Saturday, 2 March 2013

Hidayah Allah (1) – Ustaz Zul Ramli Mohamed Razali



Allah yang memberikan hidayah untuk menjadikan manusia itu seorang yang bersyukur atau sebaliknya. Mari bersama kita buka minda, dan pasrah pada Allah demi mendapat hidayahnya. Saban hari, kita melakukan solat. Solat juga dikatakan sebagai doa, Kenapa? Kerana kita mengulang baca surah Al-Fatihah yang terkandung doa di dalamnya. Dalam surah Al-Fatihah, ada satu ayat yang bersifat meminta iaitu: “Ihdinassirotolmustaqim”. Ayat ini adalah ayat rintihan seorang hamba memohon ditunjukkan jalan yang lurus. Jalan lurus inilah hidayah. Kita minta dalam setiap rakaat solat.
Hidayah itu hak mutlak Allah. Allah berfirman “Setiap kamu adalah sesat kecuali yang diberikan hidayah. Jadi mohonlah hidayah itu dari-Ku.” Kita ini umpama musafir dalam pengembaraan. Jadi untuk sampai ke destinasi yang betul, kita perlu mohon hidayah daripada Allah. Nabi Muhammad SAW juga tidak dibenarkan memberi hidayah, hanya Allah berkuasa memberi hidayah. Jadi tiada perantaraan untuk memohon hidayah, kita perlu mohon secara terus dengan Allah.


Hidayah ini umpama kompas ketika mengembara. Sebab itu Allah wajibkan kita pohon hidayah paling kurang 17 kali sehari. Lawan hidayah ialah kesesatan. Ada orang yang berbuat dosa dan takbur dengannya, Jika seseorang buat dosa kepada Allah dalam keadaan ketawa, Allah pasti seksanya di hari Akhirat dalam keadaan dia menangis. Ada juga orang yang diberi hidayah pada mulanya, tapi dicabut hidayah itu akhirnya.

Ada dua bentuk hidayah:

  1. Intibahah – Menjadikan orang yang lalai sedar, dan mula menjalani proses mujaharah (u-turn ke jalan lurus).
  2. Istiqamah – Hidayah ini bersifat ikhtiar dan bersifat mujahadah. Ini merupakan fasa kedua selepas mendapat hidayang intihabah. Jalan utama untuk istiqamah adalah perlu selalu berada dalam majlis ilmu, kerana ilmu mendekatkan diri kita kepada Allah.


Soalan & Jawapan:

S: Untuk mendapat hidayah, bukanlah mudah sebenarnya. Kita sedia maklum bapa saudara yang disayangi Nabi SAW pun tidak diizinkan Allah diberi hidayah. Bagaimana cara agar dapat memudahkan untuk mendapat hidayah?

J: Kita perlu sentiasa memohon dengan Allah. Hatta untuk berbincang tentang topik ini sekalipun kita perlu mohon hidayah Allah. Hidayah itu sangat berharga. Semua bentuk hidayah, datang daripada Allah SWT. Ia berbentuk kurniaan, diberi kepada siapa yang Allah kehendaki. Saya ada berjumpa seorang kawan yang menyimpan sebatang pen kilometrico dalam bekas kaca kerana pen itu hadiah pemberian Sultan. Jadi kita perlu ada perasaan menghargai hidayah yang diberi oleh Raja kepada semua Raja. Kita perlu cari masa menangis dan merasa diri bertuah diberi hidayah. Kita juga perlu dekatkan diri dengan sumber hidayah – iaitu Allah SWT melalui Al-Quran, Rasulullah SAW.
S: Allah beri hidayah dalam pelbagai bentuk. Ada datang dalam bentuk nikmat dan ujian. Mohon penjelasan.

J: Bentuk-bentuk hidayah ada bermacam rupa. Ada orang lalai yang Allah beri ujian agar dia tersedar dan kembali kepada jalan Allah SWT. Ulama ada menbahagikan hidayah kepada 2 bentuk: Pertama dalam bentuk ‘Intibahah” (kejutan), seperti musibah. Kedua dalam bentuk istiqamah iaitu ikhtiar mencari hidayah secara berterusan.



S: Apakah sebab seseorang tidak dapat mendapat hidayah daripada Allah, sehingga berasa sukar untuk membuat kebaikan.

J: Orang yang baik, bila sedar mereka mendapat hidayah, akan berasa tidak cukup masa untuk bersyukur pada Allah. Mengapa kita rasa seperti kita tak dapat hidayah, atau menyalahkan hidayah tak sampai kepada kita? Kita perlu berhati-hati dengan ucapan kita, kerana ini boleh semakin menjarakkan hijab kita dengan Allah. Kita sepatutnya berterusan berikhtiar mencari hidayah. Kita perlu didik nafsu kerana nafsu yang jahat boleh jadi penghalang hidayah sampai.
S: Kita perlukan hidayah agar kehidupan terbimbing. Namun kita kadang-kadang tewas dengan ajakan nafsu. Mohon kata-kata nasihat daripada ustaz.

J: Memang benar, manusia ada berbagai jenis. Ada yang lemah jiwanya, selalu tewas pada nafsu walaupun jauh di sudut hatinya ingin berubah membuat kebaikan. Hidayah ini bersifat holistik. Jadi yang utama kita perlu cuba didik hawa nafsu agar tidak menjadi penghalang mendapat hidayah Allah.

S: Bolehkah dapatkan hidayah dengan menunggu saja?

J:  Hidayah memang hak mutlak Allah. Jadi, adakah dengan menunggu itu mencukupi? Hidayah ada dua – hidayah ‘intibahah’ (mengejut), terjadi secara mengejut untuk menyedarkan seseorang, mungkin dalam bentuk musibah atau mimpi. Jadi kita tidak boleh hukum sewenang-wenangnya bahawa seseorang yang jahat tak boleh dapat hidayah. Hidayah kedua berbentuk istiqamah – tanpa hidayah Allah, kita takkan boleh istiqamah.
S: Ada satu ayat dalam surah Al-‘Araf: Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” Bagaimana kita nak mendapat hidayah dengan menggunakan pancaindera yang Allah beri, seperti yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim?

J: Allah beri banyak tanda kebesarannya dalam dunia ini. Nabi Ibrahim melihat alam dan nampak kebesaran Pencipta ala mini. Jadi unntuk dapat hidayah memang perlu dekatkan diri dengan sumber hidayah. Sumber utama ialah Kalamullah. Seterusnya kita boleh perhatikan alam yang Allah cipta. Kita perlu gunakan akal yang dikurniakan untuk berfikir kebesaran dan kekuasaan Allah.
S: Adakah seseorang yang tidak berubah kepada kebaikan setelah berumur 40 tahun bermakna dia takkan mendapat hidayah?

J: Betul, ada hadis Nabi yang menyebut jika seseorang tidak berubah pada umur 40 tahun, maka dia harus bersedia untuk terjun ke dalam api neraka. Namun ini sebenarnya sebagai panduan umum. Hidayah itu hak mutlak Allah. Yang utama, kita jangan biarkan maksiat menebal dalam diri kita.


 layari juga:  kerjaya-sebagai-pendidik
                     9-ciri-ciri-pendidik-yang-hebat
                     ciri2-yang-baik-sebagai-pendidik
                      kisah-pemimpin-islam-zainab-al-ghazali

No comments:

Post a Comment