Thursday, 26 August 2021

Muhasabah diri: Berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani

Peringatan buat diriku yang lupa

Itulah yang selalu dilakukan salafus soleh kerana mereka mengamalkan ayat akhir daripada surah al-Asr, ayat 3 yang bermaksud: “Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”

Imam al-Tabari berkata: Saling berpesan dengan kebenaran membawa maksud: Mereka saling menasihati untuk mengerjakan amalan sebagaimana diturunkan oleh Allah di dalam kitab-Nya iaitu yang diperintahkan-Nya dan menjauhi apa yang dilarang-Nya.

Dengan keberkatan bulan Muharram ini, marilah kita bersama-sama menggandakan usaha untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T dengan menyemaikan amalan berpesan-pesan sesama kita. Marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah S.W.T dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita beroleh kejayaan hidup di dunia dan di akhirat.

Sejauh mana kita telah memanfaatkan masa yang ada sesuai dengan tuntutan agama serta fitrah insani. Bagi menyedari akan hakikat kelalaian ini, tidak lain dan tidak bukan adalah melalui kita bermuhasabah diri, renungi diri serta berfikir sejenak koreksi apa yang terjadi, akhirnya bertindaklah bagi memperbetulkannya dengan mempergiat amalan kebaikan di sepanjang usia kita.

Iktibar dari Surah al- Asr

Mari kita sama-sama cuba merenungi dan menghayati surah tersebut.

1. Masa kita terhad dan sudah ditetapkan

Bahawa ALLAH memberi satu masa yang tetap kepada kita. Daripada mula kita dilahirkan sehingga saat kita menghembus nafas terakhir, kita tidak mampu atau berupaya untuk mengubah masa tersebut walau sesaat pun, sama ada untuk mempercepatkan atau melambatkannya.

Malah tidak ada kuasa di dunia yang boleh mengubah ketetapan itu. Sampai saat dan ketikanya untuk berlaku sesuatu ke atas diri kita mengikut ketetapan-NYA, kita terpaksa akur dan redha dengan ketentuan Ilahi.

2. Kita tidak tahu bila kita akan mati

Kita tidak tahu saat dan ketika mana kita akan berdepan dengan sakaratul maut dan di mana kita akan berada ketika itu. Semua itu adalah rahsia Pencipta kita, yang sudah siap tertulis dalam buku Loh Mahfuz.

Apa yang mampu kita buat dan lakukan ialah dua perkara. Pertama, sehingga tiba dan sampainya saat dan detik itu, kita wajar berdoa kepada-NYA untuk melindungi diri kita dengan diberi taufik dan hidayah. Kedua, semasa umur kita masih ada dan hayat masih dikandung badan, kita isikan masa dengan amal ibadah dan amal jariah agar bila kita kembali kepada-NYA nanti, kita membawa bekalan yang cukup atau sebaik mungkin.

Itulah antara intipati dan pengajaran yang terkandung dalam surah al-Asr.

3. Perlukah kita berserah saja kepada takdir Ilahi?

Jika umur dan hayat hidup serta rezeki kita sudah ditetapkan oleh Tuhan, maka apakah kita perlu menyerah sahaja kepada takdir Ilahi atau berasa kecewa dan hampa dengan ketetapan qadak dan qadar untuk kita?

ALLAH SWT memberi keyakinan kepada kita bahawa bagi insan-insan yang bertauhid, beriman dan bertawaqal kepada-NYA, yang beramal soleh dan yang berpesan-pesan ke arah kebaikan dan kesabaran, mereka tidak perlu bimbang walau sekelumit pun kerana mereka berada di bawah naungan serta perlindungan-NYA.

Rujukan:

https://jheains.sabah.gov.my/index.php/soalan-lazim/20-news-ticker/khutbah-jumaat/502-muhasabah-diri-kukuh-peribadi

https://www.sinarharian.com.my/article/23873/KOLUMNIS/Demi-masa-manusia-dalam-kerugian


No comments:

Post a Comment