Thursday 7 October 2021

Muhasabah diri: Lidah Tidak Bertulang

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani

Peringatan buat diriku yang lupa




Foto: https://www.sindonews.com/topic/96322/bahaya-tidak-menjaga-lidah

ALLAH SWT menjadikan manusia sebagai sebaik-baik kejadian dengan kurniaan pelbagai nikmat pancaindera terutama nikmat akal untuk berfikir dan merenung sesuatu. Selain daripada itu, salah satu nikmat dikurniakan adalah lidah yang dengannya kita mampu untuk berkata-kata, membaca atau menyebut dan merasai makanan sebagai salah satu nikmat di atas dunia ini.

Bagaimanapun, nikmat lidah ini juga perlulah dijaga dengan sebaiknya supaya kita tidak melakukan sesuatu yang boleh mengundang kemurkaan Allah SWT sekali gus mengganggu perjalanan seorang hamba kepada pencipta-Nya.

Dalam satu riwayat, daripada Abu Hurairah r.a, daripada Nabi SAW Baginda bersabda, “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia berkata baik ataupun diam.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) dan nabi kaitkan hadis ini dengan rukun iman yang paling tinggi iaitu beriman kepada Allah menerusi sabdanya, “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat…” Ia membuktikan besarnya tanggungjawab menjaga lidah sehinggakan di beri peringatan jika tidak ada sebarang keperluan untuk berkata-kata, diam adalah jalan terbaik.

Dari Ibnu Abbas r.a, Baginda nabi SAW suatu hari tatkala berjalan melewati dua buah kuburan, tiba-tiba Rasulullah mematahkan pelepah kurma dan ditanamkan di atas kubur. Lalu sahabat bertanya, ”Wahai, Rasulullah. Mengapa Rasul melakukan ini?”  lantas Baginda  bersabda, ”Sungguh keduanya sedang disiksa. Mereka disiksa bukan karena perkara besar (dalam pandangan keduanya). Salah satu dari dua orang ini semasa hidupnya tidak beristinja’ dengan sempurna. Sedangkan yang satu lagi, dia tidak menjaga lidah dengan menfitnah dan  mengadu domba.”

Tidak menjaga lidah dalam berkata-kata boleh dikategorikan sebagai kufur atas nikmat Allah kerana ramai lagi manusia yang Allah kurniakan lidah tetapi tidak boleh bercakap. Dalam pada itu, ada individu yang fasih bercakap tetapi kelu pada waktu-waktu tertentu. Justeru, syukuri nikmat lidah dan kemampuan berbicara dengan menjaga kata-kata.


Rujukan:

https://www.hmetro.com.my/addin/2020/06/592940/lidah-utusan-hati-pancaran-akal

https://ikimfm.my/adab-menjaga-lidah/


No comments:

Post a Comment