Tauhid ar-Rububiyyah bermakna beri’tiqad bahawa
Allah SWT bersifat Esa, Pencipta, Pemelihara dan Tuan sekelian alam.
Tauhid al-Uluhiyyah pula bermakna menjadikan Allah SWT sahaja sebagai sembahan
yang sentiasa dipatuhi.
Pengertian lanjut Tauhid ar-Rububiyyah
Antara pengertian kalimah Rabb (
) ialah:
1. As-Sayyid (Tuan)
2. Al-Malik (Yang Memiliki)
3. Pencipta
4. Penguasa
5. Pendidik
6. Pengasuh
7. Penjaga
8. Penguatkuasa.
Allah jua bersifat mutlak
Manusia, jika dia bersifat seperti memiliki dan
berkuasa, maka sifatnya itu sementara. Segala sesuatu di alam ini kepunyaan
Allah. Apa yang dimiliki makhluk hanyalah bersifat pinjaman dan majaz (kiasan).
Hanya Allah sebagai Rabb al-’Alamin (Rabb sekelian alam) dan mempunyai
segala sifat kesempurnaan. Dengan sifat-sifat-Nya yang Maha Sempurna mengakibatkan
seluruh makhluk bergantung kepada-Nya, memerlukan pertolongan-Nya dan berharap
kepada-Nya.
Manusia, jika dia cerdik, bijak dan pandai, maka
semuanya itu datang daripada Allah. Segala kekayaan dan penguasaan manusia
bukanlah miliknya yang mutlak tetapi datang daripada Allah.
Manusia dijadikan hanya sebagai makhluk. Dia tidak
memiliki apa-apa melainkan setiap kuasa, tindak-tanduk, gerak nafas dan
sebagainya datang daripada Allah.
Allah, Dialah Maha berkuasa, mencipta, menghidup
dan mematikan. Dia berkuasa memberikan manfaat dan mudarat. Jika Allah
mahu memberikan manfaat dan kelebihan kepada seseorang, tiada siapa mampu
menghalang atau menolaknya. Jika Allah mahu memberikan mudarat dan keburukan
kepada seseorang seperti sakit dan susah, tiada siapa dapat menghalang
atau mencegahnya.
Oleh itu hanya Allah sahaja ‘mutafarriq’, bermakna
hanya Allah yang berkuasa untuk memberikan manfaat atau mudarat.
Firman Allah SWT:
“Jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan
kepadamu, maka tiada yang dapat menghilangkannya melainkan Dia sendiri.
Dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka Dialah Yang Maha Berkuasa
atas segala sesuatu.”
(Al-An’am: 17)
Dengan sifat-sifat Allah tersebut, maka timbullah
kesan tauhid kepada seseorang. Dia hanya takut kepada Allah, dan berani
untuk bertindak melakukan sesuatu kerana keyakinannya kepada Allah.
Manusia bersifat fakir
Manusia di dunia ini bersifat fakir (tidak memiliki
apa-apa), sebaliknya sentiasa memerlukan pertolongan Allah. Firman Allah
SWT di dalam Al-Hadith Al-Qudsi:
“Hai manusia, kamu semua berada di dalam
kesesatan kecuali mereka yang Aku berikan taufiq dan hidayah kepadanya.
Oleh itu mintalah hidayah daripada-Ku.”
“Hai manusia, kamu semua lapar, kecuali mereka
yang aku berikan makan, oleh itu mintalah rezeki daripada-Ku.”
“Hai manusia, kamu semua telanjang kecuali
mereka yang Aku berikan pakaian. Oleh itu mohonlah pakaian daripada-Ku.”
Sifat fakir dan sifat kaya
Berhajatkan sesuatu adalah sifat semua makhluk.
Manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan makhluk lain berhajatkan kepada Allah.
Oleh itu semua makhluk bersifat fakir.
Allah Maha Kaya. Dia tidak berhajat kepada sesuatu.
Jika manusia memiliki keyakinan ini maka dia akan sentiasa berbaik sangka
terhadap Allah. Firman Allah SWT:
“Hai manusia, kamulah yang berkehendak kepada
Allah, dan Allah, Dialah Yang Maha Kaya (yang tidak memerlukan sesuatu)
lagi Maha Terpuji.” (Fathir: 15)
Fakir adalah sifat yang zati bagi setiap makhluk
ciptaan Allah. Kaya adalah sifat yang zati bagi al-Khaliq (Pencipta).
Dalil-Dalil Tauhid ar-Rububiyyah
Banyak dalil menunjukkan bahawa Allah itu Maha
Esa dan tiada sesuatu menyamai Allah dari segi Rububiyyah. Antaranya:
1. Lihatlah pada tulisan di papan hitam,
sudah pasti ada yang menulisnya. Orang yang berakal waras akan mengatakan
bahawa setiap sesuatu pasti ada pembuatnya.
2. Semua benda di alam ini,
daripada sekecil-kecilnya hinggalah sebesar-besarnya, menyaksikan bahawa
Allah itu adalah Rabb al-’Alamin. Dia berhak ke atas semua kejadian di
alam ini.
