Saturday, 20 April 2013

Puisi 42a : Jangan berputus asa dengan rahmat Allah

Mereka gelar kamu orang yang berdosa,
tetapi terlupa bahawa kita adalah sama,
manusia mana yang tidak berdosa,
tunjukkan pada aku sekarang ini juga.

Ada orang yang berdosa, mampu bangkit,
membersih diri dari jahiliyyah yang menjangkit,
ada yang memerlukan sokongan,
kerana di dalam diri ada kelemahan,
walau bagaimanapun engkau,

ketahuilah wahai orang yang berdosa, engkau tidak keseorangan,
aku di sini orang yang berdosa, jua,
dan ketika ini aku menghulurkan tangan.
Lihatlah ke arah langit yang luas,
ketahuilah rahmat Allah melebihi keluasannya,
sesungguhnya sentiasa terbuka buat orang yang berdosa, seperti kita,
pandanglah sedalam lautan biru,

sesungguhnya kasih Allah lebih dalam daripada itu,
maka janganlah berputus asa wahai orang yang berdosa,,
sungguh usahamu sentiasa Allah kira,
bangun jatuh bangun jatuh&
bangunlah kembali buat sekian kali,
biarlah dosa itu tidak hilang sekalipun,
matilah dalam berusaha sesungguh hati,

tidakkah engkau memandang kepada pembunuh 100 manusia,
sungguh dia berusaha walau tidak sempat membersih dosa,
didekatkan Allah jaraknya dengan kampung taubat,
terus dia diangkat malaikat rahmat,
dia contoh yang berusaha hingga ke akhirnya,
dalam membersihkan dosanya.
Dan Allah mengasihinya.

Maka janganlah berputus asa wahai orang yang berdosa,,
usaha,hingga mentari terbit dari barat,
atau kerongkongmu ditamu sakarat,
usaha, dan jangan sesekali kau dimamah penat.
Sungguh, Allah itu bukanlah zalim yang khianat.
Bahkan Dia adalah Yang Mengotakan JanjiNya,adil tiada tandingan.
~ Hilal Asyraf ~

No comments:

Post a Comment