Monday 1 January 2024

TABAYYUN DALAM PENERIMAAN DAN PENYAMPAIAN BERITA

 Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani


Peringatan buat diriku yang lupa



Definisi Tabayyun

Tabayyun merupakan perkataan yang berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud menthabitkan dan menyemak asas kebenarannya. Berita atau sebarang maklumat yang diterima seharusnya diteliti dan dipastikan terlebih dahulu kebenarannya dan ketepatan informasi bagi mengelakkan sebarang agenda atau perkara yang tidak baik berlaku seperti fitnah, menipu dan memburukkan seseorang yang lain berlandaskan hawa nafsu dan sifat kebenciaan. Perintah untuk “tabayyun” merupakan perintah yang sangat penting agar kita dapat mengelakkan dari berprasangka.

Imam al-Syaukani berkata, “Yang dimaksud dengan tabayyun adalah memeriksa dengan teliti dan yang dimaksud dengan tatsabbut adalah berhati-hati dan tidak tergesa-gesa, melihat dengan keilmuan yang dalam terhadap sebuah peristiwa dan kabar yang datang, sampai menjadi jelas dan terang baginya.” (Lihat Fath al-Qadir, 5/65)

 

Syariat Tabayyun

Allah SWT memerintahkan supaya menyelidik serta mendapat kebenaran berita yang disampaikan seseorang. Ini kerana bagi mengelak daripada terjadinya perkara yang tidak diingini berlaku. Allah SWT menjelaskan perkara ini di dalam al-Quran, firmannya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan

Ibn Jarir berkata: Hendaklah kamu tabayyun dengan makna tangguh seketika maklumat atau berita yang sampai kepada kamu sehingga kamu makrifah dan yakin akan kebenarannnya. Jangan sekali-kali kamu gelojoh untuk menerimanya. (Lihat Jami' al-Bayan fi Ta'wil al-Quran, 22/286)

Ibn Kathir berkata: Allah perintahkan supaya kita thabitkan dahulu perkhabaran orang fasiq sebagai ihtiyat. Ini kerana supaya seseorang tidak berhukum dengan ucapannya menyebabkan dalam keadaan begitu boleh membawa kepada dusta atau tersilap. (Lihat Tafsir al-Quran al-'Azim, 7/370)

Syeikh al-Maraghi dalam mentafsirkan ayat ini menyatakan bahawa Allah SWT telah mengajar hambanya supaya beradab mulia dalam soal agama ataupun dunia. Dan berhubung dengan perkara itu, apabila seseorang yang fasik datang memberitahu sesuatu berita yang bertentangan dengan syiar agama. Oleh itu jangan mempercayai beritanya itu melainkan dengan menyelidik serta menelitinya dahulu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 26/126)

Syeikh Ali al-Sobuni di dalam tafsirnya menyatakan jika datang kepada kamu seorang lelaki fasiq yang mana ia tidak boleh dipercayai dengan kebenaran dan keadilannnya, dengan apa yang diberitakan, maka hendaklah kamu menyemak akan kesahihan beritanya itu. Ini supaya kamu tidak menghukum atau menuduh sesuatu kaum sedangkan kamu jahil tentang hakikat sebenar. Ketika itu, jadilah kamu menyesal tak sudah atas perbuatan kamu. (Lihat Sofwah al-Tafasir, 3/216)

Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam mentafsirkan ayat di atas menyatakan: Allah SWT menyeru kepada umatnya yang beriman, apabila datang orang fasik menyampaikan berita sebaiknya mencari kebenaran berkenaan dengan berita itu dan janganlah terlalu cepat menghukumnya dan menyebarnya. Ini kerana takut akan keburukan dan perkara yang tidak diingini berlaku di atas keputusan yang salah serta memberi kemudharatan ke atas orang lain. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 26/227)

 

