Monday, 19 January 2026

Puisi 7 penyesalan : Lewatnya usia baru memulakan langkah pertama

 

https://share.google/j45CNM1AAJ5TUhuM9

Di usia ini, tubuhku terasa penat,

Langkahku tak lagi seperti dulu.

Baru kini aku belajar mengenal Tuhan,

Saat mata mudah layu, hati pula sering diuji.

Dulu waktu terasa panjang,

Ibadahku sering tertangguh tanpa rasa takut.

Kini masa terasa singkat,

Sedang aku baru belajar membaca doa dengan betul.

Aku duduk di sejadah bukan kerana kuat,

Tapi kerana sedar aku sudah lewat.

Bacaanku tersekat, ingatan mudah hilang,

Namun setiap usaha ini lahir dari rindu yang dalam kepada- Mu ya Allah.

Penatnya belajar di usia tua,

Bukan pada jasad semata,

Tetapi pada penyesalan yang sering menyapa,

“Kenapa bukan dari dulu aku bermula?”

Namun aku percaya, Ya Allah,

Engkau yang maha pengasih dan maha pengampun,

Terima lah langkah yang tulus menuju-Mu.

Air mataku yang baru belajar bertatih,

Lebih Engkau tahu nilainya.

Jika aku jatuh tertidur dalam zikir,

Jika aku lelah dalam sujud,

Terimalah ia sebagai tanda cinta,

Bahawa aku sedang cuba, sehabis daya yang ada.

Malu diriku, setelah uban memutih baru datang keinsafan,

Namun aku datang dengan harapan.

Di hujung usia yang makin senja,

Biarlah langkah kecil ini,

Sampai ke syurga dengan rahmat-Mu.

No comments:

Post a Comment