Bila menoleh ke sepanjang laluan hidup, kita kemudiannya tersedar betapa
ada sesuatu di luar pengaruh kita dan ianya adalah sesuatu yang paling
berharga. Ia datang dari simpanan khazanahNya: Hidayah....kita kongsi
apa yang saya terima dalam peti masuk e-mail saya sebagai sejenak untuk
bersyukur.
Oleh MUZLINA ABU BAKAR *
SETELAH lebih 10 tahun tidak berjumpa dengan Malek Noor, 53, ternyata
jaguh bina badan Asia peringkat heavyweight sebanyak enam kali ini amat
berbeza daripada dulu.
Kalau dulu, apabila berjumpa mulutnya becok tak henti-henti bercakap
pelbagai topik yang melucukan. Tetapi pertemuan minggu lalu menampakkan
sisi lain Malek.
Sifat lucu dan becoknya hilang tiba-tiba dan yang nyata Malek hari ini
tidak sama dengan Malek ketika baru berlakon filem Ujang pada akhir
tahun 1980-an.
Perbualan petang itu berkisar tentang aktivitinya hari ini. Selain
menjalankan perniagaan membekal barangan fitness di bawah syarikatnya
Sportec's Divemate Sdn. Bhd. Malek juga berlakon dan kini sedang
menjalani penggambaran drama Damak dengan memegang watak Tok Guru.
Perbualan yang rancak petang itu, tiba-tiba menjadi hening seketika
apabila Malek membuka rahsia hidupnya yang selama ini dipendam tanpa
pengetahuan sesiapa.
"Dalam hidup saya hari ini, sebenarnya saya hanya mencari satu sahaja
iaitu keredaan Allah. Walau apa juga yang saya lakukan untuk hidup,
kejujuran adalah penting.
"Setiap waktu dan ketika saya sentiasa berdoa kepada Allah semoga
menerima ibadat saya, ampunkan dosa saya dan semoga Allah tetapkan iman
saya dan menjadikan saya manusia yang soleh," kata Malek dengan suara
sebak.
Siapa sangka, seorang jaguh bina badan yang nampak gagah dan perkasa
tiba-tiba menjadi seorang yang boleh dikatakan 'lembik' tiba-tiba.
Di satu sudut ruang coffee house di sebuah hotel di pinggir kota , Malek
yang mulanya bersemangat tiba-tiba menangis menceritakan dosa-dosa yang
telah dilakukan sebelum ini.
Dengan suara sebak dan mata berkaca, Malek Noor bercerita:
"Saya terlalu banyak buat dosa. Saya betul-betul insaf sekarang. Setiap
saat dan ketika sentiasa berdoa semoga Allah mengampunkan dosa-dosa
saya. "Dulu saya jahat. Saya tidak ingat mati tapi...kini saya
betul-betul insaf. Kini setiap waktu walau sesibuk mana pun saya akan
hadkan sekurang-kurangya 10 minit untuk menunaikan solat.
"Saya terlalu banyak buat dosa. Saya makan dan minum benda-benda haram.
Ya Allah betapa besarnya dosa saya. Saya takut, saya taubat dan saya
menyesal.
"Andai waktu boleh berputar, saya ingin kembali zaman kanak-kanak.
menjalankan kewajipan sebagai seorang Muslim yang sejati," luahnya.
Mungkin ramai yang tidak tahu, ketika zaman kanak-kanak lagi Malek
merupakan anak yang susah hendak berpuasa. Kalau berpuasa pun cuma di
depan keluarga. Di belakang, Malek curi-curi makan dan minum. Tetapi itu
di zaman kanak-kanak, apa yang dibuat mungkin manis didengar.
Bukan itu sahaja, malah sejak berusia 12 tahun dan sehingga umur
meningkat 46 tahun, sebenarnya Malek tidak pernah berpuasa, apa lagi
menunaikan solat lima waktu sehari. "Saya lupa pada tanggungjawab
sebagai seorang Muslim. Saya tak sembahyang, saya tak berpuasa.
Kesibukan saya merantau di Amerika dan Hong Kong selama lebih 30 tahun
mengumpul harta kekayaan membuatkan saya lalai.
"Ya Allah betapa besarnya dosa saya. Saya tidak pernah mensyukuri nikmat
yang Allah berikan. Apa yang ada dalam fikiran saya hanya mencari harta
dan nama.
