Monday 1 January 2024

BOIKOT EKONOMI SEBAGAI STRATEGI MELAWAN ZIONIS: NASIHAT DAN PANDUAN

 

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani


Peringatan buat diriku yang lupa

Hukum muamalah dengan orang Yahudi

Secara umumnya hukum bermuamalah dengan orang Yahudi adalah harus selagi mana ia adalah produk yang halal. Dalam sebuah riwayat Nabi SAW pernah berurusan dan memberi cagaran dengan seorang Yahudi seperti yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah RA:

أَنَّ النبي صلى الله عليه وسلم اشْتَرَى طَعَامًا من يَهُودِيٍّ إلى أَجَلٍ وَرَهَنَهُ دِرْعًا من حَدِيدٍ


Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi s.a.w membeli makanan dari seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh, dan mencagarkan baju besi baginda SAW.”

(Riwayat Muslim)

Imam Nawawi ketika mensyarahkan hadis di atas menyatakan bahawa keharusan bermuamalah dengan orang bukan Islam sememangnya telah disepakati para ulama. Namun, keharusan tersebut adalah terhad kepada perkara yang dibenarkan sahaja, sekiranya transaksi tersebut boleh membawa kepada perkara yang haram seperti menjual senjata kepada musuh Islam, sebarang bentuk yang boleh membantu untuk menegakkan syiar agama mereka, membeli kitab agama mereka dan seumpamanya maka muamalat tersebut diharamkan.

Imam Ibn Battal pula berkata:

مُعَامَلَةُ الْكُفَّارِ جَائِزَةٌ، إِلا بَيْعَ مَا يَسْتَعِينُ بِهِ أَهْلُ الْحَرْبِ عَلَى الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: “Berurusan dengan orang kafir dibolehkan, kecuali menjual apa yang boleh membantu mereka untuk memerangi orang Islam.”

Dalam al-Quran Allah SWT memerintahkan untuk saling bantu membantu dalam kebaikan dan mengharamkan saling tolong menolong dalam perkara kemaksiatan dan permusuhan. Allah SWT berfirman:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ ‎﴿٢﴾

Maksudnya: “Hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).”

Surah al-Ma’idah (2)

Walau bagaimanapun, ulama membahagikan saling membantu dalam perkara kemaksiatan kepada dua bahagian iaitu membantu secara langsung dan membantu secara tidak langsung. Sepakat para ulama jika kerjasama itu adalah kerjasama secara langsung maka hukumnya adalah haram. Namun sekiranya kerjasama itu kerjasama yang tidak langsung, maka ulama membahagikan pula kepada 4 situasi:

  1. Apa-apa yang boleh membawa kepada perkara haram secara pasti iaitu pada asalnya ia adalah harus namun disebabkan faktor-faktor lain seperti boleh menyebabkan perkara haram maka hukumnya adalah haram.
  2. Sesuatu yang kebiasaannya boleh membawa kepada perkara yang haram maka dalam hal ini ulama mazhab Maliki dan Hanbali menilainya sebagai haram.
  3. Apa-apa yang menurut sangkaan boleh membawa kepada haram maka ulama dalam hal ini tidak mengharamkannya, namun mengambil langkah berhati-hati itu adalah lebih baik.
  4. Perkara yang sama sekali tidak membawa kepada sesuatu yang haram maka sepakat ulama bahawa hukumnya adalah harus.

Selain itu, Dr. Walid bin Idris al-Manisi ketika membincangkan berkenaan parameter saling membantu ke arah dosa dan kemaksiatan beliau membahagikan kepada empat kategori:

