Wednesday, 25 August 2021

Muhasabah diri: Sedekah dalam Islam

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Peringatan buat diriku yang lupa

Sedekah sebenarnya mempunyai maksud yang cukup luas dalam Islam. Secara mudahnya, ia boleh didefinisikan sebagai pemberian oleh seseorang kepada orang lain yang memerlukan dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. sama ada pemberian itu ditujukan kepada fakir miskin, sanak-saudara, mahupun untuk kepentingan fi sabilillah.


Islam sangat memuliakan orang yang sentiasa bersedekah atau menginfakkan hartanya. 

Sehinggakan Rasulullah SAW mengangkat kedudukan orang yang bersedekah lebih mulia daripada orang yang menerima.

Sedekah menjadi antara amalan yang paling berat dilakukan, khususnya manusia yang tidak suka berkongsi harta dengan orang lain.

Namun, orang beriman yang memahami konsep sedekah itu akan meyakini ia amalan terpuji, yang bukan hanya mampu menyucikan diri dan harta, bahkan pahalanya berkekalan hingga ke hari pembalasan.

Kelebihan Bersedekah

Jom kita sama-sama hayati kelebihan yang kita boleh menikmati jika bersedekah.

Dosa diampunkan
Kelebihan sedekah yang pertama adalah dosa diampunkan asbab kesalahan kita yang lepas. Tetapi kita perlulah bertaubat agar tidak melakukan perkara itu lagi.

Perkara ini boleh dilihat di mana Rasulullah S.A.W bersabda:

“Sedekah itu dapat menghapus dosa sebagaimana air itu memadamkan api”

Hadis Riwayat at-Tirmidzi

Ganjaran Pahala
Selain dari menghapuskan dosa, bersedekah dengan ikhlas juga akan mendapat ganjaran pahala. Setiap amalan baik akan diberi ganjaran oleh Allah SWT.

Ini boleh dilihat di dalam Al-Quran di mana Allah berfirman:

“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, kecuali dari bisikan-bisikan orang yang menyuruh (manusia) memberi sedekah, atau berbuat kebaikan atau mengadakan perdamaian di antara manusia. Dan barangsiapa yang berbuat demikian kerana mencari keredaan Allah, maka kami akan memberinya pahala yang besar.”

(Surah an-Nisa:114)

Murah Rezeki
Rezeki InsyaaAllah juga akan bertambah dengan banyak jika kita bersedekah. Amalan ini akan membuka pintu rezeki kerana kita berkongsi rezeki dengan orang yang memerlukan.

Ini boleh dilihat di mana Rasulullah S.A.W bersabda:

“Tidak akan berkurang rezeki orang yang bersedekah, kecuali bertambah, bertambah dan bertambah.”

Salah satu usaha Mendekatkan Diri Kepada Allah SWT
Kita juga akan dapat memperkuatkan iman kita dan dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT jika kita selalu bersedekah kepada mereka yang memerlukan.

Ini kerana kita berkongsi rezeki yang kita memperolehi dan menggunakan kelebihan ini untuk membantu orang lain. 

Ini boleh mendekatkan diri kita dengan Allah kerana Allah menyayangi mereka yang suka menolong antara satu sama lain.

Terhindar dari azab  Kubur
Kelebihan bersedekah seterusnya adalah dapat memadamkan kepanasan alam kubur melalui amalan mulia ini.

Ramai tidak tahu tentang kelebihan ini yang kita boleh menikmati jika bersedekah.

Ia boleh dilihat di dalam hadis di mana Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya sedekah itu benar-benar akan dapat memadamkan panasnya alam kubur bagi penghuninya, dan orang mukmin akan bernaung dibawah bayang-bayang sedekahnya.”

Hadis Riwayat at-Thabrani

Bersama sama salah satu daripada 7 golongan yang mendapat Naungan Pada Hari Akhirat

Salah satu perkara yang kita mesti melakukan semasa bersedekah adalah kita mesti mempunyai niat yang ikhlas dan tidak bertujuan untuk menunjuk-nunjuk.

Ganjaran yang hebat di hari akhirat di mana Allah akan memberi naungan kepada kita. Ini boleh dilihat di dalam sebuah hadis:

“Seorang yang bersedekah dengan tangan kanannya, maka ia menyembunyikan amalnya itu sampai tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya.”

Hadis Riwayat Bukhari

Panjang Umur
Selain itu, amalan ini juga boleh memanjangkan umur. Kelebihan ini menunjukkan keindahan dan kebaikan yang kita akan dapat jika selalu bersedekah. 

Perkara ini boleh dilihat di dalam hadis di mana Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya sedekahnya orang muslim itu dapat menambah umurnya, dapat mencegah kematian yang buruk, Allah akan menghilangkan darinya sifat sombong, kefakiran dan sifat bangga pada diri sendiri.”

Hadis Riwayat Thabrani

Menghindarkan Diri Dari Sifat Bakhil
Amalan bersedekah juga boleh menjauhkan diri dari mempunyai sifat kedekut. Ini kerana amalan ini mengajar diri untuk selalu berkongsi rezeki.

Bersedekah bukan sahaja dilakukan dengan duit sahaja, daging korban juga boleh disedekahkan kepada golongan fakir miskin.

Ibadah korban mengajar kita untuk selalu berterima kasih dan bersyukur tentang kehidupan kita. 

Dengan bersedekah, kita belajar untuk tidak kedekut dan selalu menolong mereka yang memerlukan bantuan.

Hati Menjadi Tenang
Melalui bersedekah, kita juga akan berasa tenang dan bahagia kerana kita dapat membantu mereka yang memerlukan.

Ini juga boleh memberi kebahagiaan kepada kita dan boleh mencuci hati kita. Kita tahu bahawa jika kita bersedekah, duit itu akan digunakan untuk tujuan yang bagus dan bermanfaat.

Oleh itu, kita akan berasa tenang dan berpuas hati kerana dapat menggunakan harta kita ke jalan yang benar.

Melindungi diri Dari musibah
Kelebihan bersedekah yang terakhir dalam artikel ini adalah amalan bersedekah mampu melindungi kita dari kejahatan dan musibah.

Ini boleh dilihat di mana Rasulullah SAW bersabda:

“Bersegeralah untuk bersedekah. Kerana musibah dan bencana tidak bisa mendahului sedekah.”

Amalan ini boleh menjadi penolak bala untuk kita dan boleh membantu kita hidup dalam keadaan yang selesa dan tenang.

Rujukan:

https://www.mais.gov.my/sedekah/

https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2019/04/556901/sedekah-murahkan-rezeki-hindar-bala

https://www.hmetro.com.my/addin/2019/11/518553/naungan-di-akhirat-untuk-orang-bersedekah

No comments:

Post a Comment