"Sehinggalah suatu hari pada tahun 2002 semuanya berlaku tanpa saya
duga. Ketika itu saya dengan berseluar pendek berdiri di Penthouse saya
berdepan dengan bangunan KLCC. * "Tiba-tiba saya terdengar azan sayup
dari masjid berhampiran dan meresap ke jiwa saya. Saat itu saya jadi tak
tentu arah. Saya masuk ke rumah dan berpusing-pusing entah berapa kali
dan saya tak tahu apa yang saya cari.* * "Selepas berpusing-pusing macam
orang gila, satu jam saya tak bertenaga. Saya menangis dan terus
menangis. Tiba-tiba saya teringat sesuatu dan terus berwuduk kemudian
menunaikan solat Maghrib. Esoknya saya ke Jalan Masjid India dan membeli
pelbagai kitab mengenai Islam dan saya turut membeli sebuah al-Quran,"
cerita Malek.
Bagi Malek, walaupun keinsafan dan kesedaran itu datang ketika usianya
46 tahun, dia tetap bersyukur kerana tahu Allah masih sayangkannya.
"Malam selepas saya bersolat taubat, saya bermimpi didatangi arwah ibu,
Jariah Ahmad yang menaburkan bunga emas pada saya.
"Selepas peristiwa itu saya pergi semula ke Hong Kong tetapi bukan untuk
menetap di sana . Sebaliknya saya uruskan pemindahan syer perniagaan KK
Design dengan rakan kongsi sebab saya memang tidak mahu menetap di
sana.
"Ketika itu saya sudah membuat keputusan, saya mahu menetap di Malaysia
untuk mencari seorang Muslim yang soleh. Bukan itu sahaja, malah saya
mahu menjejaki akar umbi budaya Melayu yang telah lama saya lupakan.
"Setelah semuanya selesai, sejak 2006 saya terus menetap di KL dan tidak
lagi ke Hong Kong . Kini saya benar-benar merasakan hidup ini amat
bahagia dan tenang."Dalam kotak fikiran saya, hanya mahu melakukan
suruhan Allah dan berbakti kepada masyarakat. Saya tidak sanggup lagi
hidup bergelumang dosa dan noda."Cukuplah apa yang saya dah lakukan
selama ini. Saya benar-benar insaf. Sejak itulah semua piala yang saya
menang sebagai Mr. Asia saya buang.
"Dulu rumah saya penuh dengan patung-patung, tapi...semua saya dah
buang. Kini rumah saya hanya dihiasi ayat-ayat suci al-Quran. * "Saya
amat bersyukur kepada Allah kerana sejak saya bertaubat, sudah tiga kali
saya khatam membaca al-Quran. Bukan itu sahaja, malah sejak tahun 2006
saya sudah menunaikan puasa enam, syukur Alhamdulillah, " kata Malek.
Kini kata Malek, walau apapun yang dilakukan oleh kawan-kawannya beliau
tetap bersabar. Malah ada kawan yang meminjam duitnya dalam jumlah yang
begitu banyak dan tidak mahu membayar semula, dia tidak pedulikan semua
itu.
"Sekarang saya benar-benar reda dengan apa yang berlaku. Sama ada dia
mahu bayar atau tidak, saya halalkan kerana bagi saya semua itu hanya
harta dunia.
"Kini hidup saya mencari keredaan Allah. Insya-Allah saya akan tunaikan
umrah tidak lama lagi dan jika diizinkan saya juga mahu menunaikan haji
tahun ini," Malek menyambung cerita. Menurut Malek, semua yang dilakukan
kerana sedar Allah benar-benar sayangkannya dan menerima taubatnya.
Bukan itu sahaja, malah mimpi berjumpa arwah ibunya yang memimpinnya
masuk ke Masjidil Haram dan terus sampai di depan Kaabah benar-benar
menggamit hati dan nalurinya untuk ke sana ."Selepas saya menunaikan
rukun Islam yang kelima, jika ada jodoh saya mahu berumah tangga dan
membina keluarga bahagia yang hidup berlandaskan Islam.
"Penghijrahan saya ini bukan sahaja memberi kesan kepada saya, malah
adik beradik yang lain juga gembira. Sebab itu saya nasihatkan anak-anak
saudara saya kalau buat jahat pun biarlah ada ruang untuk kita
bertaubat di hati ini," kata Malek yang juga pernah membintangi filem
Juara, Rimba Malam, Kelisa, Pendekar Mata Satu dan yang terakhir Sahabat
pada tahun 1999.
No comments:
Post a Comment