yang dimiliki oleh satelit Pipit menggunakan litar elektronik sedia ada atau off-the-shelf seperti mikropemprosesan pemancar/penerima frekuensi radio yang merupakan komponen-komponen yang sama digunakan dalam telefon pintar (smartphone), unit mobil Sistem penentu kedudukan global (GPS) (Global Positioning System) dan kamera digital.
Ini kerana komponen- komponen elektronik masa kini adalah lebih berprestasi tinggi berbanding dengan teknologi sepuluh tahun yang lalu.
Adalah diharapkan agar satelit Pipit dapat menjadi satu produk Malaysia yang diterima oleh sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi sebagai alat pengajaran dan pembelajaran di dalam bidang sains dan teknologi.

No comments:

Post a Comment