Saturday, 16 February 2013

Doa Yang Tertangguh

Dah lama kita meminta. Dah lama kita berdoa. Bukan setakat berhari-hari. Terkadang berbulan-bulan. Bahkan sehingga bertahun-tahun.Tapi sehingga hari ini, permintaan kita tak kunjung tiba bayangnya.
Entah berapa titis air mata yang bercucuran. Setiap kali tangan diangkat selepas solat, saat itu juga hati sebak. Meminta dengan penuh pengharapan.
Letih, penat, lelah dalam berdoa.

Hingga ada antara kita yang berputusa asa untuk berdoa.

Hingga ada antara kita yang mula mempersoal,
"Ya Allah, bila Kau mahu makbulkan doa ku? Ya Allah, kenapa Kau belum makbulkan doa ku? Ya Allah, apa silapku sehingga doa ku masih belum Kau makbulkan? Ya Allah, apakah kerana dosa-dosa silamku? Ya Allah, tak terimakah Engkau akan taubatku?"
Minda penuh persoalan. Penuh tanda tanya. Tapi entah pada siapa soalan perlu dilontarkan, untuk mendapatkan jawapan.

Saat bila mana persoalan memenuhi ruang fikiran, bibit-bibit prasangka mungkin akan mula terbit.
Bukankah kitab Allah tertulis,
"Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu"
(Surah Ghafir ayat 60)
Tapi... kenapa doaku masih belum dimakbulkan? Bukankah Allah tak pernah memungkiri janjiNya? Habis tu, KENAPA? Kita mula mempersoalkan sedangkan kita lupa memuhasabah diri. Lupakah kita pesan baginda SAW?
"Sentiasa doa dimustajabkan untuk seorang hamba Allah selagi mana dia tidak berdoa untuk membuat sesuatu dosa, atau memutuskan silaturrahim, selagi dia tidak tergopah-gapah. Ditanya kepada baginda : Apa itu tergopoh-gapah ? Sabda baginda : Apabila dia berkata: Aku telah pun berdoa! Aku telah pun berdoa! Tetapi aku tidak nampak pun dimustajabkan untukku, lalu dia berhenti ketika itu dan meninggalkan doa."
(Hadis Riwayat Muslim)
Gopoh gapah

Benar. Kita gelojoh. Tamak. Gopoh.

 Meminta sesuatu yang dirasakan baik untuk kita, sedangkan sebenarnya Allahlah yang tahu apa yang terbaik buat kita. Apa, bila, di mana. Dia yang Maha Mengetahui.


Bila hati kita penuh persoalan, kita sebenarnya terlupa pada satu perkara. Keyakinan! Ya, Keyakinan yang padu kepada Allah SWT tanpa sedikitpun terselit rasa prasangka.


Keyakinan bahawa doa kita PASTI akan dimakbulkan Allah. KEYAKINAN yang sebenarnya merupakan piawaian KEIMANAN kita.
"Berdoalah kamu kepada Allah dalam keadaan kamu yakin dengan kemustajabannya. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari jantung hati yang lalai dan alpa"
(Hadis Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani)

karya Fakhriah Ramli | Aina Amidin di http://huriyyatunnajla.wordpress.com/

No comments:

Post a Comment