Akibat Tidak Tabayyun

Tidak bertabayyun di dalam sesuatu berita itu boleh menyebabkan terjadinya prasangka yang buruk berlaku di kalangan masyarakat serta keadaan yang kurang tenang. Allah SWT melarang daripada melakukan perbuatan ini sepertimana firmannya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ

MaksudnyaWahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

(Surah al-Hujurat, 12)

Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di mentafsirkan akan di atas bahawa Allah SWT melarang berprasangka buruk terhadap saudara muslimnya. Dengan sebab berprasangka buruk ini akan menyebabkan berlaku pengumpatan dan mencerca. Melakukan perkara yang diharamkan sehingga tertanam di dalam hatinya perasaan yang buruk terhadap rakan muslimnya dan menimbulkan permusuhan sesamanya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, 1/801)

Ini menunjukkan bahawa betapa pentingnya mengetahui kebenaran sesuatu berita yang disampaikan. Ia bagi menjaga ikatan persaudaraan sesama muslim itu satu perkara yang harus dititikberatkan. Firman Allah SWT di dalam al-Quran:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّـهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ۚ وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّـهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّـهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

MaksudnyaDan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya

(Surah Ali-Imran: 103)

Oleh itu penelitian di dalam menerima sesuatu berita itu mestilah diambil berat bagi memastikan kebenarannya. Ini supaya dapat mengelak daripada berlakunya penyebaran berita palsu dan perbuatan ini akan mendatangkan kemurkaan Allah SWT serta tergolong dalam golongan yang pendusta. Sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Hafs bin Asim RA, sabda Nabi SAW:

كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ

MaksudnyaCukuplah bagi seseorang itu digelar pendusta apabila menceritakan semua yang didengarinya (tanpa tabayyun)

Riwayat Muslim (5)


Adab Menyampaikan Berita

Dalam menyampaikan berita, seseorang itu mesti bertanggungjawab dalam segala ucapan dan penyampaiannya. Oleh itu seharusnya berhati-hati dalam setiap aspek yang dilakukannya. Hal ini kerana Allah SWT memandang berat terhadap perbuatan ini dan Nabi SAW memperingati umatnya supaya berhati-hati di dalam menyampaikan sesuatu berita seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, sabda Nabi SAW:


إِنَّ الرَّجُلَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ لَا يَرَى بِهَا بَأْسًا، يَهْوِي بِهَا سَبْعِينَ خَرِيفًا فِي النَّارِ

Maksudnya: “Sesungguhnya seseorang terkadang berbicara dengan kata-kata yang dia sangkakan tidak mengapa, lalu (tanpa diduga) dia terjerumus dengan sebabnya ke dalam neraka (yang kedalamannya) sejauh perjalanan tujuh puluh tahun.

Riwayat al-Tirmizi (2314)

Berdasarkan hadith ini, al-Imam al-Mubarakfuri menjelaskan bahawa sebahagian manusia memandang remeh perkataan yang diucapkannya sehingga dia tidak menyangka perkataan tersebut menjadi penyebab kepada dia dihumban ke neraka. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 12/79)

Selain itu, berita yang disampaikan itu mestilah benar serta tidak akan mengundang kepada keaiban dan pembohongan. Ini supaya tidak mengundang kemurkaan daripada Allah SWT dan berlaku kekacauan di dalam masyarakat. Firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ جَاءُوا بِالْإِفْكِ عُصْبَةٌ مِّنكُمْ ۚ لَا تَحْسَبُوهُ شَرًّا لَّكُم ۖ بَلْ هُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۚ لِكُلِّ امْرِئٍ مِّنْهُم مَّا اكْتَسَبَ مِنَ الْإِثْمِ ۚ وَالَّذِي تَوَلَّىٰ كِبْرَهُ مِنْهُمْ لَهُ عَذَابٌ عَظِيمٌ

MaksudnyaSesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat).

https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/3485-bayan-linnas-siri-ke-184-tabayyun-dalam-penerimaan-dan-penyampaian-berita

No comments:

Post a Comment