Friday, 10 May 2013

Kelebihan bersyukur

Bersyukur ialah : pengi’tirafan atau penerimaan suatu ihsan atau kebaikan. Seperti kita berkata : “Aku bersyukur kepada ALLAH” atau “Aku bersyukur atas segala nikmat dan kurnia ALLAH.” Bersyukur seumpama memuji, namun memuji itu lebih umum sifatnya dari bersyukur, kerana kita biasanya memuji seseorang itu atas sifat-sifatnya yang baik lagi mulia, tetapi kita tidak bersyukur kecuali atas perbuatan seseorang.


Dari segi bahasa, asal penggunaan perkataan ‘syukur’ ialah : Wujudnya kesan pemakanan dalam tubuh haiwan, maka ‘syakur’ pada haiwan ialah : Bahan makanan sedikit yang mencukupinya, atau bahan makanan sedikit yang menggemukkannya. Dari pengertian ini, jelaslah bahawa syukur itu ialah : Wujudnya kesan nikmat ilahiyat atas diri seorang hamba yang beriman; tercetus dari lidahnya pujian dan sanjungan dan pada dirinya peribadatan dan ketaatan. Sedikit nikmat yang diterimanya mencetuskan kesyukuran yang melimpah. Apatah lagi jika dianugerahkan nikmat yang ruah.


Syukur adalah suatu syu’bah dari syu’bah-syu’bah iman. Sifat-sifat yang tercetus dari syu’bah ini ialah seperti : sabar, redha, taubah, berserah, berharap, taqwa, khusyu’, ihsan, ibadah dan yang seumpamanya.


Syu’bah-syu’bah ini, sekalipun kesemuanya adalah dari cabang-cabang iman dan ia adalah kesan zahir dan batin dalam diri seseorang insan yang beriman, namun ia berbeza antara satu dengan yang lain. Sebahagian dari syu’bah-syu’bah ini berfungsi sebagai unsur amali bagi ‘syukur’, sementara sebahagian yang lain bertindak sebagai unsur amali bagi ‘sabar’.


Dalam hal ini, kitab suci Al-Quran telah membuat perbandingan antara ‘syukur’ dan ‘sabar’ ini di beberapa tempat. Antaranya firman ALLAH ‘Azzawajalla dalam surah Ibrahim ayat 5 :

”Sesungguhnya yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda yang menunjukkan kekuasaan ALLAH bagi tiap-tiap seorang yang kuat bersabar, lagi kuat bersyukur.”


Maka bersyukur atas nikmat, digambarkan dengan sabar atas kesusahan.


Dalam sebuah hadiths yang diriwayatkan oleh Al-Imam Muslim radiALLAHuanhu, Rasulullah SallALLAHualaihiwasalam telah bersabda:


”Amat menghairankan sekali keadaan orang mukmin itu, sesungguhnya semua keadaannya itu adalah merupakan kebaikan baginya dan kebaikan yang sedemikian itu tidak akan ada lagi seseorangpun melainkan hanya untuk orang mukmin itu belaka, iaitu apabila ia mendapatkan kelapangan hidup, iapun bersyukur, maka hal itu adalah kebaikan baginya, sedang apabila ia ditimpa oleh kesukaran- yakni yang merupakan bencana- iapun bersabar dan hal inipun adalah merupakan kebaikan baginya.”


Dalam beberapa syu’bah, syukur dan sabar ini saling bertimbal. Ada kalanya syukur itu lebih umum sifatnya dari sabar, begitu pula sebaliknya dalam syu’bah yang lain. Contoh yang menunjukkan bahawa syukur itu lebih umum sifatnya ialah atas perkara-perkara yang telah ditetapkan oleh ALLAH ‘Azzawajalla yang memerlukan kesabaran, maka seorang mukmin mensyukuri Tuhannya atas apa yang diturunkanNYA dalam bentuk kesusahan lantas ia bersabar. Kesyukurannya itu berdasarkan keimanannya yang padu bahawa ALLAH ‘Azzawajalla amat Bijaksana dan amat Penyayang.


Jelasnya ialah setiap sesuatu yang memerlukan kesabaran seorang mukmin, maka kesyukuran ada bersamanya. Di sini menunjukkan, kesyukuran lebih umum sifatnya dari kesabaran.


Dan syukur itu salah satu dari sifat-sifat ALLAH ‘Azzawajalla. Sebelum para hambaNYA diarahkan bersifat dengan sifat tersebut, IA telah mengkhabarkan kepada mereka bahawa syukur itu salah satu dari sifat kesempurnaanNYA. Salah satu dari namaNYA dalam “Al-Asmaul Husna” ialah “Asysyakuur”, tidak pernah mengabaikan amalan seorang hamba dan tidak pernah menganiayai dan menzalimi hamba, bahkan mengganjarinya dengan ganjaran yang berlipat ganda atas setiap amalan yang baik tetapi atas tiap amalan yang buruk, seorang hamba itu tidak pernah dibalas melainkan berdasarkan amalan buruk yang dilakukannya, bahkan jika hamba yang bersalah itu bertaubat, maka ALLAH ‘Azzawajalla adalah amat Pengampun dan amat Penerima taubat.

No comments:

Post a Comment