Thursday, 16 September 2021

Muhasabah diri: Nikmat Iman dan Islam

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani

Peringatan buat diriku yang lupa




Islam dan Iman merupakan nikmat yang Allah SWT berikan kepada hamba-hamba-Nya. Kedua-dua nikmat tersebut malah lebih besar berbanding nikmat-nikmat yang lain. Oleh itu, kita sewajarnya mengucap berbanyak-banyak puji dan syukur ke hadrat Allah SWT atas kedua-dua nikmat ini.

Jika tidak terfikir maka mulai saat ini marilah kita berfikir dengan mata hati, bahawa bertuahnya kita , lahir-lahir sahaja ke dunia ini, ayah kita azankan dan iqamahkan kita . 

Maka selamatlah kita dari menjadi penganut agama lain selain Islam.
Terselamatlah kita dari jadi Yahudi, Nasrani, Majusi, Israel dan lain-lain bangsa yang sesat lagi menyesatkan itu. Lahir-lahir sahaja kita dikenalkan Allah... Tuhan kita, Nabi Muhammad pesuruh Allah. 

Kita dididik oleh guru-guru kita, di bimbing oleh ibu ayah kita supaya sembahlah Allah Tuhan yang Maha Esa.

Syukurnya kita tidak dilahirkan ke dunia ini menjadi penyembah berhala, penyembah matahari, bulan bintang, penyembah patung-patung, penyembah salib, penyembah lain-lain selain menyembah Allah yang Maha Segala Maha itu.

Takutlah kita dari kekufuran kerana kekufuran itu membinasakan kita dunia akhirat. Nikmat yang besar seperti iman dan Islam Allah anugerahkan pada kita dan keturunan kita.Besarnya nikmat ini yang wajib sangat-sangat disyukuri.

Sebagai manusia, Allah SWT menciptakan kita untuk beribadah kepadanya. Sepanjang kehidupan kita di dunia, tahap ketaatan kita kepada-Nya akan diuji; nasib kita di Hari Akhirat akan turut ditentukan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Mulk, ayat 1 dan 2:

“Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan Allah) yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat), dan Dialah Yang Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Dialah yang menciptakan kematian dan kehidupan untuk menguji kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya, dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

Allah S.W.T berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”

(al-Baqarah: 153)

Dunia hari ini sedang bergelut dengan serangan wabak COVID-19, rakyat semakin gusar dan risau. Tambahan pula, pada ketika ini masuknya musim tengkujuh. Hujan yang turun menambahkan lagi kebimbangan sesetengah penduduk. Bimbang berlaku banjir yang mungkin merosakkan harta benda di kediaman masing-masing.

Saat kebimbangan dan kegelisahan melanda di jiwa, maka, sabar dan solatlah solusi terbaik yang wajib kita lakukan. Bergantung harap hanya kepada Allah dalam sebarang situasi dan keadaan. Manusia itu hanyalah perantaraan sahaja. Hakikatnya Allah-lah yang mengutuskan bantuan dan pertolongan itu.

Bahkan, tatkala kita mengalami kesusahan dan kesempitan hidup, kerugian dalam perniagaan, kegagalan dalam percintaan dan rumah tangga, kesakitan serta pelbagai masalah lain lagi yang dihadapi, maka sabar dan solatlah jalan penyelesaian terbaik.

Banyak orang ketika dia beriman, dia memperjuangkan semuanya hanya untuk Islam. Tapi ketika diuji dengan berbagai perkara, dengan harta, dia menjadi kufur (na'uzubillah) cuma kerana harta yang ingin dia dapatkan. Maka Allah ingatkan kita supaya, ketika kita beriman, dan kita dikurniakan taqwa, kita kena pelihara, sehingga di manapun kita mati dan bilapun kita mati, kita tetap dalam keadaan bertaqwa. Dan ketika kita dalam keadaan bertaqwa, InsyaaAllah kita terhindar dari mati dalam keadaan tidak Islam.


Akhir kata, Nikmat iman dan Islamlah yang akan membawa kita ke syurga Allah. Syurga yang kekal lagi abadi. Di dalam syurgalah tempat rehat kita yang sebenar-benarnya. Dalam syurgalah tempat kebahagiaan kita yang hakiki .

Di dunia ini hanya tempat ujian dan mehnah dari Allah. Lulus ujian dari Allah maka besarlah ganjarannya di sisi Allah. Semuga kita semua menjadi hamba Allah yang sabar dan tabah dengan segala ujian dari Allah.


Rujukan:

https://harakahdaily.net/index.php/2020/11/28/apa-itu-ujian-allah-s-w-t/

http://umusayyidah.blogspot.com/2014/04/nikmat-iman-dan-islam.html?m=1

http://abdul-muizz.blogspot.com/2018/09/nikmat-islam-dan-iman.html?m=1

https://bkmattaqwa.uma.ac.id/2019/10/16/nikmat-islam-iman-dan-ihsan-dalam-beribadah-kepada-allah-subahanahu-wa-taala/


No comments:

Post a Comment