3. Susunan alam yang mengkagumkan,
indah dan tersusun rapi adalah bukti Allah Maha Pencipta. Jika alam boleh
berkata-kata, dia akan menyatakan bahawa dirinya makhluk ciptaan Allah.
Orang yang berakal waras akan berkata bahawa alam ini dijadikan oleh satu
Zat Yang Maha Berkuasa, iaitu Allah. Tidak ada orang yang berakal waras
akan menyatakan bahawa sesuatu itu boleh berlaku dengan sendiri.
Begitulah hebatnya Ilmu Allah. Pandanglah saja
kepada kejadian manusia dan fikirkanlah betapa rapi dan seni ciptaan-Nya.
Terdapat seribu satu macam ciptaan Allah yang
memiliki sifat yang berbeza-beza antara satu sama lain. Semuanya menunjukkan
bahawa Allah adalah Rabb yang Maha Bijaksana .
Fitrah mengakui Rububiyyah Allah
Berikrar dan mengakui akan Rububiyyah Allah adalah
suatu perkara yang dapat diterima. Hakikat ini terlintas dalam setiap fitrah
manusia. Meskipun seseorang itu kafir, namun jauh di lubuk hatinya tetap
mengakui Rububiyyah Allah SWT. Firman Allah SWT:
“Dan jika kamu bertanyakan mereka tentang:
Siapakah pencipta mereka? Nescaya mereka menjawab: Allah.” (Az-Zukhruf:
87)
“Dan jika kamu bertanyakan mereka tentang:
Siapakah pencipta langit dan bumi? Nescaya mereka menjawab: Semuanya
diciptakan oleh Yang Maha Perkasa dan Yang Maha Mengetahui.”(Az-Zukhruf:
9)
Tidaklah susah untuk membuktikan Rububiyyah
Allah SWT. Fitrah setiap insan adalah buktinya. Manusia yang mensyirik
dan mengkufurkan Allah juga mengakui ketuhanan Allah Yang Maha Pencipta.
Al-Quran mengakui adanya Tauhid ar-Rububiyyah
di dalam jiwa manusia
Al-Quran mengingatkan bahawa fitrah atau
jiwa manusia memang telah memiliki rasa mahu mengakui Allah Rabb al-’Alamin.
Firman Allah SWT:
“Berkata rasul-rasul mereka: Apakah terdapat
keraguan terhadap Allah, Pencipta langit dan bumi.” (Ibrahim: 10)
“Dan mereka mengingkarinya kerana kezaliman
dan kesombongan (mereka) pada hal hati mereka meyakini (kebenaran)nya.”(An-Naml:
14)
Keengganan dan keingkaran sebahagian manusia untuk
mengakui kewujudan Allah sebagai al-Khaliq (Yang Maha Pencipta), sebenarnya
didorong oleh perasaan sombong, degil (‘inad) dan keras hati. Hakikatnya,
fitrah manusia tidak boleh kosong daripada memiliki perasaan mendalam yang
mengakui kewujudan al-Khaliq.
Jika fitrah manusia bersih daripada sombong, degil,
keras hati dan selaput-selaput yang menutupinya, maka secara spontan manusia
akan terus menuju kepada Allah tanpa bersusah payah untuk melakukan sebarang
pilihan. Secara langsung lidahnya akan menyebut Allah dan meminta pertolongan
daripada-Nya.
Telatah manusia, apabila berada di saat-saat genting,
tidak akan terfikir dan terlintas sesuatu di hatinya kecuali Allah sahaja.
Ketika itu segenap perasaan dan fikirannya dipusatkan kepada Allah semata-mata.
Benarlah Firman Allah SWT:
“Dan apabila mereka dilambung ombak yang besar
seperti gunung, mereka menyeru Allah dengan keikhlasan kepada-Nya, maka
ketika Allah menyelamatkan mereka lalu sebahagian daripada mereka tetap
berada di jalan yang lurus. Dan tiada yang mengingkari ayat-ayat Kami selain
golongan yang tidak setia lagi ingkar.” (Luqman: 32)
Sesungguhnya permasalahan mengenai kewujudan Allah
adalah mudah, jelas, terang dan nyata. Kewujudan Allah terbukti dengan
dalil yang banyak dan pelbagai.
politeknik tuanku sultanah bahiyah ptsb kulim motivasi kesihatan dekorasi kerja dan puisi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
-
Sebenarnya, mereka boleh ja berlanggar. NASA dan organisasi antarabangsa yang lain mengesan satelit di angkasa lepas. Perlanggaran jarang t...
-
Mulakan langkah mu dengan fikiran terbuka Setiap insan punyai kelebihan sendiri Asah kemahiran di peringkat lebih tinggi Usaha dan harapan ...
-
Satelit dapat mengorbit mengelilingi planet bumi kerana ianya terkunci pada kelajuan yang sangat tinggi untuk mengatasi daya tarikan graviti...
No comments:
Post a Comment