Monday 20 May 2013

Satelit di Angkasa

http://www.mkn.gov.my

APAKAH SATELIT

Menurut Kamus Dewan, satelit bermaksud sesebuah objek yang bergerak dan beredar mengelilingi sebuah objek yang lain. Dalam istilah astronomi, satelit merupakan suatu objek di angkasa yang bergerak mengelilingi suatu objek lain yang lebih besar dan kekal berada dalam graviti objek tersebut. Contohnya, bulan merupakan satelit kepada bumi, atau bumi dan planet-planet lain merupakan satelit kepada matahari.
Namun begitu, pada umumnya, satelit lebih dikenali sebagai objek buatan manusia yang ditempatkan di ruang angkasa bagi melaksanakan tugasan tertentu dan bergerak mengelilingi bumi.

SEJARAH SATELIT

Sejarah mengenai satelit bermula dengan pelancaran Sputnik 1 milik Soviet Union pada 4 Oktober 1957 bagi Program Soviet Sputnik. Ini merupakan permulaan kepada persaingan dalam eksplorasi angkasa dan teknologi satelit dalam perang dingin di antara Soviet Union dan Amerika Syarikat. Kemudian, Sputnik 2 telah dilancarkan pada 3 November 1957 yang turut membawa seekor anjing bernama Laika. Amerika Syarikat mula melancarkan satelitnya, iaitu Explorer 1 pada 1 Februari 1958 sebagai respon kepada pelancaran Sputnik 1.
Sebelum ini, terdapat beberapa penulisan fiksyen dan teori mengenai eksplorasi ke angkasa dan bulan. Antaranya adalah seperti karya ‘The Brick Moon' oleh Edward Everett Hale pada tahun 1869, karya ‘The Exploration of Cosmic Space by Means of Reaction Devices' oleh Konstantin Tsiolkovskly pada tahun 1903, karya ‘The Problem of Space Travel - The Rocket Motor' oleh Herman Potocnik pada tahun 1935 dan artikel ‘Wireless World' oleh Arthur C. Clarke pada tahun 1945.

JENIS-JENIS SATELIT

Terdapat beberapa jenis dan kategori satelit yang kini digunakan dan berada di ruang angkasa, antaranya adalah seperti berikut:
  • Satelit anti-satelit - satelit yang dilengkapi dengan senjata dan berupaya memusnahkan satelit atau objek angkasa yang lain.
  • Satelit astronomi - satelit yang digunakan untuk memerhati dan mengkaji planet, bintang dan objek dalam sistem solar yang lain.
  • Biosatellites - satelit yang menempatkan objek atau organisma hidup bagi tujuan penyelidikan saintifik.
  • Satelit komunikasi - satelit yang ditempatkan bagi kegunaan telekomunikasi.
  • Satelit pandu arah - satelit yang digunakan untuk navigasi dan penentuan lokasi menggunakan aplikasi GPS.
  • Satelit pantau bumi - satelit yang digunakan untuk memantau bumi bagi tujuan pemerhatian alam sekitar, meteorologi dan pemetaan.
  • Satelit cuaca - satelit yang digunakan untuk tujuan meterologi dan pemantauan perubahan iklim.
  • Satelit ketenteraan - satelit komunikasi dan satelit pantau bumi yang digunakan oleh pihak tentera dan perisikan.
  • Satelit kecil - satelit yang bersaiz kecil seperti satelit mini (200-500 kg), satelit mikro (10-200 kg) dan satelit nano (bawah 10 kg).
  • Stesen angkasa - struktur bangunan yang dibina yang membolehkan manusia hidup di angkasa lepas. Stesen ini direka bagi membolehkan manusia tinggal selama beberapa bulan, bahkan beberapa tahun. Contohnya, International Space Station (ISS).
International Space Station (ISS)

RANGKAIAN PENGAWASAN ANGKASA (SPACE SURVEILLANCE NETWORK)

Rangkaian Pengawasan Angkasa Amerika Syarikat (Space Surveillance Network - SSN) telah diwujudkan bagi memantau pergerakan dan aktiviti objek-objek di angkasa sejak tahun 1957. Semenjak itu, SSN telah mengesan lebih daripada 26,000 objek di angkasa. Pada masa ini, SSN telah mengesan lebih 8,000 objek buatan manusia di angkasa. Daripada bilangan tersebut, terdapat juga objek buatan manusia yang telah jatuh ke bumi, sama ada terbakar di atmosfera ataupun terhempas di bumi atau laut. Hanya tujuh peratus daripada bilangan objek buatan manusia tersebut yang masih beroperasi (satelit), manakala bakinya merupakan space debris, iaitu objek buatan manusia yang tidak berfungsi dan menjadi ‘sampah' di ruang angkasa.
Space Debris
Ilustrasi kepadatan Space Debris

PELANCARAN SATELIT BAGI TAHUN 2009

Dari Januari hingga September 2009, sekurang-kurangnya 84 buah satelit telah dilancarkan ke ruang angkasa melibatkan 42 proses pelancaran. Daripada jumlah ini, tiga pelancaran telah gagal dan lima satelit gagal berfungsi. Satelit-satelit yang dilancarkan melibatkan beberapa buah negara seperti Amerika Syarikat, Rusia, Jepun, China, India, Switzerland, Korea Selatan, Kesatuan Eropah, German, Perancis, Belanda, Itali, Kanada, Iran, Indonesia dan termasuk juga Malaysia. Bagi tahun ini, Malaysia telah melancarkan dua satelit, iaitu satelit komunikasi, Measat -3A dan satelit pantau bumi, RazakSat.
Satelit pantau bumi RazakSat milik Malaysia

KESAN PELANCARAN SATELIT

Kebanyakan satelit yang dibangunkan menjurus kepada aktiviti kajian dan penyelidikan dalam pelbagai bidang. Tidak kurang juga yang digunakan bagi tujuan pemantauan, pemetaan dan komersil. Perkembangan yang pesat dalam teknologi angkasa lepas ini dikatakan mampu memberi perkembangan positif terhadap pemeliharaan dan pembangunan di bumi.
Namun begitu, ini juga turut memberi kesan negatif terhadap ruang angkasa, iaitu kesesakan ruang angkasa dengan space debris berbanding bilangan satelit yang masih berfungsi. Lambakan space debris ini bukan sahaja memberi ancaman kepada penduduk di bumi, malah mampu memberi ancaman kepada satelit-satelit dan kapal angkasa yang berada di orbit. Walaupun isu mengenai space debris ini dibincangkan dalam pelbagai forum di peringkat antarabangsa, bilangan space debris ini dikatakan semakin bertambah. Dianggarkan berat space debris yang telah dapat dikesan adalah 5,500 tan.
Selain daripada space debris, satelit-satelit ketenteraan dan perisikan yang dilancarkan turut memberi ancaman keselamatan. Walaupun satelit ini bertujuan untuk menjaga keselamatan negara tertentu, namun ianya masih boleh digunakan untuk memantau negara-negara lain, dan ini turut mengundang kepada isu keselamatan dan kedaulatan. Sehingga kini, tiada panduan dan penguatkuasaan mengenai kawalan terhadap aktiviti satelit-satelit jenis ini kerana sukar untuk pembuktian terhadap tindakan tersebut.
Ilustrasi satelit komunikasi Palapa-D milik Indonesia
Ilustrasi satelit komunikasi Measat-3A milik Malaysia

Ilustrasi satelit komunikasi Telstar-11N milik Kanada
Satelit kajicuaca GOES-O milik Amerika Syarikat




No comments:

Post a Comment