Saturday, 2 March 2013

Hidayah Allah (2) - Ustaz Zul Ramli Mohamed Razali

 layari juga:  kerjaya-sebagai-pendidik
                     9-ciri-ciri-pendidik-yang-hebat
                     ciri2-yang-baik-sebagai-pendidik
                      kisah-pemimpin-islam-zainab-al-ghazali

Bacaan surah Al-Kahfi, ayat 13 yang bermaksud:
“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.”

Dalam solat kita mohon “Tunjukanlah daku jalan yang lurus”. Sekiranya apa yang kita sebut di bibir selari dengan apa yang terlintas di hati, hidayah pasti akan sampai kepada kita. Dengan hidayah ‘intibahah’ (mengejut), kita akan tersedar dan kembali ‘u-turn’ ke jalan yang benar. Manusia ini tidur sebenarnya, sehinggalah kita mati baru kita akan tersedar. Dengan hidayah intibahah yang diterima, kita perlu berikhtiar untuk bermujahadah agar hidayah dapat dikekalkan.
Lawan hidayah ialah kesesatan. Para ulama amat takut dengan kesesatan sehingga mengalirkan air mata. Ada orang telah diberi hidayah, namun hidayah itu ditarik balik pada penghujung umurnya. Inilah yang kita amat takuti. Sebab itu kita digalakkan berdoa:

“Rabbana la tuzigh qulubana ba’da izhadaitana wahab lana minladunka rahmah, innaka antal wahhab”

“Ya Tuhan kami, janganlah engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan, sesudah engkau beri petunjuk kepada kami. Dan Kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi-Mu. Sesungguhnya Engkau Maha Pemberi Kurnia.”

Untuk mencari hidayah, kita perlu ada tekad untuk sentiasa menambah ilmu. Ada banyak pilihan untuk mencari ilmu, contohnya buku dan majalah yang bersifat Islami. Sebagai contoh boleh dapatkan majalah Solusi, Gen Q, Q&A .


Kita perlu sentiasa mohon dengan Allah agar hidayah yang diberi dapat dikekalkan. Umur kita semakin hari semakin bertambah, jadi gunakan umur, kesihatan, kesempatan yang diberi untuk mendekatkan diri kepada Allah. Wujudkan perasaan sayang kepada agama, dan ingin ambil tahu tentang agama.
Soalan & Jawapan:
S: Sekiranya kita belum mampu untuk melakukan ibadah sunat, adakah itu bermaksud kita belum lagi mendapat hidayah? Bagaimana untuk mendapatkan hidayah?
J: Dalam Islam, apabila Allah suruh kita berdoa, itu bermaksud yang Allah suruh kita berusaha juga. Kejadian kita di dunia juga merupakan satu bentuk hidayah dari Allah, jadi kita jangan persiakan peluang yang diberi dan berusaha mencari hidayah demi mendapat keredhaan-Nya.
S: Masyarakat kita, ramai yang sudah khatam Quran 3-4 kali namun tak pernah baca tafsir. Bagaimana nak dapat hidayah jika kita tak cuba memahami Al-Quran. Mohon ulasan ustaz.
J: Hidayah itu perlu kita ikhtiarkan. Paling utama untuk mencari hidayah, kita perlu berusaha mendekatkan diri dengan sumber hidayah seperti Al-Quran dan alam semesta yang menjadi bukti kekuasan Penciptaan Allah. Hidayah milik mutlak Allah SWT. Kita hanya boleh berdoa dan berusaha. Hidayah mempunyai tingkatan berbeza, jadi kita perlu sentiasa berusaha agar hidayah akan bertambah dan bertambah.
S: Sekiranya seseorang pernah melakukan dosa besar dan kemudian meninggalkan dosa tersebut. Adakah itu bermaksud dia telah mendapat hidayah? Apakah tanda-tanda hidayah?
J: Allah amat suka pada seseorang yang bertaubat selepas berbuat salah. Namun hanya hidayah yang boleh menyedarkan dia. Ada juga orang yang berbuat kejahatan dan tanpa hidayah Allah, dia akan kekal berbuat kejahatan tersebut. Tanda orang dapat hidayah mudah dikenali. Kenapa? Hidayah maksudnya petunjuk. Jadi apabila seseorang mengikut apa yang ‘ditunjuk’ (buat yang baik, tinggal yang mungkar), maka dia telah mendapat hidayah.
S: Bagaimana orang yang murtad atau kafir untuk mendapat hidayah kembali kepada Islam dari Allah?
J: Inilah yang kita sangat takutkan, lawan hidayah iaitu kesesatan. Kejadian murtad sangat bahaya kerana hidayah yang telah diberi dicabut kembali oleh Allah. Contoh terbaik adalah dnegan mengikut cara yang Nabi SAW lakukan. Kepada orang yang belum masuk Islam, kita kena berdakwah kepada mereka. Nabi SAW, seorang sahaja, namun dapat berdakwah sehingga dapat merubah dunia. Umat Islam hari ini besar jumlahnya, jadi kita perlu sebarkan dakwah dan berusaha mengembangkan Islam. Kaedah kedua yang digunakan ialah tarbiyyah – ini pendekatan untuk orang yang sudah mengenal Islam.
S: Adakah hidayah ada kaitan dengan akidah? Bagaimana nak tahu adakah kita mendapat hidayah?
J: Ya. Hidayah menyentuh tiga elemen agama, antaranya ialah akidah – siapa yang tak percaya pada Allah, Rasul, qada’ dan qadar takkan mendapat hidayah. Untuk tahu dekat jauh kita dengan hidayah, perhatikan syariah kita. Adakah kita meninggalkan perkara yang mungkar, dan berbuat kebaikan? Itulah kayu ukurannya.
S: Bagaimana untuk mendapat hidayah Allah dan mengekalkannya?
J: Untuk dapat hidayah, kita perlu dekatkan diri dengan ilmu. Tapi bukan sebarang ilmu, kita perlu cari ilmu yang mendekatkan diri kepada Allah. Ada banyak berlaku di luar negara, ramai orang bijak-pandai yang mengkaji ilmu sehingga mereka mengakui kewujudan Allah dan akhirnya memeluk Islam. Apa yang kita takutkan, jangan kita berada di dalam majlis ilmu, namun hati kita menerawang jauh entah ke mana. Seterusnya, perlu cari teman yag soleh, yang boleh mendorong kita ke arah kebaikan. Kita perlu berbaik dengan semua orang, namun perlu berhati-hati memilih rakan rapat. Rakan rapat boleh beri pengaruh yang besar dalam kehidupan, jadi pilihlah rakan yang soleh. Seterusnya perlu mantapkan amal-ibadat dan memperbanyakkan taubat. Lazimi lidah dengan zikir.
S: Jika seseorang ditimpa kemalangan, adakah itu satu hidayah untuk dia menginsafi diri?
J: Manusia ini sangat lemah sebenarnya. Oleh sebab itu kita takkan boleh lari daripada musibah dan ujian Allah. Namun, setiap musibah yang menimpa, pasti datang bersamanya pengajaran. Ada cerita sahabat  bernama Saidina Abbas yang memohon supaya dibalas kejahatannya di dunia. Nabi SAW mendengar dan menasihatinya supaya jangan minta begitu, sebaliknya mohonlah keampunan Allah SWT, kerana kita belum tentu akan mampu menanggung balasan dosa yang Allah yang berikan.

No comments:

Post a Comment