Thursday, 16 September 2021

Muhasabah diri: Sifat ihsan dalam Islam

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani

Peringatan buat diriku yang lupa




"Apakah itu Ihsan? Baginda menjawab: 'Sesungguhnya kamu beribadat kepada Allah seolah-olah kamu melihatnya, walaupun kamu tidak melihatnya, akan tetapi Allah melihat kamu.'" (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Menurut Ibnu al-Qayyim al-Jauziyah, ibadah yang digambarkan dalam hadis ini, memperlihatkan kesempurnaan iman dan kesedaran rohani yang sangat tinggi, juga memperlihatkan rasa cinta dan pengenalan manusia kepada Allah yang sangat tinggi. Sebagai konsep yang mengandung idea peningkatan kualiti ibadah dan kebajikan, ihsan menurut al-Jauziyah memiliki tiga tingkatan sebagai mana berikut:  

1. kebaikan dalam niatnya, di mana setiap orang harus mengarahkan perhatiannya menuju Allah SWT. Pada tingkat ini, seseorang harus memasang niat dan motivasi yang kuat. Namun, ia harus membekalkan dirinya dengan ilmu supaya niat dan tujuannya tidak melencong dan keluar dari syariat Islam.

2. kebaikan dalam sikap dan perilaku. 
Pada tingkat ini, seseorang harus mampu menjaga dan memelihara kebaikan sikap dan perilakunya secara konsisten. Tanpa pemeliharaan ini, kebaikan sikap dan perilaku itu akan hilang dan lenyap. Selanjutnya, dia harus berusaha menjadikan kebaikan sikap dan perilaku itu sebagai penampilannya sehingga tidak mudah dipengaruhi oleh situasi dan cabaran yang mendatang. Namun, pada tingkat ini, dia harus tetap menyembunyikan dan merahsiakan kebaikan-kebaikannya kerana memperlihatkan kebaikan bukanlah cara hidup orang-orang yang bertakwa. Sebaliknya, memperlihatkan kebaikan secara terbuka dapat diterima jika memang ada kepentingan untuk itu atau dipandang boleh membawa kemaslahatan yang lebih besar kepada orang lain.

3.kebaikan dalam waktu. 
Pada tingkat ini, seseorang harus berusaha supaya sepanjang waktu dia dapat menyaksi Allah iaitu yang disebut musyahadah. Di sini, dia harus menjaga cita-cita dan perhatiannya supaya tidak beralih kepada sesuatu yang lain daripada Allah. Dia juga harus mengarahkan seluruh perjalanan hidupnya hanya menuju kepada Allah. Pada tingkat ini, ihsan telah mencapai kemuncak kesempurnaannya.

Pada tingkat yang paling tinggi ini, ihsan akan memperlihatkan kematangan tauhid, ajaran Islam yang paling fundamental. Tauhid adalah kunci syurga. Maka, tidak ada balasan ihsan kecuali syurga yang penuh kenikmatan. Menurut al-Jauziyah lagi, inilah makna firman Allah yang bermaksud: "Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik - melainkan balasan yang baik juga." (Surah al-Rahman, ayat 60)

Bagaimanakah untuk kita fahami nilai ihsan yang disebut dalam hadis yang boleh menjadikan kita insan salih khususnya dalam rumah tangga. Fitrah manusia, apabila perbuatannya dilihat oleh orang lain, maka dia akan mengawal gerak-gerinya, malah boleh menahan kesabaran untuk tidak marah.

Oleh itu, nilai ihsan yang dibicarakan dalam hadis ini yang jauh lebih luas maksudnya, Allah SWT bersama kita di mana sahaja kita berada dan sesungguhnya Dia Maha Melihat segala perbuatan kita. Maka dengan itu, kita dapat mendidik diri untuk menjadi hamba yang lebih baik.

Nilai ihsan perlu sentiasa diterapkan dalam rumah tangga bagi memastikan ahli sentiasa melakukan kebaikan walau di mana kerana setiap makhluk berada di bawah pengawasan Allah SWT. Atas sebab itu, seseorang berasa malu kepada Allah SWT untuk melakukan perkara tidak baik dan zalim.

Malah, Allah SWT menyuruh manusia berbuat baik (ihsan) bukan sahaja kepada manusia, bahkan makhluk lain seperti maksud hadis: "Apabila kamu hendak menyembelih haiwan, maka sembelihlah dengan cara yang paling baik iaitu dengan menajamkan alat sembelihan dan hendaklah meletakkan haiwan dalam keadaan yang selesa." (Riwayat Muslim)

Apabila kita diuji atau marah, kita akan memberi tindak balas. Oleh itu, kita perlu menyiapkan diri supaya merasakan Allah SWT sentiasa melihat perbuatan kita walau di mana kita berada. Persiapan ini perlu dilatih sejak awal untuk menahan diri daripada terus bertindak balas dengan apa yang berlaku.

Setiap ujian yang datang adalah sebagai latihan untuk menahan diri daripada marah dan bertindak zalim. Muhasabah diri bahawa Allah SWT sedang melihat dan berusaha memperbaiki ke arah kebaikan. Ujian yang dilalui satu latihan dan proses memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.

Justeru, setiap Muslim hendaklah menyempurnakan segala amalan ibadat sebaiknya bertepatan landasan digariskan Allah SWT dan sunah Rasulullah SAW. Wadah ini penting supaya amalan diterima tanpa sebarang cacat cela dan memperoleh ganjaran berlipat ganda di sisi Allah.

Rujukan:

https://www.bharian.com.my/taxonomy/term/61/2015/03/38889/menerap-nilai-ihsan-dalam-kehidupan

https://www.hmetro.com.my/addin/2020/11/646504/berbuat-ihsan-dalam-kehidupan

No comments:

Post a Comment