Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani
Peringatan buat diriku yang lupa
Foto:
https://maszull.blogspot.com/2019/07/apabila-kita-direzekikan-memiliki-dan.html?m=1
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan Tuhanmu memerintahkan supaya kamu tidak menyembah kecuali kepada-Nya dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa dengan sebaik-baik kebaktian. Sekiranya salah seorang atau kedua-duanya telah tua dalam peliharaanmu, jangan sesekali kamu berkata kepada mereka 'ah', dan jangan kamu membentak mereka. Bercakap dengan mereka perkataan yang mulia. Rendahkan diri kamu di hadapan mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan ucapkan, 'Wahai Tuhan! Kasihilah mereka berdua sebagaimana mereka berdua mengasihi daku semasa kecilku." (Surah al-Isra, ayat 23-24)
Anak yang memuliakan ibu bapanya akan mendapat ganjaran pahala. Ia bersamaan pahala berjihad dijalan Allah SWT kerana pengorbanan menjaga dan merawat ibu bapa dengan baik juga adalah sangat dituntut di dalam Islam. Memuliakan ibu bapa juga adalah satu ibadah iaitu tidak sempurna amal ibadah seseorang anak jika beliau mengabaikan kebajikan ibu bapa. Dari itu jagalah ibu bapa dan anggaplah itu sebagai ibadah yang menyenangkan kita kerana apabila kita ikhlas, segalanya mudah dilakukan tanpa merasa ia suatu beban.
Berbakti kepada kepada ibu bapa boleh dibahagikan kepada dua keadaan:
1. Semasa mereka hidup
Berbakti kepada ibu bapa sewaktu hidup boleh disebut dalam beberapa perkara antaranya ialah:
A. Bercakap dengan nada yang lemah lembut kepada mereka tanpa menggores hati mereka dengan perkataan-perkataan yang kasar. Ini berdasarkan firman Allah seperti yang disebutkan tadi didalam Surah Al-Isra' ayat 23.
B. Membantu dan meringankan beban mereka dengan memberi wang pembelanjaan sekadar termampu.
C. Sentiasa mengambil tahu keadaan mereka terutama daripada sudut kesihatan.
Sabda Rasulullah: Sesungguhnya Allah akan mengangkat darjat bagi seseorang hamba yang soleh di syurga. Maka dia berkata: Wahai Tuhan, dari mana aku dapat ini? Allah berfirman: Dengan istighfar anak kamu kepadamu.
[HR: AHMAD 10610]
D. Sering menelefon mereka jika kita berada jauh daripada ibu bapa agar mereka mengetahui bahawa kita sentiasa mengambil berat terhadapnya.
E. Sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka agar sentiasa dirahmati dan diredai Allah.
F. Menjaga mereka ketika mereka sakit.
G. Menyantuni mereka ketika usia mereka sudah lanjut.
2. Setelah mereka meninggal dunia
A. Mendoakan mereka supaya mereka ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Sabda Rasulullah: Apabila matinya seseorang insan itu, maka akan terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh sentiasa mendoakan kedua ibubapanya. - [HR Muslim 1631].
Salah satu manfaat yang bakal diterima ibu bapa selepas mereka meninggal dunia ialah doa yang dikirimkan daripada anak yang soleh.
B. Melunaskan hutang-hutang yang wajib iaitu hutang dengan Allah SWT seperti puasa, haji, nazar dan sebagainya. Seperti mana dalam sebuah hadis telah datang kepada Nabi SAW seorang lelaki, lalu berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia dan ke atasnya puasa Ramadan (meninggalkan puasa). Adakah aku perlu qadha puasa bagi pihaknya? Rasulullah SAW bersabda: “Ya, kerana hutang dengan Allah lebih berhak untuk ditunaikan.” - [HR al-Bukhari (1953].
C. Selesaikan hutang-hutang ibu bapa yang telah pergi kepada sesama manusia setakat yang mampu.
D. Menziarahi sahabat-sahabat kepada ibu bapa. Agama kita amat menganjurkan setiap umatnya untuk menyambung pertalian silaturrahim dengan sesiapa sahaja dan bukan sahaja sesama ahli keluarga sahaja.
E. Tunaikan segala wasiat yang ditinggalkan sebaik mungkin.
F. Bersedekah untuk mereka dengan niat khusus agar sedekah itu sampai ganjarannya kepada arwah ibu bapa.
Ibu bapa kita tidak pernah meminta jasa mereka dibalas. Cukup bagi mereka untuk melihat semua anaknya bahagia dan berjaya didunia dan akhirat.
“SEORANG ibu mampu menjaga sepuluh orang anak, tetapi sepuluh orang anak belum tentu mampu menjaga seorag ibu.” Itu antara ungkapan yang sering kita dengar tatkala timbul isu melibatkan anak-anak mengabaikan tanggungjawab menjaga orang tua mereka.
Sejak kebelakangan ini kita kembali mendengar kisah ibu bapa yang ditinggalkan anak-anak sama ada di rumah orang tua, masjid, hospital mahupun tepi jalan.
Rujukan:
https://www.bharian.com.my/taxonomy/term/61/2015/07/69235/usah-anggap-beban-jaga-ibu-bapa
https://www.amalmalaysia.org.my/2019/12/05/nikmat-rezeki-diperluas-berbaki-kepada-ibu-bapa/
https://www.sinarharian.com.my/article/128437/SUARA-SINAR/Analisis-Sinar/Sayangi-ibu-bapa-selagi-mereka-masih-ada
https://www.mstar.com.my/xpose/addin/2020/01/10/doa
No comments:
Post a Comment