Sunday, 12 September 2021

Muhasabah diri: Siapakah sahabatku

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani

Peringatan buat diriku yang lupa

foto:
https://putraim.wordpress.com/2012/11/04/siapa-sahabat-kita/amp/

SAHABAT adalah orang yang sangat rapat dengan kita, tidak memiliki hubungan darah atau keluarga. Sahabat adalah seorang yang sangat kita percayai, penyimpan aib dan rahsia kita dari pengetahuan orang lain. Sahabat tidak perlu dari golongan bangsawan, hartawan, jelitawan dan sebagainya. Sahabat dalam Islam adalah saling mengingatkan kita kepada Allah S.W.T, menegur kita ketika kita salah, membela kita ketika kita tidak bersamanya dan sahabat juga sentiasa ada bersama kita di saat kita suka atau sedang berduka. Manusia adalah makhluk sosial, yang tidak boleh hidup tanpa manusia lainnya.

Sesetengah pandangan meletakkan sahabat lebih dekat berbanding dengan kawan. Kita mungkin mempunyai ramai kawan namun belum tentu semuanya dalam kategori sahabat. Sahabat itu sentiasa berada dekat dalam kehidupan. Ketika senang, dialah bersama meraikannya dan ketika susah dia tetap bersama dengan menghulurkan bantuan.

Sebaik-baik sahabat adalah berdasarkan teras kepada: persahabatan ialah keimanan kepada Allah SWT yang akan melahirkan sesuatu yang indah dalam perhubungan.

Persahabatan adalah nikmat yang Allah SWT limpahkan kepada hati yang ikhlas membina hubungan semata-mata kerana Allah SWT.

Kesan daripada itu, maka timbullah perasaan kasih sayang, hormat-menghormati dan saling percaya mempercayai antara satu sama lain. Lantaran itu, kita dapat melihat dengan jelas dalam sejarah Islam bagaimana generasi awal Islam yang dididik Rasulullah SAW membina persahabatan mereka.

Sirah Rasulullah SAW menunjukkan perancangan hijrah untuk menyebarkan dakwah di Madinah dibantu oleh sahabat baginda yang sentiasa berada di sisinya. Pengorbanan sahabat baginda seperti Saidina Abu Bakar banyak membantu dalam mengembangkan Islam di luar Makkah.

Sahabat Rasulullah SAW memainkan peranan yang besar dalam membantu baginda menjalankan amanah sebagai seorang Rasul. Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud:  "Muhammad ialah utusan Allah dan orang yang bersama dengannya bersikap keras terhadap orang kafir (yang memusuhi Islam) dan sebaliknya bersikap kasih sayang antara mereka (umat Islam). Kamu lihat mereka rukuk dan sujud mencari kurniaan Allah dan keredaan-Nya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang yang soleh) terdapat pada muka mereka, daripada kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas)."  (Surah al-Fath, ayat 29)


Rujukan:

https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2015/12/106051/persahabatan-ikhlas-dunia-akhirat

https://www.hmetro.com.my/addin/2020/11/639674/cari-sahabat-bawa-ke-syurga


https://harakahdaily.net/index.php/2021/06/10/siapakah-sahabat-kita-sampai-mati-dan-ke-syurga-allah/

No comments:

Post a Comment