sumber:
http://www.hmetro.com.my
Setiap hari kita diingatkan mengenai
kesihatan yang meliputi pemakanan sihat dan seimbang. Pelbagai persoalan
juga dibangkitkan perihal perkara ini apabila ramai yang tertanya-tanya
sama ada wujud pemakanan sihat atau sebaliknya.
Sebenarnya, tidak wujud istilah makanan tidak menyihatkan kerana
setiap sumber makanan mempunyai nilai nutrisi masing-masing yang
memberikan kelebihan kepada tubuh badan.
Ia sering dinamakan makanan tidak sihat apabila anda mengambil
sesuatu jenis makanan dalam kuantiti terlalu banyak lalu menyebabkan
masalah lain seperti kegemukan atau obesiti.
Ini bermakna, anda tidak seimbangkan pengambilan setiap jenis
makanan yang terkandung di dalam piramid makanan dengan betul, tetapi
terus makan mengikut hawa nafsu.
Ingin saya ingatkan, untuk memiliki kesihatan berkualiti dalam
tempoh berpanjangan tanpa perlu risau masalah penyakit berjangkit dan
seumpamanya, kita perlu memilih dan menentukan makanan seimbang dan
mengamalkan senaman.
Anda perlu mengubah secara perlahan-lahan gaya hidup dengan menjadi lebih aktif dan memasukkan senaman ke dalam aktiviti harian.
Faktor penentu adalah diri anda sendiri. Usah lagi memberi alasan
tiada masa untuk bersenam kerana semua orang diberi Tuhan masa yang
mencukupi iaitu 24 jam sehari.
Memang bersenam akan membuatkan kita berasa letih, tetapi jika
difikirkan faedah kemudian hari yang akan diperoleh, pasti perasaan itu
bertukar menjadi gembira.
Sekiranya tidak mampu untuk melakukan senaman dengan kerap atau
jenis senaman yang berat, pilih senaman yang ringkas dan memudahkan diri
anda sama ada boleh dilakukan di rumah, tempat kerja atau gimnasium.
Tidak kira berapa pun berat atau sebesar mana saiz badan kita,
senaman yang dilakukan secara teratur memberi banyak manfaat kepada
kita. Dalam usaha menjaga kesihatan, tiada istilah terlewat.
Contohnya sebagai permulaan, buat aktiviti ringan dengan berjalan
pada waktu pagi sebelum pergi kerja. Berjalan di kawasan perumahan
selama 10 hingga 15 minit setiap pagi sudah memadai dan apabila stamina
bertambah, lanjutkan tempoh senaman kepada 20 hingga 30 minit sehari.
Namun perlu diingat, buat aktiviti memanaskan badan sebelum bersenam untuk mengelak mendapat kecederaan atau ketegangan otot.
Selain itu, dengan mengamalkan pemakanan serta senaman kita boleh
mengurangkan risiko menghidap penyakit kronik yang boleh mengancam nyawa
seperti penyakit jantung.
Misalnya, senaman kardiovaskular yang kerap dilakukan boleh
meningkatkan kesihatan jantung manakala pemilihan makanan yang rendah
kandungan garam pula boleh mengurangkan risiko tekanan darah tinggi.
Anda juga harus peka terhadap keadaan kesihatan diri sendiri. Jangan
amalkan diet mendadak jika anda tahu bagaimana mahu mengira jumlah
kalori bagi setiap pengambilan makanan seharian.
Jangan juga mengamalkan diet itu sesuka hati kerana ditakuti akan
mendatangkan kemudaratan. Lakukan kalori defisit agar dapat mengurangkan
berat badan berlebihan.
Bagi kebanyakan orang yang dapat menurunkan berat badan atau
mengamalkan pemakanan seimbang dan senaman, rata-rata mereka mengakui ia
ternyata dapat meningkatkan keyakinan diri dan mengurangkan tekanan.
Siapa yang tidak mahu tampil menarik dengan menggayakan pakaian
kegemaran yang cantik-cantik belaka bukan? Tidak kiralah wanita mahupun
lelaki, masing-masing tentu saja berperasaan begitu.
Hidup yang sihat dan aktif dapat mengurangkan tekanan serta membantu
menangani sebarang masalah dengan lebih baik. Tekanan boleh disebabkan
oleh banyak faktor antaranya pekerjaan, makanan, keluarga, rakan,
masalah kewangan, tidak cukup tidur, anak serta konflik dalam keluarga.
Justeru, mulakan gaya hidup sihat dari sekarang dan jangan
berlengah. Cuba rujuk bahan bacaan bercetak atau maklumat terdapat di
Internet.
Tidak lupa, bertanya pada pakar kesihatan atau jurulatih bertauliah
untuk permulaan serta tunjuk ajar. Jangan malu untuk bertanya kerana
ditakuti anda akan sesat jalan di kemudian hari.