Tuesday, 10 August 2021

Muhasabah diri: Mencari redha Ilahi

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Peringatan buat diriku yang lupa

Ada hikmah di sebalik musibah menimpa diri

Oleh Mohd Ajib Ismail

Siapa yang mahu diri ditimpa musibah. Semua insan akan berusaha mengelakkan diri daripada rasa sedih dan berdukacita.

Doa ma’thur diriwayatkan Abu Daud dan diajarkan Nabi Muhammad SAW kepada kita agar dijauhkan daripada perasaan keluh kesah dan dukacita.

“Ya Allah ya Tuhan kami, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada keluh kesah dan dukacita, aku berlindung kepada-Mu daripada lemah kemahuan dan malas, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut, aku berlindung kepada-Mu daripada tekanan hutang dan kezaliman manusia.”

Sebarang musibah atau ujian adalah lumrah dalam kehidupan. Ia mungkin hadir dalam pelbagai bentuk seperti kehilangan harta benda, kematian, kecelakaan, kemalangan, kemusnahan, kesakitan dan kesengsaraan yang mendatangkan perasaan tidak senang dalam jiwa.

Dalam Surah Al-Mulk, ayat 2, Allah SWT mengingatkan, setiap manusia pasti diuji untuk melihat kualiti amalan yang dikerjakannya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dialah yang mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya, dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).”

Sebagai hamba Allah yang beriman, perlu ada sifat bersangka baik dengan Allah SWT, memperbanyakkan doa, berikhtiar, bertawakal dan bersabar.

Agama bukan ibarat candu yang hanya menjadi ubat penenang pada waktu tertentu bagi melenyapkan perasaan sukar serta melarikan diri daripada kesusahan.

Sebaliknya, agama adalah satu cara hidup yang sebati dan berkekalan.

Setiap kepayahan pasti diiringkan dengan kemudahan seperti yang dinyatakan dalam Surah Al-Insyirah, ayat 5-6 yang bermaksud: “Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.”

Ujian dan musibah juga adalah waktu untuk kita lebih mendekatkan diri dan hampir kepada Allah.

Perbanyakkan berdoa agar urusan dipermudahkan. Dalam situasi musibah tertentu seperti menghadapi banjir, jadikan ia medan untuk menilai semula jika musibah itu akibat perbuatan dan kealpaan manusia.

Ini kerana tanggungjawab melestarikan kehidupan yang alami melalui memelihara dan memulihara alam sekitar.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di daratan dan di lautan dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah Ar-Rum, ayat 41)

Renungkanlah kembali sejauh mana hubungan kita dengan Allah SWT, ketika kita semua menerima ujian dan musibah. Jadikanlah musibah yang berlaku untuk muhasabah diri.

>>Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Disiarkan pada: November 6, 2019 

https://www.hmetro.com.my/addin/2019/11/514415/ada-hikmah-di-sebalik-musibah-menimpa-diri

No comments:

Post a Comment