Saturday, 2 March 2013

Solat Istikharah (1) – Ustaz Muhammad Abdullah (Ustaz Amin)



Bacaan surah Al-Baqarah, ayat 45:
Ada 5 perkara yang akan dibincangkan:
Manusia dan masalah
Allah menjadikan kita sebagai khalifah di dunia ini dan sebagai manusia, kita takkan boleh lari daripada menghadapi masalah. Ada orang yang semakin jauh daripada Allah apabila ditimpa masalah, tetapi ada juga orang yang sebaliknya. Setiap orang ada masalah, oleh itu tidaklah perlu dibandingkan masalah kita dengan masalah orang lain.
Tindak balas manusia terhadap masalah
Agama mengajar cara terbaik untuk bertindak-balas terhadap masalah. Ada masalah yang boleh diselesaikan sendiri, dan ada pula yang perlukan bantuan orang lain. Sebenarnya yang paling utama ialah untuk kita memohon pertolongan Allah. Jangan pula meminta kepada jin/syaitan/kubur dan sebagainya yang boleh membawa kepada syirik.
Bagaimana menyelesaikan masalah mengikut Al-Quran


Dalam surah Al-Baqarah, ayat 45 dan 153, Allah sebut cara khusus untuk memohon pertolongan kepada Allah iaitu dengan bersabar dan mengerjakan solat. Dua kali Allah sebut perkara yang sama. Persoalannya – kenapa Allah gandingkan sabar dan solat, dan bukan ibadat-ibadat lain? Sebenarnya, fitrah manusia adalah bersifat terburu-buru. Oleh itu, Allah pesan agar bersabar secara khusus. Kedua – kenapa solat? Solat merupakan ibadah yang menghubungkan kita kepada Allah. Jika kita lupa pada Allah, kita akan sukar menerima ujian dan kesusahan yang Allah kurniakan, dan mula menyalahkan pasangan, keluarga atau orang sekeliling. Solat akan dapat mengingatkan kita yang Allah adalah tempat terbaik untuk memohon pertolongan.
Ada ulama mencadangkan, jika kita baru ingin berubah, eloklah diamalkan untuk solat sebanyak 40 rakaat. Kenapa – agar paling kurang dalam sehari, kita akan memohon bantuan Allah sebanyak 40 kali. Untuk mendapatkan 40 rakaat, perlu ditunaikan 5 solat fardhu, tambah solat sunat sebelum dan selepas solat ada 14 rakaat, lagi 9 rakaat boleh buat solat tahajjud, taubat, istikharah dan witir (3 rakaat). Usahakan melakukannya kerana kita lebih banyak meluangkan masa untuk buat perkara lain dalam kehidupan seharian – contohnya kita boleh pula menonton filem/drama berjam-jam lamanya. Solat tidak perlukan masa yang panjang pun. Oleh itu, kita perlu juga beri keutamaan untuk melakukan ibadat solat.
Solat itu sebenarnya merupakan satu bentuk doa. Ada bermacam-macam doa yang kita sebut ketik solat. Contohnya – ketika duduk antara 2 sujud sahaja, kita memohon 8 perkara. Antaranya kita memohon hidayah daripada Allah. Sebagai manusia, kita tidak mengetahui apa yang terbaik, tetapi Allah Yang Maha Mengetahui.
Tujuan solat istikharah
Istikharah hanya untuk tujuan memilih perkara-perkara yang baik (perkara wajib dan sunat). Tidak boleh solat sunat istikharah untuk perkara makruh dan haram. Selepas istikharah disunatkan berdoa. Doanya panjang dan saya akan kongsi nanti di www.ustazamin.com. Namun begitu, tidak salah untuk berdoa dalam bahasa yang kita fahami.
Kelebihan solat istikharah
  1. Solat akan menambah keimanan kerana solat itu akan menambah pergantungan seseorang kepada Allah. Apabila mengingati Allah, hati akan tenang. Ramai orang hari ini tidak tenang kerana lebih banyak mengingati hal-hal keduniaan.
  2. Allah akan beri panduan dalam kehidupan. Sebagai manusia, pengetahuan kita terhad dan Allah Yang Maha Mengetahui. Oleh sebab itu, Allah ada berfirman dalam surah Al-Baqarah, ayat 216:


Senarai soalan dan jawapan:
S: Apa makna sebenar dan tujuan solat istilharah?
J: Istikharah bermaksud untuk meminta panduan memilih atau dalam menghadapi masalah. Kata Jabir bin Abdullah: "Rasulullah s.a.w. mengajar kami beristikharah dalam semua pekerjaan seperti baginda mengajar kami satu surah dari Al-Quran". Ini menunjukkan yang solat istikharah itu amat penting untuk diamalkan sebenarnya.
S: Dalam bentuk apakah, seseorang yang telah melakukan solat istikharah untuk mendapat petunjuk?
J: Tajuk ini akan dibincangkan dengan lebih terperinci esok dan lusa. Tetapi secara ringkasnya, Allah boleh tunjukkan dalam bentuk mimpi atau gerak hati. Kadang-kadang, Allah tunjuk dengan cara dipermudahkan jalan-jalan untuk menyelesaikan sesuatu tugasan.
S: Saya ingin memilih antara 2 gadis untuk berkahwin – A dan B. Kedua-duanya saya suka. Saya sudah solat istikharah dan selalu teringat kepada A. Tetapi saya mengenali A terlebih dahulu sebelum B. Adakah saya mengingati A kerana telah mengenalinya lebih lama atau adakah itu satu petunjuk?
J: Nabi SAW berpesan supaya jangan meninggalkan petunjuk istikharah yang diperolehi.
S: Bilakah waktu solat istikharah yang terbaik?
J: Waktu terbaik ialah pada 2 pertiga malam. Namun begitu, sebenarnya tidak tertakluk pada mana-mana waktu. Boleh dilakukan bila-bila masa kecuali selepas Subuh, dan selepas Asar.

 layari juga:  kerjaya-sebagai-pendidik
                     9-ciri-ciri-pendidik-yang-hebat
                     ciri2-yang-baik-sebagai-pendidik
                      kisah-pemimpin-islam-zainab-al-ghazali

No comments:

Post a Comment