  1. Kerjasama secara langsung dan diniatkan padanya membantu ke arah maksiat (mubasyarah maqsudah), seperti memberi arak kepada seseorang untuk membolehkannya minum arak tersebut.
  2. Kerjasama secara langsung tanpa niat (mubasyarah ghairu maqsudah): Contohnya menjual barang yang tiada kegunaan lain melainkan ke arah perkara haram, namun tidak diniatkan penjualan itu untuk digunakan pada perkara yang diharamkan itu.
  3. Kerjasama dengan niat, secara tidak langsung (maqsudah ghairu mubasyarah): Memberi duit kepada seseorang untuk orang tersebut membeli arak.
  4. Kerjasama tidak langsung dan tanpa niat (ghairu mubasyarah wa la maqsudah): Contohnya memberi seseorang duit tanpa apa-apa tujuan khusus, kemudian penerima tersebut membeli arak dengan duit tersebut. Kategori ini juga merangkumi muamalat jual beli, sewaan dan sedekah dengan orang-orang Musyrikin. Jika mereka menggunakan duit yang kita sumbangkan ke arah maksiat, kita tidak dikira berdosa.

Hukum terlibat dengan boikot

Berhubung dengan isu hukum memboikot, ia mestilah dilihat kepada keadaan. Terkadang boikot boleh menjadi wajib apabila produk atau syarikat berkenaan memang memberikan bantuan secara langsung untuk membunuh umat Islam. Sebagai tanda solidariti kepada saudara di Palestin sepatutnya umat Islam berganding bahu menunjukan protes di atas kekejaman yang dilakukan kepada rakyat Palestin. Jika melemahkan musuh tidak sempurna melainkan dengan boikot, maka ia menjadi wajib sebagaimana kaedah:

ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب

Maksudnya: “Suatu kewajipan yang tidak sempurna melainkan dengannya maka ia juga wajib.

Boikot adalah salah satu bentuk jihad menggunakan harta dengan tidak membeli barangan keluaran pihak musuh atau yang menyokongnya. Setiap orang hendaklah berjihad dengan kadar kemampuan masing-masing. Allah SWT berfirman:

لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِ ۖ

Maksudnya: “Hendaklah orang Yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya

Surah al-Talaq (7)

Meskipun ayat ini berkenaan nafkah untuk wanita yang sedang beriddah dan ibu yang menyusu, namun menurut Syeikh Tahir bin Asyur ia terpakai juga kepada setiap infak yang dituntut kepada seorang muslim, sama ada wajib atau sunat, iaitu memberikan infak mengikut kemampuan. Meskipun usaha oleh sebuah negara yang kecil Malaysia di samping kempen boikot yang bermusim, namun teruskanlah apa yang mampu, walau sekecil apa pun ia pasti akan dinilai dan dilihat oleh Allah SWT

Pertimbangan maslahah dan mafsadah dalam boikot

Di samping itu, kami menasihatkan orang ramai agar memboikot dengan ilmu dan akhlak bukan memboikot dengan terburu-buru tanpa berfikir panjang hingga mendatangkan kemudaratan yang tidak sepatutnya.

Strategi boikot ekonomi perlu dilakukan dengan teliti dan bijak. Ia perlu mengambil kira pertimbangan maslahah agar tidak mendatangkan kemudaratan lain yang lebih besar. Syeikh ‘Izzuddin bin ‘Abd al-Salam dalam salah satu tulisannya menjelaskan bahawa ada beberapa keadaan di mana menolong pada kemaksiatan hukumnya adalah harus:

قد يجوز الإعانة على المعصية لا لكونها معصية بل لكونها وسيلة إلى تحصيل المصلحة الراجحة وكذلك إذا حصل بالإعانة مصلحة تربو على مصلحة تفويت المفسدة

Maksudnya: “Terkadang diharuskan menolong dalam kemaksiatan bukan karena kemaksiatannya, namun karena ia boleh membawa kepada kemaslahatan yang lebih kuat, begitu juga jika pertolongan itu mendatangkan kemaslahatan yang lebih besar dari menghindari mafsadah (keburukan)










https://www.muftiwp.gov.my/ms/perkhidmatan/artikel-soal-jawab/5781-bayan-linnas-siri-ke-281-boikot-ekonomi-sebagai-strategi-melawan-zionis-nasihat-dan-panduan

No comments:

Post a Comment