Friday, 15 March 2013

Wahai Pemilik dunia dan akhirat


Wahai Pemilik langit dan bumi
Sedarkan aku bahawa bahagia itu bukan pada sebentuk cincin yang bernilai jutaan dolar
Sedarkan aku bahawa bahagia itu bukan diukur pada sebesar mana batu permata
Bahagia itu pada merasa cukup apa yang ada
Bahagia itu pada nikmat bersyukur dengan segala kurniaan
Bahagia itu ada pada-MU
Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kaya dan Maha Pemberi

Wahai Pemilik takdirku
Didiklah aku untuk senyum di kala secalit duka hinggap di jiwa
Didiklah aku untuk mensyukuri hadirnya tangisan dalam ketawa
Didiklah aku mengerti bahawa takdir ini diatur dengan bijaksana
Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Merancang lagi Maha Mengetahui

Wahai Pemilik hatiku
Tetapkanlah hatiku pada jalan-Mu
Luruskan niatku hanya kerana-Mu
Dekatkan ia dengan-Mu, rapatkan ia pada-Mu
Mudahan ia tenang walau dilanda badai
Jangan Kau biar ia alpa mengakui  keesaan-Mu
Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Berkuasa

Wahai Pemilik segala cinta
Ajarkan aku untuk mencintai-Mu melebihi segala cinta yang ada
Kurniakan aku cinta yang membawaku dekat dengan-Mu
Kurniakan aku cinta yang bersemi hanya dengan nama-Mu
Suburkan cinta pada ikatan bersaksikan-Mu
Sesungguhnya Engkau Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Wahai Pemilik nyawaku
Yang menciptakanku dari setitis air mani
Yang mencukupkanku dengan nikmat dan rezeki
Yang mengangkatku menjadi khalifah dibumi
Tika nafas sesak didada
Tiada yang tinggal melainkan pahala dan dosa
Apa yang ada padaku lagi?
Apa yang tinggal untuk ku bawa pergi?
Siapa sudi menemani?
Padamu aku kembali
Sesungguhnya Engkaulah Yang Menghidupkan dan yang Mematikan

Wahai Pemilik syurga dan neraka
Bukalah seluas-luas pintu rahmat
Tutuplah serapat-rapat pintu azab
Tunjukkan aku jalan ke syurga-Mu
Lindungi aku dari melangkah ke neraka-Mu
Pada sebaik-baik tempat kembali
Dunia hakiki selepas mati
Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun.


Ya Allah, lapangkan hatiku dan berikanlah aku ketenangan setenang air ini
http://gentarasa.files.wordpress.com/2010/01/cinta-allah.jpg

No comments:

Post a Comment